[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 40/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan daripada bahagian 39/46)
Adapun dalil bahawa Islam menjamin pemenuhan keperluan asas ini bagi seluruh rakyat secara individu sebagai jaminan yang pasti ialah ketetapan syarak yang mewajibkan bekerja ke atas lelaki yang berkemampuan apabila dia kekurangan keperluan asas tersebut, iaitu apabila dia memerlukan nafkah.
Allah SWT berfirman, “Berjalanlah kamu di segala penjurunya.” [TMQ Al-Mulk: 15]
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang keluar pada waktu pagi mengumpulkan kayu api, kemudian memikulnya dan menjualnya sehingga dia tidak lagi memerlukan pemberian manusia, itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, yang mungkin memberinya atau menolaknya.” [HR Muslim, al-Tirmizi, dan Ibn Majah]
Daripada az-Zubair bin al-‘Awwām RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya jika seseorang daripada kamu mengambil tali, lalu pergi mencari seikat kayu api dan memikulnya di atas belakangnya kemudian menjualnya, lalu Allah menjaga maruahnya dengan usaha itu, maka hal tersebut adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberinya atau menolaknya.’ [HR al-Bukhari, An-Nasa’i, Ahmad, dan Malik]
Perkataan khayr (lebih baik) dalam hadis ini bukanlah digunakan dalam makna perbandingan (af‘al al-tafḍīl), kerana tidak terdapat sebarang kebaikan dalam perbuatan meminta-minta apabila seseorang itu mampu berusaha mencari pendapatan. Sebaliknya, lafaz tersebut digunakan dalam konteks pujian (terhadap perbuatan bekerja mencari nafkah).
Oleh itu, setiap individu yang berkemampuan untuk bekerja dan memerlukan nafkah diwajibkan ke atasnya untuk bekerja bagi menanggung keperluan dirinya. Kewajipan yang dikenakan ke atas lelaki yang berkeupayaan dan memerlukan nafkah ini merupakan suatu jaminan baginya untuk memenuhi keperluan-keperluan asasnya.
Di samping kewajipan tersebut, Islam juga mewajibkan pemberian nafkah kepada wanita secara mutlak apabila dia berada dalam keadaan fakir, sama ada dia mampu mencari pendapatan atau tidak. Hal ini kerana Islam tidak mewajibkan wanita untuk bekerja atau mencari nafkah, sebaliknya menetapkan nafkah sebagai haknya secara mutlak.
Kewajipan nafkah ini juga ditetapkan ke atas lelaki yang tidak berupaya apabila dia berada dalam keadaan fakir, sama ada ketidakupayaannya itu bersifat hakiki seperti tidak mampu bekerja, atau bersifat hukum, iaitu mampu bekerja tetapi tidak memperoleh pekerjaan. Kedua-dua keadaan ini dikategorikan sebagai ketidakupayaan, dan bagi kedua-duanya, nafkah adalah suatu kewajipan.
Adapun pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menunaikan nafkah, iaitu pihak yang bertanggungjawab memenuhi keperluan asas berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal, maka syarak telah menentukannya dengan penetapan yang jelas melalui dalil-dalil syarak. Sebahagian dalil tersebut bersifat jelas dan tegas, manakala sebahagian yang lain ditetapkan melalui proses istinbāṭ (pengeluaran hukum).
Nas-nas tersebut secara nyata menetapkan bahawa nafkah yang diwajibkan merangkumi ketiga-tiga keperluan asas tersebut. Oleh itu, syarak mewajibkan nafkah isteri ke atas suami, dan menjelaskan bahawa nafkah tersebut meliputi makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Allah Taala berfirman: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana sahaja kamu tinggal menurut kemampuan kamu.” [TMQ at-Talāq: 6]
Kemudian Allah Taala berfirman: ‘Hendaklah orang yang mempunyai kelapangan menafkahkan menurut kemampuannya.’ [TMQ At-Talaq: 7]
Allah Taala juga berfirman: ‘Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan ke atas mereka berkenaan isteri-isteri mereka.’ [TMQ Al-Ahzab: 50]
Rasulullah SAW bersabda: ‘Dan hak mereka (para isteri) ke atas kamu ialah rezeki (makanan) dan pakaian mereka.’ [HR At-Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Baginda SAW juga bersabda: ‘Dan hak mereka (para isteri) ke atas kamu ialah kamu (para suami) berbuat baik kepada mereka dalam hal pakaian dan makanan mereka.’ [HR At-Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Nas-nas ini secara jelas dan tegas menunjukkan kewajipan nafkah ke atas suami terhadap isterinya. Ia juga dengan nyata menetapkan bahawa nafkah yang diwajibkan itu merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal, sebagaimana firman Allah Taala “Tempatkanlah mereka”, dan sabda Baginda “pakaian dan makanan mereka”.
Begitu juga, syarak mewajibkan nafkah anak-anak ke atas bapa mereka. Allah Taala berfirman: ‘Dan kewajipan bapa ialah menyediakan rezeki (makanan) dan pakaian bagi mereka.’ [TQM Al-Baqarah: 233].
Daripada ‘Aisyah RA: ‘Sesungguhnya Hindun binti ‘Utbah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut dan dia tidak memberikan kepadaku dan anakku apa yang mencukupi kecuali apa yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya. Lalu Baginda SAW bersabda: Ambillah sekadar yang mencukupi bagimu dan anakmu dengan cara yang makruf.’ [HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah, An-Nasa’i, Ahmad, dan Ad-Darimi].
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: ‘Sedekah yang paling utama adalah sedekah yang meninggalkan pelakunya dalam kecukupan. Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulailah dengan orang yang menjadi tanggunganmu. Sebab, seorang isteri akan berkata: Terserah, kamu memberiku makan atau kamu menceraikan aku. Seorang hamba juga berkata: Berilah aku makan dan silakan engkau menyuruhku bekerja. Dan seorang anak juga akan berkata: Berilah aku makan, kepada siapa lagi engkau meninggalkanku?’ [HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’I, Ibnu Majah, dan Ahmad]
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #JaminanKeperluanAsas #Kapitalisme #Sosialisme