[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 42/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan daripada Bahagian 41/46 )
Seseorang yang diputuskan wajib membayar hutang kepada orang lain, namun pada masa yang sama ia juga wajib memberi nafkah, maka usaha mendapatkan harta untuk nafkah hendaklah didahulukan daripada usaha mendapatkan harta untuk membayar hutang. Maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mendapatkan harta bagi menunaikan nafkah. Jika masih ada baki harta, barulah digunakan untuk membayar hutang.
Jika tidak ada baki, harta yang ada itu wajib digunakan untuk nafkah, manakala pembayaran hutang ditangguhkan. Hal ini kerana Allah memerintahkan agar memberikan tempoh kepada orang berhutang yang berada dalam kesukaran. Allah SWT berfirman: “Jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, berilah tempoh hingga dia lapang.” [TMQ al-Baqarah (2): 280].
Allah SWT memerintahkan memberi nafkah, tetapi tidak memerintahkan memberi tempoh dalam urusan nafkah selama seseorang itu masih wajib menanggung nafkah tersebut. Oleh itu, kewajipan memberi nafkah tetap berjalan dan tidak menerima alasan kesukaran, sedangkan urusan hutang boleh diberikan tempoh.
Ada keadaan seseorang berkewajipan menanggung nafkah isterinya, sedangkan dia mempunyai hutang yang perlu dibayar oleh isterinya, lalu dia berhasrat untuk menjadikan hutang itu sebagai gantian kepada nafkah isterinya, maka jika isteri itu kaya, dia dibenarkan berbuat demikian, dengan syarat isterinya bersetuju dan reda agar hutang tersebut diperhitungkan.
Ini kerana, seseorang yang memiliki hak boleh memperoleh hak itu daripada mana-mana harta, dan harta yang diambil itu termasuk harta suaminya. Jika isterinya tidak kaya, dia tidak boleh berbuat demikian kerana membayar hutang hanya diwajibkan bagi orang yang mempunyai lebihan daripada keperluan asasnya sedangkan nafkah merupakan keperluan asas yang tidak boleh dianggap sebagai lebihan. Allah SWT memerintahkan agar memberi tempoh kepada orang yang tidak mampu membayar hutang, sebagaimana firman-Nya: “Jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, berilah tempoh hingga dia lapang.” [TMQ al-Baqarah (2): 280].
Dengan demikian, jika seseorang yang berhutang tidak mampu membayarnya, maka pemilik piutang wajib memberi tempoh. Ada juga keadaan seseorang wajib memberi nafkah kepada selain isterinya, seperti anak, ayah, saudara lelaki, atau sesiapa yang termasuk dalam ahli warisnya. Jika dia berhutang pada orang tersebut dan ingin menjadikan hutang itu sebagai gantian kepada nafkah, hal itu tidak dibenarkan dan dia dilarang melakukannya.
Ini kerana nafkah kepada selain isteri hanya wajib jika mereka miskin. Dalam keadaan miskin, dia tidak diwajibkan membayar hutang, berdasarkan ayat yang jelas: “Jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, berilah tempoh hingga dia lapang.” [TMQ al-Baqarah (2): 280].
Oleh itu, dia dipaksa memberi nafkah dan dipaksa memberi tempoh kepada penerima nafkah terhadap hutang mereka kepadanya. Ini menjelaskan bahawa syariat dalam apa jua keadaan tetap menjamin pemenuhan nafkah, iaitu jaminan terhadap keperluan-keperluan asas.
Dengan menjamin nafkah kepada isteri, ibu bapa, anak-anak, dan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan mahram, maka keperluan asas setiap individu rakyat benar-benar terjamin, kecuali mereka yang tidak mempunyai keluarga mahram atau yang tidak mampu mencari nafkah.
Terhadap dua keadaan ini, syariat telah menetapkan hukum-hukum tertentu. Dalam keadaan tidak wujud sesiapa yang tidak diwajibkan memberi nafkah, atau ada tetapi tidak mampu menunaikannya, syariat mewajibkan nafkah itu ke atas baitulmal, iaitu negara.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan kalla, maka dia menjadi tanggunganku. Sesiapa yang meninggalkan harta, maka dia menjadi hak ahli warisnya.” [HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad]. Al-Kallu ialah orang lemah (miskin) yang tidak mempunyai anak atau ibu bapa (sebatang kara).
Abu Hurairah RA juga menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa antara mukmin yang meninggal dunia dan meninggalkan harta, maka wariskanlah harta itu kepada keluarganya yang ada. Sesiapa yang meninggal dan meninggalkan hutang, maka bawalah hutang itu kepadaku kerana akulah yang akan menanggungnya.” [HR al-Bukhari].
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #JaminanKeperluanAsas #Penafkahan #Kapitalisme #Sosialisme