Keutamaan Pelaksanaan Kewajipan
Semua fardhu-fardhu ‘ain itu mesti ditunaikan, namun begitu, dalam pelaksanaannya masih terdapat aspek keutamaan (awlawiyyât) syar‘iyyah. Jika seorang Muslim mampu menunaikan semua fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, maka memang inilah yang dituntut, sehingga tidak ada masalah baginya. Sementara itu, jika terdapat konflik antara pelaksanaan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, maka pelaksanaan fardhu ‘ain didahulukan daripada pelaksanaan fardhu kifayah. Sedangkan, jika terdapat konflik antara beberapa fardhu ‘ain itu sendiri, maka syariat bukan akal, telah menetapkan keutamaan (priority) ) pelaksanaan sebahagiannya di atas sebahagian yang lain.
Contohnya, menafkahi keluarga lebih didahulukan daripada membayar hutang, dan membayar hutang lebih didahulukan daripada melakukan ibadah haji. Puasa Ramadhan lebih didahulukan daripada puasa nazar. Solat Jumaat lebih didahulukan daripada menepati janji. Dan seterusnya…
Begitu juga dalam konteks fardhu kifayah. Jika timbul konflik dalam pelaksanaan beberapa kewajipan fardhu kifayah, dan sekiranya tidak mustahil untuk menegakkan semuanya, maka Syariat juga bukan akal yang menetapkan keutamaan pelaksanaan sebahagiannya di atas sebahagian yang lain.
Di sini terdapat skop yang luas dan saling berkaitan. Kerana terdapat banyak fardhu kifayah; di antaranya ada yang sukar dan sangat berat, dan di antaranya ada fardhu yang memerlukan usaha besar dan masa yang lama.
Fardhu kifayah yang jumlahnya banyak ini seringkali tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh seorang Muslim. Akibatnya, dia hanya dapat menunaikan sebahagiannya sahaja, manakala sebahagian lagi tertunda pelaksanaannya.
Apa yang dia lakukan dan apa yang dia tangguhkan pelaksanaannya itu tidak boleh berdasarkan keinginannya, mahupun berdasarkan perkiraan akalnya atau pilihan peribadinya, melainkan berdasarkan tarjîh (pengunggulan) secara syar‘îe dan skala keutamaan yang telah ditentukan oleh Syariat kepadanya. Pilihan atau skala keutamaan ini ditentukan berdasarkan indikasi-indikasi (qarâ’in) syar‘iyyah yang menjelaskan urgensi kewajipan tersebut.
Sumber: “Ad-Da’wah ila al-Islam”(Ahmad al-Mahmud)
#fikihawlawiyat #keutamaan #kefardhuan