Pelita Orang Beriman Dalam Kegelapan Ialah Basirah, dan Pelita Orang Yang Lalai Daripadanya Ialah Kebutaan
Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi adalah Cahaya langit dan bumi, dan setiap cahaya yang ada padanya adalah percikan daripada cahaya-Nya. Kitab-Nya pula merupakan cahaya yang bersifat inderawi dan maknawi:
﴿يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ﴾
“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (TMQ al-Ma’idah [5]: 16)
Wahyu ini adalah petunjuk jalan bagi mereka yang bingung dan sesat, serta bukti keselamatan daripada tipu daya Syaitan yang telah memerangi kita sejak dia enggan sujud kepada Nabi Adam di syurga. Maka sesiapa yang berpegang teguh dengannya akan selamat, dan sesiapa yang buta daripadanya, maka dia buta di akhirat dan lebih sesat jalannya.
Sabda Rasulullah SAW:
اتَّقوا فِراسةَ المؤمنِ ، فإنَّهُ ينظرُ بنورِ اللهِ
Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.” (HR al-Tirmidzi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7843))
Dalam dunia ini, terdapat dua perangkap besar Syaitan terhadap seorang Muslim: syubhat (keraguan) dan syahwat (keinginan nafsu). Kedua-duanya menuntut daripada seorang mukmin kesedaran, keikhlasan, dan takwa. Kerana tidak ada keselamatan bagi seorang pejuang yang jahil tentang sifat medan pertempuran, atau tidak cukup latihan dan kekuatan untuk menangkis musuh, atau yang bergantung pada dirinya sendiri sehingga tertipu, serta tidak menyerahkan hatinya kepada Tuhannya.
Keadaan seorang Muslim di dunia ini seperti seorang pejuang yang berjuang melawan dirinya sendiri, syaitannya, serta keraguan dunia dan keinginannya. Maka dia mestilah berada di atas basirah (pandangan berasaskan kesedaran yang mendalam), iaitu keupayaan memahami realiti dunia dan natijahnya, serta kedudukan musuh: prinsip, pemikiran, strategi, cara berfikir, niat dan kaedah peperangannya terhadap kita. Kesedaran terhadap semua ini, dan pengetahuan tentang reality tersembunyi dan zahirnya, tidak akan diterangi kecuali oleh cahaya wahyu.
Perkara ini bukanlah soal pengetahuan tentang apa yang sedang berlaku, — kerana semua orang melihat dan memerhati — tetapi kesedaran adalah melihat apa yang tidak dilihat oleh semua orang, menilai peristiwa dari sudut prinsip, dan menilai realiti untuk menanganinya mengikut apa yang sesuai. Hal demikian hendaklah dilakukan berdasarkan sudut pandang akidah Islam. Inilah yang membezakan pemilik basirah daripada manusia lain.
Apabila seorang Muslim telah mencapai kesedaran, keikhlasan kepada Allah (swt), dan takwa, maka dia dianugerahkan basirah sebagai buah daripada ketakwaan itu sendiri, dan Allah (swt) mengurniakannya kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas. Ibn al-Qayyim r.a mentakrifkannya sebagai:
“Cahaya yang Allah pancarkan ke dalam hati, yang dengannya seseorang melihat hakikat apa yang disampaikan oleh para rasul, seolah-olah dia melihatnya dengan pandangan mata.”
Tempat basirah ialah hati, kerana di situlah pandangan Allah, dan di situlah terkumpulnya kebaikan dan kejahatan. Ia adalah segumpal daging yang mana menurut Rasulullah (saw) , tempat yang menentukan sama ada baik atau rosaknya seluruh tubuh.
Dan al-Akhfash berkata mengenai firman-Nya (swt): ﴿قالَ بَصُرْتُ بِما لَمْ يَبْصُرُوا بِهِ﴾ “Ia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka,…” [TMQ Taha (20):96].
Dan al-Lihyani berkata: Basirah adalah kepercayaan hati. Al-Layth berkata: “Basirah ialah suatu nama bagi apa yang diyakini dalam hati daripada agama, serta keyakinan yang disertai dengan pengesahan terhadap kebenaran sesuatu perkara. Dan dikatakan juga: basirah ialah ketajaman akal.”
Dalam ungkapan orang Arab pula mengatakan: ‘Allah membutakan basirahnya’ bermaksud Allah menghilangkan ketajaman fikirannya. Manakala menurut Ibn al-A‘rabi, ‘Dia melakukan sesuatu atas dasar basirah’ bererti melakukannya dengan sedar dan sengaja; manakala ‘atas selain basirah’ bermaksud melakukannya tanpa keyakinan dan tanpa kepastian.
Adapun firāsah (firasat, ketajaman menilai) pula hanyalah buah daripada basirah yang benar, dan satu darjat yang tinggi, yang hanya dicapai oleh mereka yang bertauhid murni, berhati bersih, jiwa yang suci, lisan yang benar, dan disertai oleh ketakwaan dan kesolehan, ilmu serta kefahaman.
﴿وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ﴾
“Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. Dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan.” [TMQ Muhammad (47):30]
Renungkan firman-Nya:
﴿وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ﴾
“engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya”
Ini merupakan suatu sumpah yang pasti, tanpa sebarang syarat padanya. Hal ini kerana zahirnya apa yang ada dalam hati seseorang melalui lidahnya, adalah lebih kuat daripada yang apa yang dizahirkan pada wajahnya. Namun ia mula muncul secara tersembunyi — dalam bentuk yang hanya dilihat oleh Allah (swt). Kemudian ia semakin menguat sehingga menjadi satu ciri pada wajah yang dapat dilihat oleh orang-orang yang memiliki firāsah (kepekaan dalam menilai kebenaran). Lalu ia terus menguat sehingga akhirnya tampak jelas kepada masyarakat umum.
Berdasarkan kuat dan lemahnya basirah, ditentukan pula tahap firasat seseorang. Firasat orang-orang yang benar-benar mengetahui Allah (swt) dan perintah-Nya, apabila tekad mereka melekat pada kecintaan kepada Allah (swt), ilmu-Nya, ibadah kepada-Nya, dan mengajak makhluk kepada-Nya atas dasar basirah, maka firasat mereka menjadi tersambung kepada Allah (swt), melekat kepada cahaya wahyu dengan cahaya iman. Dengan itu, firasat mereka membezakan antara apa yang Allah (swt) cintai dan benci daripada makhluk, perkataan, dan perbuatan; membezakan antara yang jahat dan yang baik, yang benar dan yang salah, yang jujur dan pendusta; serta mengetahui kadar kesediaan mereka yang berjalan menuju Allah (swt), sehingga ia membawa setiap orang menurut kadar kesediaannya dalam ilmu, kehendak, dan amal. [Madarij al-Salikin oleh Ibn al-Qayyim, bahagian 1, hlm. 123]
Ibn Rajab ra., berkata: ‘Maka jika hati itu sihat, di dalamnya tidak ada apa-apa melainkan kehendak Allah (swt) dan kehendak apa yang Dia kehendaki, anggota badan tidak akan bergerak kecuali dalam apa yang dikehendaki Allah (swt). Justeru, mereka bersegera kepada apa yang diredhai-Nya, dan menjauhi apa yang dibenci-Nya, serta apa yang ditakuti termasuk dari apa yang dimurkai-Nya.’
Allah (swt) berfirman: ﴿وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ﴾
“Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu;” [Surah Al-Baqarah:282]
Manusia berbeza-beza dalam kebutaan basirah, dari segi kekuatan dan kelemahannya, ia bergantung kepada taufik Allah, kemudian kepada ilmu, kefahaman, ketakwaan, keikhlasan, dan kesungguhan dalam beribadah kepada Allah (swt).
Allah (swt) berkata, ﴿ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ مْ ظَالِمٌ مْ ظَالِمٌ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ﴾
Allah berfirman:
“Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (TMQ Fāṭir [35]: 32)
Maka, orang yang memiliki firasat melihat apa yang tidak dilihat oleh orang awam. Inilah keadaan orang mukmin yang sedar dan memiliki basirah, yang memperlakukan perjalanan peristiwa mengikut visi Al-Quran dan Sunnah. Jadi, dia mampu melihat perancangan terhadap umat sebelum ia berlaku, dan melihat apa yang mereka tidak lihat tentang rancangan dan bencana yang disasarkan oleh musuh kepada umatnya, lalu dia pun memberi amaran kepada umat dan berkata benar, tanpa takut kerana Allah (swt), terhadap celaan orang-orang yang mencela.
Dalam Surah al-Buruj, Allah (swt) mengingatkan kita bahawa matlamat musuh bukan sahaja membunuh, tetapi juga menguji orang-orang yang beriman untuk menjauhkan diri daripada agama mereka. Jadi, pertempuran pada hari ini bukan hanya tentang senjata, tetapi perang kesedaran, khususnya kesedaran politik. Lebih-lebih lagi, kesedaran politik tentang tindakan dan reaksi. Justeru, sekiranya basirah lemah, jiwa akan runtuh sebelum barisan hadapan runtuh.
Maka pertempuran ini menuntut keikhlasan, kebenaran dan keteguhan, yang semuanya terkumpul dalam ketakwaan dan kebergantungan yang teguh pada tali Allah (swt). Jadi, kesedaran politik yang berpunca daripada Islam adalah keperluan syarie agar umat tidak jatuh ke dalam perangkap-perangkap musuh, dan tidak menjadi alat Barat dalam melaksanakan rancangan jahat mereka terhadap umat. Dan daripada kesedaran politik inilah juga, kita menyedari bahawa kekacauan yang kita alami saat ini tidak mempunyai penyelesaian kecuali, dengan mewujudkan pendapat umum yang menekankan dalam diri umat Islam akan kepentingan menerapkan Islam dalam bentuk revolusioner yang komprehensif. Penerapan Islam itu hendaklah dilakukan mengikut cara dan kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw). Selain itu, perlu juga ada pendapat umum mengenai keperluan kewujudan satu kekuatan untuk melindungi pendapat umum tersebut, agar ia tidak dikuburkan, digulingkan, atau dilemahkan di kalangan manusia.
Antara bentuk basirah ialah menyedari kebinasaan bergantung kepada selain Allah. Jadi, tidak bergantung kepada sistem antarabangsa, tidak mengemis kepada Majlis Keselamatan atau yang lainnya. Dan sudah tentu, daripada kesedaran yang diperlukan mengenai hasil kebergantungan pada sistem antarabngsa, adalah menolak rejim di tanah-tanah umat Islam secara terperinci, kerana semuanya adalah alat di tangan mereka. Oleh demikian, penyelesaiannya hanya terletak pada kesatuan umat, penyatuan potensi dan usahanya.
Dan daripada firasat Hizbut Tahrir dalam usahanya untuk mengembalikan cara hidup Islam: amarannya kepada para mujahid di ash-Sham tentang bahaya bergantung kepada sistem Turki dan menerima sokongan politik atau wang politik kotor. Daripada firasatnya juga: amaran bahawa penubuhan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah satu langkah untuk menjual perjuangan Palestin. Hari-hari seterusnya telah membuktikan kebenarannya serta pendedahannya tentang pengkhianatan Arafat, Sadat, dan Abdul Nasser sebelum umat Islam sendiri menyedari dan mempercayainya. Bahkan daripada pendedahan Hizbut Tahrir tentang Erdogan serta hubungannya dengan Amerika dan khidmatnya kepada negara itu, juga telah didedahkan melalui revolusi ash-Sham dan juga Gaza.
Bagi kita, terdapat teladan daripada junjungan kita Rasulullah (saw), yang merupakan pemberi peringatan yang nyata; begitu juga pada Abu Bakar ra., yang dengan tangannya beberapa daripada sepuluh yang dijanjikan Syurga memeluk Islam, dan olehnya umat Islam tetap teguh ketika menerima musibah wafatnya Rasulullah (saw). Maka beliau melihat ujian yang hampir memusnahkan umat Islam apabila puak-puak Arab murtad dan menafikan zakat (krisis riddah). Lalu beliau berkata: ‘Demi Allah, sekiranya mereka menahan daripadaku seutas tali yang biasa mereka beri kepada Rasulullah, aku akan berperang untuk itu,’. Beliau juga berkata: ‘Aku pasti akan berperang dengan mereka yang memisahkan solat dan zakat,’. Hal itu diputuskan walaupun ketika beliau ditimpa kedukaan atas kehilangan yang dikasihi, sahabat karibnya, dan Rasulnya (saw). Beliau dengan tegas dalam keputusannya tetap mengerahkan ekspedisi Usamah, sekalipun keadaan lemah (politik) sedang melanda Madinah. Namun dengan basirahnya, beliau menyedari bahawa perkara ini adalah soal kebenaran di sisi Allah (swt) dan keteguhan di atas syariat-Nya. Sekiranya tekadnya goyah, umat Islam akan musnah dan agama Allah (swt) akan lenyap. Begitu juga basirahnya ketika beliau melantik Umar ibn al-Khattab ke atas umat Islam. Terkait keteladanan beliau ini, Umar, pernah mengatakan : ‘Aku bukan orang yang licik, dan orang-orang yang licik tidak akan mampu memperdayakanku.’
Allah (swt) telah berfirman:
﴿قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (TMQ Yusuf [12]: 108)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir
oleh Bayan Jamal
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan
#DaripadaKegelapanMenujuCahaya #Basirah #Firasat #PetunjukAllah
#KhilafahSistemIslam #TerapkanIslamKaffah