Gembira Menyambut Ramadhan: Kesatuan Rasa, Kesatuan Arah
Penulis: Syafinaz Safar
Ramadhan disambut sebagai bulan ibadah, bulan keampunan dan keberkatan. Kegembiraan membuat persiapan bagi menyambutnya pula merupakan satu kenikmatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Segenap lapisan masyarakat, daripada golongan dewasa hingga kanak-kanak, turut merasai kemeriahan menyambut bulan yang penuh keampunan ini. Namun, di sebalik ibadah puasa, solat sunat dan amalan sunnah lain yang dilaksanakan, Ramadhan sebenarnya membawa dimensi dan pengertian yang lebih mendalam untuk dihayati oleh setiap individu Muslim, iaitu kesatuan rasa dan emosi umat Islam sejagat. Hal ini demikian kerana kegembiraan Ramadhan bukanlah kegembiraan individu semata-mata, tetapi suatu getaran rohani yang seharusnya dirasai oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia secara serentak.
Dalam proses penyatuan rasa inilah, peranan Muslimah menjadi sangat signifikan dan penting. Muslimah bukan sekadar peserta di sebalik tabir dalam menghidupkan suasana Ramadhan, malah mereka merupakan pemantau suasana keimanan, pembentuk akhlak, serta penjaga emosi keluarga. Mereka menjadi penghubung perasaan umat melalui peranan sebagai ibu, isteri, anak dan cucu, sama ada dalam ruang domestik di rumah mahupun ruang sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Melalui peranan inilah, Ramadhan dapat dihidupkan sebagai tarbiah rohani yang amat bermakna, sekali gus menyatukan hati-hati untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Apabila hilal Ramadhan kelihatan, seluruh umat Islam berada dalam keadaan mode ready untuk mengabdikan seluruh jiwa dan raga demi meraih sebanyak-banyak pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Namun bagi Muslimah, secara umumnya mereka akan berdepan dengan keuzuran syarie seperti kedatangan haid dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, Muslimah yang beriman tidak menjadikan keadaan tersebut sebagai penghalang untuk terus menghidupkan bulan keampunan ini sebaik mungkin. Demi memberikan motivasi terbaik kepada keluarga dalam menyambut Ramadhan, para Muslimah tetap melaksanakan khidmat kepada ahli keluarga dengan menyediakan sahur, juadah berbuka, serta menasihati suami dan anak-anak agar menghidupkan malam-malam Ramadhan yang penuh keberkatan. Para ibu, tanpa jemu, berusaha memastikan ahli keluarga terus bersemangat menjalani ibadah yang mulia ini di samping meneruskan rutin harian seperti biasa.
Rasulullah SAW telah menyampaikan khabar gembira kepada kaum ibu Muslimah melalui sabda Baginda: “Barang siapa yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah akan memberinya minum daripada air kolamku dengan suatu minuman yang tidak akan menyebabkan dia merasa dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.” [HR Ibnu Huzaimah]
Bertitik tolak daripada ibadah puasa, para ibu Muslimah juga akan menerapkan nilai-nilai murni seperti mengelakkan pembaziran ketika berbuka puasa bersama keluarga. Seharian berpuasa seringkali menyebabkan selera makan meningkat, sehingga timbul keinginan untuk menyediakan pelbagai juadah di atas meja. Namun hakikatnya, keinginan tersebut hanyalah bersifat ilusi kerana makanan yang banyak sering tidak mampu dihabiskan. Pembaziran perlu dielakkan kerana orang yang membazir adalah sahabat syaitan. Oleh itu, para ibu Muslimah pasti akan menasihati ahli keluarga agar berbuka dengan makanan yang secukupnya serta berbelanja secara berhemah. Para ibu juga lazimnya akan mengingatkan tentang keadaan umat Islam di belahan dunia lain yang tidak mempunyai makanan untuk berbuka, bahkan ada yang hanya berbuka dengan sebiji kurma atau sekadar apa yang ada. Mereka diuji dengan pelbagai kesukaran seperti peperangan dan bencana.
Kesedaran ini wajar ditanamkan dalam diri setiap ahli keluarga, khususnya pada bulan Ramadhan, agar rasa empati dan kasih sayang sesama Islam dapat disemai sejak kecil melalui didikan ibu di rumah. Perasaan kebersamaan ini mampu melahirkan keinsafan serta membangkitkan keinginan untuk membantu saudara seakidah yang sedang ditimpa kesusahan dan kemelaratan akibat ketiadaan pembelaan yang sewajarnya.
Dalam masa yang sama, ibu Muslimah juga berperanan memberi kesedaran kepada keluarga tentang realiti dunia Islam dalam menyambut Ramadhan. Kesedaran ini penting bagi menegaskan bahawa umat Islam adalah umat yang satu, penuh kasih sayang serta sentiasa saling membantu dalam menegakkan syariat Allah SWT. Selain itu, kesedaran ini dapat mendidik ahli keluarga agar memahami bahawa penderitaan dan kebangkitan umat Islam merupakan tanggungjawab bersama, kerana hanya kesedaran yang benar mampu melahirkan tindakan dan amalan yang benar dalam menerapkan hukum Islam di muka bumi Allah SWT.
Demikianlah kepentingan peranan Muslimah yang tersirat di sebalik kegembiraan menyambut Ramadhan, bulan keampunan yang penuh barakah. Tanpa kesedaran ini, kesatuan umat Islam akan sukar dibentuk. Oleh itu, sebelum menyemai kesedaran tentang kesatuan emosi umat, para Muslimah perlu terlebih dahulu memenuhi diri dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam yang sahih. Muslimah bukan sekadar penonton kegembiraan Ramadhan, bahkan mereka adalah pencetus suasana iman dan penggerak kesatuan umat.
Ayuh para Muslimah, jadilah Muslimah berkualiti yang mampu melahirkan generasi Ummatan Wahidatan yang unggul dan berkualiti!
#MasyarakatMuslimIdeal #MuslimahPelitaUmmah #Ramadhan #SyukurSelalu #KesatuanUmmah #OneUmmah #1Ummah1Perjuangan