Kapasiti Kenegaraan Ummah
Tahun 2025 menandakan keruntuhan yang tidak dapat dielakkan dalam tatanan global yang dipimpin oleh Barat. Sistem “moden” berteraskan Eropah (Eurocentrik) kini kelihatan ketinggalan zaman, tidak relevan, dan tidak lagi mampu menangani pelbagai krisis. Tahun tersebut menyaksikan gelombang protes yang dipimpin oleh Gen Z terhadap pihak berkuasa politik di pelbagai negara, yang memperdalam perpecahan nasional, melebarkan jurang antara generasi, melemahkan ekonomi, serta mencetuskan perpecahan sosioekonomi yang meluas. Trend ini menimbulkan persoalan penting: Apakah yang menjadikan sesebuah bangsa itu bersatu, padu dan kuat dalam membina kehidupan bernegara? Dan adakah umat Islam memiliki ciri-ciri yang membolehkan mereka membina suatu tatanan politik yang stabil?
Untuk menjawab persoalan ini, umat Islam perlu menilai semula identiti mereka serta ajaran Islam yang menentukan peranan mereka dalam kehidupan dunia. Adakah umat Islam sekadar satu kelompok yang diikat oleh keturunan, etnik atau tanah air, atau adakah mereka sebuah entiti politik yang disatukan oleh Risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW? Dengan mengenali identiti sebenar dan agama mereka, umat Islam mampu menapis konsep-konsep asing yang dibawa oleh kuasa imperialis dengan lebih baik, menilainya berdasarkan akidah Islam serta piawaian halal dan haram, dan seterusnya membina sebuah tamadun Islam yang selari dengan panduan kenabian.
Negara yang Mustahil bagi Ummah
Hari ini, umat Islam hidup dalam satu sistem kenegaraan yang telah kehilangan Tuhan, kehilangan identiti, dan kehilangan konsep sebenar tentang apakah itu sistem negara Islam.
Buku Wael B. Hallaq, The Impossible State: Islam, Politics, and Modernity’s Moral Predicament (2013), membincangkan secara mendalam dan kontroversi tentang ketidakserasian antara negara moden dan undang-undang Islam (syariah).
Ironinya, ramai umat Islam masih gagal memahami perbezaan asas antara negara moden dan negara Islam, lalu mereka meneruskan perjuangan dalam kerangka demokrasi sekular.
Wael Hallaq berhujah bahawa “negara Islam moden” adalah sesuatu yang mustahil dari sudut konseptual dan moral, kerana bentuk negara hari ini merupakan produk kemodenan Barat — justeru lahirlah istilah `The Impossible State’. Beliau menolak tanggapan bahawa Islam boleh direalisasikan dalam bentuk negara moden sebagaimana yang wujud hari ini. Hallaq, memandang kemodenan itu sendiri sebagai masalah, seiring dengan pandangan ahli sosiologi Perancis, Alain Touraine, dalam Critique of Modernity (1992), yang menegaskan bahawa sekularisme — bukan sekadar sains dan teknologi — merupakan teras kemodenan.
Oleh itu, adalah sesuatu yang wajar bahawa masalah Baitul Maqdis di Palestin tidak akan pernah diselesaikan, malah menjadi mustahil untuk diselesaikan, selagi ia terperangkap dalam sistem sekular. Perjuangan untuk pembebasan Palestin tidak boleh terpisah daripada gambaran yang lebih besar tentang bagaimana kehidupan politik dan kenegaraan yang akan dibentuk oleh umat Islam. Masalah Baitul Maqdis tidak boleh dipisahkan daripada konsep Khilafah, yang sinonim dengan Negara Islam dan telah menjadi ideal politik bagi ramai umat Islam. Walaupun ia sering menerima persepsi negatif di Barat, Khilafah adalah sistem negara yang ditetapkan oleh Islam dan dipandu sepenuhnya oleh umat Islam sendiri.
Konsep Ummah dan Bangsa
Sebuah bangsa yang memiliki tamadun yang kuat biasanya mempunyai konsep kehidupan bernegara yang jelas, lengkap dengan sistem nilai dan peraturannya sendiri. Adakah umat Islam memiliki keupayaan ini? Ya, sesungguhnya mereka memilikinya — tetapi ramai yang tidak menyedarinya kerana terpesona dengan idea-idea kenegaraan Barat yang sekular.
Islam membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai satu akar kepercayaan, iaitu akidah Islam, serta satu akar peraturan, iaitu syariah Islam. Tamadun Islam akhirnya muncul sebagai sebuah tamadun unik yang kehidupannya dijalankan oleh manusia yang memiliki kesatuan prinsip pemikiran (fikrah) dan kesatuan metodologi pelaksanaan (thariqah).
Dalam ajaran Islam, konsep ummah sejajar dengan konsep “nation” (bangsa) dalam tradisi politik Barat. Ummah meletakkan umat Islam sebagai agen aktif tamadun, bukan sekadar kelompok yang disatukan oleh etnik dan wilayah. Ia melangkaui sempadan tersebut dan merangkumi dimensi politik yang mendalam, yang terikat dengan keupayaan menubuhkan dan mengurus kehidupan bernegara.
Walau bagaimanapun, berbeza dengan Barat sekular, konsep “ummah” secara intrinsik terikat dengan penegakan agama Allah (iqamat al-din), pemakmuran bumi, serta pencapaian keadilan dan kesejahteraan dalam rangka memenuhi perintah Ilahi. Oleh itu, “ummah” berkait rapat dengan urusan kolektif umat Nabi Muhammad SAW, di mana makna politik dalam Islam ialah pengurusan urusan manusia, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.
﴿وَكَذٰلِكَ جَعَلْنٰكُمْ اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَكُوْنُوْا شُهَدَاۤءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُوْنَ الرَّسُوْلُ عَلَيْكُمْ شَهِيْدًا﴾
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah: 143)
Bagi para pengagum Barat, konsep Ummatan Wasatan sering ditafsirkan sebagai “kesederhanaan agama” (Islam wasatiyah). Namun tafsiran ini adalah tidak tepat, kerana terdapat 13 riwayat yang menjelaskan bahawa perkataan al-wasat bermaksud al-‘adl (keadilan). Ini kerana hanya orang yang adil mampu bersikap seimbang dan layak digelar sebagai umat pilihan. Antaranya hadis daripada Abi Sa‘id al-Khudri (ra), bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai ayat:
﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا﴾
“‘Demikianlah Kami jadikan kamu ummah wasat[an].’ Baginda bersabda: «عُدُوْلًا» — ‘(Maknanya) adil.’” (HR al-Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad)
Oleh itu, frasa ummatan wasatan membawa makna umat yang terpilih dan adil (khiyāran ʿudūlan) — sebuah komuniti yang adil yang menegakkan ajaran Islam. Umat ini berfungsi sebagai agen politik yang aktif, bukan sekadar objek dalam permainan politik. Ia adalah sebuah bangsa pilihan — yang sentiasa berkembang, bersatu, kuat dan padu — yang meleburkan pelbagai bangsa ke dalam wadah peradabannya, sambil menggabungkan pemikiran Islam dan metodologi pelaksanaannya yang tersendiri.
Konsep ini sangat penting dalam politik, kerana ia merangkumi elemen asas kepada kekuatan dalaman sesebuah negara. Ummah berfungsi sebagai bangsa politik yang membentuk urusan dunia berdasarkan pandangan hidupnya — satu kuasa politik yang sebenar. Dalam Islam, politik dilaksanakan melalui negara dan umat: negara melaksanakan prinsip-prinsip tersebut secara praktikal, manakala umat menyelia dan membimbing negara agar terus berpegang menegakkannya.
Di samping itu, umat Islam sebagai ummah memikul tanggungjawab dakwah Islam kepada seluruh manusia. Mereka mesti berinteraksi dengan dunia — memahami realitinya, peka terhadap masalahnya, sedar akan motif politik negara-negara, dan berwaspada terhadap aktiviti politik global. Umat Islam juga perlu meneliti strategi politik negara-negara, cara pelaksanaannya, prosedur diplomatik mereka, serta gerak-geri geopolitik mereka. Dengan itu, mereka perlu memahami dinamika sebenar landskap politik dunia Islam dalam konteks antarabangsa yang lebih luas.
Kesedaran ini akan melengkapkan mereka untuk merangka strategi yang tepat bagi mewujudkan kehidupan kenegaraan mereka yang unik (tersendiri) di bawah Khilafah, serta menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia, dengan izin Allah SWT.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Dr. Fika Komara
#negara #khilafah #khilafahsistemislam #jatidiriIslam #oneummah #ummahnegarawan