Merangkul Visi Sejati Demi Perubahan dalam Era Distopia
Allah (swt) berfirman:
﴿وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَلَا الْمُسِيءُ قَلِيلًا مَّا تَتَذَكَّرُونَ﴾
“Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.” (TMQ Ghaafir [40]:58)
Era distopia menggambarkan sebuah masa depan masyarakat yang suram, sarat dengan penderitaan, kezaliman dan kekacauan. Tragisnya, gambaran ini telah menjadi realiti dekad ini: sebuah masyarakat yang kehilangan kebebasan dan diliputi ketakutan. Keadaan ini menyebabkan ramai manusia, termasuk umat Islam, hilang keberanian untuk bermimpi besar — terperangkap dalam mod “survival” semata-mata di samping masyarakat.
Dalam era kehidupan yang serba terhad ini, umat Islam sering gagal memahami secara mendalam tujuan hidup dan cara mengejar aspirasi yang sebenar. Peminggiran cahaya Islam menyebabkan ramai hanyut dalam kehidupan, menjauhi visi besar, sekadar menjadi pengikut keadaan yang biasa-biasa saja — atau sebaliknya mengejar keuntungan material dan kenikmatan duniawi yang cetek.
Nilai manusia menurut Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, ditentukan oleh apa yang dicarinya. Maka, apa yang kita kejar mencerminkan hakikat peribadi dan status kita — sama ada mulia atau hina. Visi dan aspirasi seorang Muslim sangat berbeza daripada cita-cita duniawi yang hanya tertumpu pada keuntungan material dan prestij; sebaliknya, ia sentiasa terikat dengan dua aspek utama kehidupan: identiti diri dan makna kejayaan, yang akhirnya membawa kepada tujuan hidup sebenar —beribadah kepada Allah (swt).
Walau bagaimanapun, dalam era ketidakpastian, distopia dan krisis yang bertubi-tubi ini — di mana lapisan-lapisan kekeliruan dan kekaburan telah menyelubungi pandangan umat seperti sebuah labirin tanpa penghujung — Ummah memerlukan cahaya petunjuk Islam untuk memimpin mereka ke arah masa depan sebenar, di dunia dan di akhirat.
Pembinaan Visi Ummah
Secara linguistik, visi sering difahami sebagai penglihatan atau keupayaan untuk melihat. Al-Quran memberikan makna yang lebih mendalam terhadap konsep ini:
﴿قَدْ جَاۤءَكُمْ بَصَاۤىِٕرُ مِنْ رَّبِّكُمْۚ فَمَنْ اَبْصَرَ فَلِنَفْسِهٖۚ وَمَنْ عَمِيَ فَعَلَيْهَاۗ وَمَآ اَنَا۠ عَلَيْكُمْ بِحَفِيْظٍ﴾
“(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”. (TMQ Al-An’aam [6]:104)
Daripada ayat ini, al-Quran memperkenalkan istilah basirah sebagai konsep pertama visi seorang Muslim. Basirah (atau wawasan) — ini adalah keupayaan untuk melihat kebenaran, membezakan jalan yang benar dan yang salah, serta mengenali hakikat realiti. Keupayaan ini hanya boleh dipupuk melalui ketakwaan, kerana jiwa yang mulia tidak lahir secara semula jadi, tetapi dibentuk oleh akidah Islam.
Konsep seterusnya yang membina visi umat Muhammad (saw) ialah firasah /firasat (pandangan jauh/ketajaman intuisi), berdasarkan sabda Rasulullah (saw):
«اِتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ، فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللهِ»
“Takutilah firasat orang mukmin, kerana sesungguhnya dia melihat dengan nur (cahaya) Allah.”
(HR Tirmidzi)
Firasat dibina di atas basirah. Ia melahirkan pandangan jauh atau intuisi untuk menilai masa kini dengan tepat, memilih jalan yang betul ke hadapan, dan menjangka masa depan—semuanya melalui cahaya iman. Pandangan jauh yang strategik ini membentuk keupayaan membuat keputusan yang bijaksana sambil mencari perlindungan sepenuhnya kepada Allah (swt).
Kedua-dua konsep ini, basirah dan firasat membina wawasan dan keupayaan berpandangan jauh dalam umat Muhammad (saw), memberikannya pemahaman yang mendalam, serta visi yang luas sehingga menembusi sampai ke akhirat. Oleh itu, mereka tidak gentar terhadap masa depan, tatkala mereka mempersiapkan kehidupan untuk merangkul dunia dan akhirat (dunia wal akhirah).
Pada zaman kegemilangan Islam, muncul generasi yang jiwanya dipenuhi cita-cita tinggi — generasi yang tidak gentar dengan godaan dunia, malah menaklukkannya demi kejayaan dunia dan akhirat. Para sahabat Rasulullah (saw) telah menumbangkan empayar terbesar dunia, mengalahkan dua kuasa besar (Rom dan Parsi), serta memperluaskan pembebasan hingga ke India, Maghribi, Sepanyol dan seterusnya.
Begitu juga pada era kegemilangan dan kebangkitan Islam seperti zaman Salahuddin al-Ayyubi — musuh-musuh Allah dihina sehina-hinanya. Bahkan dikatakan bahawa sepuluh tawanan Kristian diikat dengan satu tali dan ditukar dengan sepasang kasut. Apabila ditanya mengapa, mereka menjawab:
“Kami mengabadikan kehinaan mereka dengan menukar pahlawan mereka dengan kasut.”
Oleh itu, aib mereka kekal selama-lamanya.
Visi Kolektif Demi Perubahan Umat Muhammad (saw)
Bagi seorang Muslim, era distopia tidak mampu memadamkan visi besar perubahan untuk Islam. Ketidakpastian juga tidak melenyapkan tekadnya, kerana imannya menerangi jalan, dan keyakinannya terikat kepada Yang Maha Ghaib Lagi Maha Mengetahui.
Allah (swt) berfirman:
﴿الَّذِيْنَ يُؤْمِنُوْنَ بِالْغَيْبِ، وَيُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ، وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُوْنَ﴾
“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (TMQ Al-Baqarah [2]:3)
Allah (swt) meletakkan iman kepada perkara ghaib sebelum mengerjakan solat dan membelanjakan harta, kerana iman kepada perkara ghaib adalah kuncinya. Keimanan kepada perkara ghaib inilah yang menjadikan seorang Muslim kuat, kerana dia bersandar pada kepastian bahawa dia adalah makhluk yang memerlukan Penciptanya. Kepercayaan inilah yang mengaktifkan basirah dan firasat untuk membawa perubahan yang signifikan bagi Islam.
Dengan pandangan dan wawasan yang jauh, seorang Muslim akan menyedari bahawa jalan keluar dari era distopia hanyalah dengan kembali kepada kehidupan Islam. Ini kerana, akidah Islam bukan sekadar aspek kerohanian, tetapi merangkumi keyakinan spiritual dan politik. Natijahnya, kita akan memahami bahawa kemuliaan dan kemajuan umat hanya boleh dicapai dalam era Khilafah. Ini kerana Islam hanya dapat dilaksanakan sebagai ideologi secara menyeluruh di bawah sistem Khilafah.
Sebaliknya juga, salah satu manifestasi basirah adalah merangka strategi kejayaan yang terperinci dan mapan, di mana kesedaran politik akan melahirkan pemahaman bahawa perubahan sebenar tidak dicapai secara individu, tetapi melalui kekuatan kolektif — bahawa proses perubahan terletak pada amal jama‘i (tindakan kolektif), bukan sekadar amal fardiy (tindakan individu).
Rasulullah (saw) dengan jelas telah bersabda:
«إِنَّ اللَّهَ لَا يَجْمَعُ أُمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ، وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ»
“Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku di atas kesesatan, dan tangan Allah bersama jamaah.” (HR At-Tirmidzi)
Hadis ini membawa makna yang mendalam tentang pentingnya solidariti umat Islam sebagai kekuatan kolektif yang bersatu padu. Tangan Allah (swt) bersama jamaah. Malah, Rasulullah (saw) sendiri membuktikan bahawa kekuatan terbesar perubahan terletak pada gerakan dakwah kolektif (parti dakwah) yang dibinanya selama lebih sedekad di Mekah, sehingga memperoleh kemenangan dan pertolongan Allah di Yathrib (Madinah).
Kesimpulannya, marilah kita terus mengasah basirah dan firasat kita dengan Islam, sebagaimana firman Allah (swt) dalam ayat berikut:
﴿قَالُوا۟ أُوذِينَا مِن قَبْلِ أَن تَأْتِيَنَا وَمِن بَعْدِ مَا جِئْتَنَا قَالَ عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُهْلِكَ عَدُوَّكُمْ وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ﴾
“Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”. Nabi Musa menjawab: “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?” (TMQ Al-A’raaf [7]:129)
Frasa dalam ayat tersebut, ﴿فَيَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ﴾ “lalu Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu (beramal)” —datang selepas Allah (swt) memberikan kemenangan kepada kamu dengan memusnahkan musuh-musuh kamu.
Maksud ayat daripada Surah Al-A’raf [7:129] ini ialah, kita semua mesti BERSEDIA untuk membuka jalan dan mengikuti jejak langkah dengan melaksanakan Islam pada masa hadapan, setelah belajar daripada pelaksanaannya pada masa lalu.
Oleh itu, bersiap sedialah untuk dunia masa hadapan di tangan Islam dan bergantunglah kepada Allah (swt) sahaja.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
oleh Dr. Fika Komara
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan
#DariKegelapanMenujuCahaya #Basirah #Firasat
#KhilafahSistemIslam #TerapkanIslamKaffah