بسم الله الرحمن الرحيم
Punca-punca Bantahan di Iran
Oleh: Ustaz Latif Al-Rasekh
Rejim Iran menafsirkan gelombang baharu protes yang meletus di sana pada penghujung Disember sebagai campur tangan asing. Retorik ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi rejim Iran; ia telah menggunakan retorik ini selama berdekad-dekad, bermula dengan Gerakan Hijau (Green Movement) pada tahun 2009, dan berterusan melalui protes pada tahun 2017, 2019, dan 2022.
Dalam setiap peristiwa ini, tumpuan diberikan kepada peranan kuasa asing yang didakwa berusaha untuk menggugat kestabilan dan melemahkan negara. Biar pun penjelasan ini kelihatan menguntungkan Tehran secara politik, ia sebenarnya tidak menjawab persoalan: Mengapakah protes tersebut semakin lama semakin merangkumi segmen masyarakat yang lebih luas, dan mengapa ia muncul semula dari semasa ke semasa?
Pada asalnya, adalah tidak logik untuk menafikan pengaruh kepentingan asing terhadap peristiwa-peristiwa ini. Iran adalah pemain utama di rantau tersebut, dan tidak dinafikan bahawa melemahkan kestabilan dalamannya akan mengganggu keseimbangan kuasa di Timur Tengah secara signifikan. Bagi pesaing geopolitiknya, seperti entiti Yahudi dan sekutu-sekutunya, krisis domestik di Iran menandakan kemerosotan kuasa Iran — pengurangan keupayaannya untuk memaparkan pengaruh di luar sempadan, pengurangan penglibatannya dalam konflik serantau, dan melemahkan kapasitinya untuk mempertahankan objektif dasar luarnya.
Ditambah pula dengan peranan aktif sebahagian pembangkang Iran di luar negara, yang telah berusaha selama bertahun-tahun untuk mengantarabangsakan masalah dalaman negara itu dan menggambarkan protes tersebut sebagai bukti bahawa rejim telah kehilangan legitimasi sepenuhnya. Media asing, platform dalam talian, dan kenyataan politik turut menyumbang kepada memperbesar impak bantahan tersebut, memberikan gema tambahan dan menarik perhatian antarabangsa yang lebih luas.
Namun, apa yang penting ialah untuk membezakan antara mengeksploitasi krisis dengan puncanya. Kuasa asing mungkin mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan mereka sendiri, mentafsirnya dengan cara yang memberi manfaat kepada mereka, malah menyumbang kepada peningkatan ketegangan melalui media mereka, tetapi ini tidak bermakna kuasa asing tersebutlah yang mencipta krisis itu.
Sejauh Manakah Teori Konspirasi Asing Boleh Diterima Akal?
Dakwaan bahawa protes di Iran adalah hasil pengurusan asing yang berpusat adalah bercanggah sama sekali dengan realiti di lapangan. Gerakan-gerakan protes tersebut tidak mempunyai kepimpinan yang bersatu, tidak punya naratif yang jelas, dan tidak punya program yang teratur. Ia muncul secara sekali-sekala di pelbagai bahagian negara atas sebab yang berbeza-beza, dan sering kali timbul secara spontan.
Ia melibatkan kumpulan sosial dengan kepentingan yang berbeza secara radikal: daripada pekerja industri dan peniaga kecil, hinggalah ke pelajar dan golongan pesara. Tuntutan penunjuk perasaan berbeza-beza merangkumi isu ekonomi secara murni, hinggalah kepada slogan politik umum. Semua ini tidak menggambarkan pengaruh asing yang terancang, sebaliknya merupakan rangkuman ketidakpuasan hati yang meluas dalam masyarakat. Penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam protes menyukarkan pihak berkuasa, serta pemerhati asing, untuk mengawal atau menguruskan gerakan-gerakan ini.
Sebab Utama Bantahan: Kemerosotan Ekonomi
Asas kepada protes yang terjadi terletak pada krisis ekonomi yang kronik. Bagi Iran, krisis ini bukan lagi sekadar masalah makroekonomi yang abstrak; ia telah menjadi krisis yang menjejaskan kehidupan seharian majoriti rakyat Iran.
Penurunan nilai mata wang tempatan secara tajam dan berterusan telah menghancurkan keyakinan orang ramai terhadap sistem ekonomi, dan secara efektif melenyapkan wang simpanan golongan pertengahan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rial Iran telah kehilangan sebahagian besar nilainya.
Pada tahun 2015, dolar didagangkan antara 30,000 dan 35,000 rial, manakala menjelang akhir tahun 2022, ia telah melepasi 400,000 rial! Penurunan ini bertambah pantas pada tahun 2025; pada awal tahun, dolar bernilai kira-kira 800,000 rial, dan menjelang akhir tahun, ia telah melebihi 1.4 juta rial di pasaran bebas!
Oleh itu, dalam satu tahun sahaja, rial kehilangan lebih daripada 40% nilainya, dan dalam satu dekad, ia kehilangan hampir semua kuasa beli sebelumnya. Realiti ini, ditambah dengan kadar inflasi yang melebihi 40%, telah memberikan tamparan hebat dan langsung kepada taraf hidup.
Kadar inflasi yang tinggi dan lonjakan harga makanan, perumahan, serta perkhidmatan asas telah menjadikan taraf hidup sebelumnya mustahil untuk dicapai oleh berjuta-juta keluarga. Pendapatan benar (real income) telah merosot, dan mobiliti sosial hampir terhenti sepenuhnya.
Dalam krisis yang terjadi ini, sekatan (sanction) pastinya memainkan peranan penting, tetapi ia hanya memburukkan lagi masalah dalaman yang sedia ada, termasuk salah urus, rasuah, ketidakseimbangan struktur, dan pergantungan ekonomi kepada sumber pendapatan yang terhad. Akibatnya, ketidakpuasan ekonomi berubah daripada isu sementara kepada keadaan kronik jangka panjang, menjadikan protes dan demonstrasi hampir tidak dapat dielakkan.
Kesimpulan
Protes di Iran tidak harus dilihat sebagai plot yang dipaksakan oleh kuasa asing, tetapi lebih kepada sebagai penunjuk kepada masalah struktur dalaman negara itu sendiri. Walaupun kuasa asing pastinya mempunyai kepentingan dalam ketidakstabilan semasa, dan secara aktif berusaha mengeksploitasinya untuk keuntungan mereka, ini bukanlah punca, sebaliknya satu akibat.
Oleh itu, mentafsir protes tersebut semata-mata disebabkan konspirasi asing membolehkan pihak berkuasa Iran mempermudah keadaan, dan mengelak daripada menangani isu-isu asas ekonomi, politik, dan institusi.
Walau bagaimanapun, isu-isu inilah yang membentuk persekitaran sosial dalam masyarakat Iran. Dalam persekitaran sedemikian, protes bukanlah kejadian yang jarang berlaku, tetapi elemen yang berulang dalam kehidupan seharian di Iran. Dalam keadaan ini, nama “Islam” yang disandang oleh negara itu, telah menjadi tidak lebih daripada elemen kosmetik dan nominal semata-mata.
[Sumber: Surat Khabar Al-Rayah – Isu 582 – 14/01/2026
https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/al-raya-newspaper/28918.html%5D
#Iran