Uslub Memberi Nasihat Kepada Remaja
Oleh : Ustaz Iwan Januar
Sering kali sebagai ibu bapa kita terlupa bahawa apabila usia anak meningkat, karakter (sikap) mereka juga akan tumbuh dan berkembang. Intelektual dan emosional mereka juga turut berubah. Malangnya, persepsi yang sering melekat dalam fikiran ibu bapa ialah anak kita masih tetap dianggap sebagai kanak-kanak. Seolah-olah tiada perbezaan diantara usia 10 tahun dengan 17 tahun.
Di situlah terletaknya persoalan kita dengan anak teruna atau anak gadis. Apabila memberikan nasihat atau teguran, sering kali ibu bapa masih menggunakan “kaedah” yang sama, yakni pendekatan yang serupa ketika anak-anak masih menyarungkan pakaian seragam sekolah rendah.
Akibatnya akan timbul beberapa konflik-konflik kecil dengan mereka. Masalah akan timbul, apabila anak-anak sudah mula pandai berhujah, ibu bapa terus beranggapan bahawa anak itu bersikap memberontak atau derhaka. Tetapi apa yang berlaku ialah kita tersalah dalam memilih uslub atau teknik dalam menasihati atau menegur anak remaja.
Harus diakui, anak-anak prabaligh lebih mudah untuk diarahkan kerana intelektual dan emosional mereka yang masih terbatas. Ayat perintah dan larangan yang bersifat langsung seperti, “Solat, nak!” atau “Simpan kasut itu di rak!” mudah diberikan dan biasanya mereka akan lakukan tanpa mengeluarkan banyak perdebatan.
Namun apabila anak-anak memasuki fasa usia baligh, ibu bapa sering terlepas pandang bahawa kecerdasan anak remaja semakin berkembang. Bacaan, tontonan, dan pergaulan meluaskan cakerawala pemikiran mereka dalam membuat keputusan. Jika dahulu mereka hanya menerima maklumat semata-mata daripada ibu bapa, kini terdapat pelbagai sumber maklumat yang mereka perolehi. Semakin banyak maklumat yang diterima, maka secara automatik akan memberikan mereka lebih banyak pilihan untuk dipertimbangkan (dipilih) bukan lagi hanya daripada pandangan ibu bapa sahaja.
Pertambahan usia juga menyebabkan naluri mempertahankan diri anak semakin kuat. Dahulu mereka hanya menurut sahaja apabila disuruh untuk tidur seketika di siang hari, tetapi tidak mudah untuk memaksa anak remaja untuk tidur pada siang hari atau mandi pada waktu pagi seperti ketika mereka dibangku sekolah rendah. Dahulu mereka menurut sahaja apabila rambut dipotong mengikut citarasa ibu bapa, namun apabila meningkat remaja, mereka merasakan bahawa mereka mempunyai hak untuk memilih gaya potongan rambut sendiri.
Semua itu adalah perkara yang normal wahai ibu bapa. Mereka tidak bersalah, itulah sunnatullah. Satu-satunya yang keliru ialah kita sebagai ibu bapa yang masih menggunakan uslub yang sama seperti sepuluh tahun yang lalu digunapakai kepada anak remaja yang kini telah berusia tujuh belas tahun!
Belajar daripada Al-Quran
Ibu bapa sila baca Al-Quran, nescaya akan didapati cara para nabi yang luar biasa ketika berdialog dengan putera-putera mereka. Al-Quran sendiri mempunyai pendekatan yang sangat menakjubkan ketika berdialog dan memberi pengajaran kepada kita.
Ketika Nabi Ibrahim AS melaksanakan perintah Allah SWT untuk menyembelih puteranya Ismail AS, beliau menggunakan kaedah bertanya.
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim AS berkata, “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab, “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar”. [TMQ As-Saffat (37):102]
Terdapat beberapa penafsiran tentang lafaz “falamma balagha ma’ahu as-sa’ya”. Sebahagian mentafsirkan ia berlaku ketika Ismail sudah sanggup membantu ayahnya bekerja. Manakala Imam al-Farra menafsirkan bahawa peristiwa itu berlaku ketika Ismail berusia tiga belas tahun.
Kita boleh mengambil ibrah daripada peristiwa ini, Nabi Ibrahim AS mengajak puteranya berdialog untuk melaksanakan perintah Allah SWT ketika Nabi Ismail AS sudah mencapai usia matang. Nabi Ibrahim AS tidak terus memberikan perintah secara langsung, tetapi melalui pertanyaannya, Nabi Ismail AS sudah memahami bahawa pertanyaan itu sudah terkandung perintah Allah SWT, maka Nabi Ismail AS menjawab:
“Wahai bapakku, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”
Gunakan Uslub Yang Sesuai Dengan Usia Mereka
Terdapat beberapa tips yang bermanfaat dalam memberikan nasihat ataupun teguran kepada anak remaja. Semoga nasihat dan teguran kita dapat diterima oleh mereka, tanpa membuatkan hati mereka tertekan atau menimbulkan kemarahan.
Pertama – Jadilah pendengar yang baik. Perkara yang remeh tetapi ibu bapa sering terlepas pandang. Biasanya, apabila anak baru sahaja menceritakan sepuluh ayat, ibu bapa sudah terus membuat kesimpulan, “kamu salah!” Situasi ini sudah tentu tidak menyenangkan, bukan? Bayangkan jika ia terjadi kepada kita sendiri. Suami baru bercerita separuh, isteri sudah mula berdebat. Sudah boleh bayangkan betapa tegang situasinya.
Keadaan yang sama juga berlaku dalam jiwa anak. Akhirnya mereka merasa selalu dipinggirkan oleh ibu bapa dan sentiasa berasa salah di mata orang tua. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa suka berkata begini, “Kami ingin yang terbaik buat kamu” atau, “Ibu ayah sudah banyak pengalaman” atau “Tidak mungkin kami memberi nasihat yang salah, nasihat kami pasti betul”
Siapa yang boleh memastikan bahawa ibu bapa sentiasa betul?
Adakah benar bahawa “terbaik” mengikut ibu bapa pasti juga terbaik untuk anak?
Walaupun niat ibu bapa betul, namun terdapat sifat egoisnya di situ. Jujur saja.
Wahai ibu dan ayah, sedarkah kita bahawa sikap itu boleh menjatuhkan mental anak?
Lebih serius lagi, jika dibiarkan anak boleh beransur-ansur menjahui ibu bapa dan agamanya (Islam). Dengarkan dahulu sepenuhnya cerita anak remaja ini, kemudian barulah membuat kesimpulan dengan baik. Setiap manusia lebih-lebih lagi yang dewasa suka apabila ada seseorang yang ingin mendengar luahan mereka.
Kedua – Hindari sikap agresif. Kadangkala kita terburu-buru dalam memberi nasihat atau teguran kepada anak. Akhirnya anak remaja merasa diserang, lalu mereka membela diri dengan berhujah. Pada waktu itu, ibu bapa biasanya mudah terpicu untuk menjadi semakin agresif.
Keadaan ini tidak elok untuk kesihatan mental anak. Ini boleh menimbulkan dua kemungkinan sama ada anak menjadi patah semangat dan hilang rasa hormat kepada ibu bapa atau memberontak! Kedua-duanya adalah sama negatif. Teruskanlah memberi nasihat dengan santun dengan nada penuh kasih sayang bukan secara berdebat.
Ketiga – Gunakan gaya istifham al-inkari. Salah satu cara yang diguna pakai dalam Al-Quran semasa memberikan tausiyah (nasihat) kepada umat manusia adalah dengan istifham al-inkari, iaitu menanamkan pemahaman dengan suatu pertanyaan yang bersifat pengingkaran.
Contohnya:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: ‘Kami Telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? [TMQ al-Ankabut (29): 2].
Jawapan kepada pertanyaan ayat di atas pastinya, pasti mereka akan diuji! Contoh lain:
“Apakah (kamu hendak mengubah nasib) orang-orang yang telah pasti ketentuan azab atasnya? Apakah kamu akan menyelamatkan orang yang berada dalam api neraka?” [TMQ az-Zumar (39):19].
Mengapa uslub seperti ini sesuai untuk anak remaja? Hal ini kerana pertanyaan seperti itu mendorong mereka untuk berfikir dan menyentuh perasaan mereka tanpa terlalu menghakimi mereka. Contohnya apabila kita melihat bilik mereka bersepah, bukankah lebih baik kita bertanya, “Abang nak ayah ajarkan cara mengemas bilik?” Itu lebih baik tanpa terlalu menghakimi dan menjaga maruah mereka berbanding berkata sedemikian “Bilik kamu bersepah sangat, macam mana nak uruskan orang lain kalau urus diri sendiri pun tak mampu.”
Atau ketika kita ingin mengingatkan mereka agar tidak ketagih bermain telefon, kita boleh menanyakan mereka, “Abang, hafalan Al-Quran bertambah atau tidak ya kalau berjam-jam bermain telefon?” Bukankah ayat ini lebih baik daripada kita berkata “Kamu ni macam tiada kerja, hari-hari asyik bermain telefon sahaja.”
Keempat – Beri ruang kepercayaan kepada mereka. Di zaman yang penuh dengan pelbagai gejala sosial seperti pergaduhan, dadah, LGBT tanpa disedari kita mudah terjebak dalam keadaan paranoid. Ketakutan berlebihan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi kita dalam membatasi ruang gerak anak-anak. Ibu bapa memberikan kepercayaan yang minimum kepada anak. Apabila hal ini berlaku, anak-anak akan merasa tidak selesa. lalu mereka berhujah dan kita sebagai ibu bapa melabelkan mereka sebagai memberontak.
Apa yang boleh kita lakukan sebagai ibu bapa adalah dengan memberikan ruang kepercayaan yang secukupnya dengan batas dan panduan. Contohnya, jika kita mengetahui ada diantara rakan mereka yang kurang baik sikapnya, cukup sahaja kira katakan, “Ayah lihat si fulan kurang baik percakapannya dan seperti malas untuk solat. Kita boleh sahaja berkawan dengan orang seperti itu, tetapi jangan dijadikan sahabat rapat. Cukuplah sekadar kenalan sahaja”
Kelima – Jangan berjela-jela dan berulang-ulang. Orang dewasa juga akan merasa tertekan apabila sering diberikan nasihat yang sama secara berulang-ulang dengan panjang lebar. Kebiasaannya kita sebagai ibu bapa sering melakukan hal tersebut kepada anak-anak. Akhirnya anak-anak akan menjadi defensif dan tidak mahu mendengar. Ada pula sebahagian anak memilih untuk berdiam diri bukan kerana patuh tetapi enggan untuk memberikan maklum balas. Ini akan menyebabkan mereka tidak menghormati ibu bapa mereka.
Apa yang boleh kita lakukan sekiranya anak remaja mengulangi kesalahan hanyalah mengingatkan mereka dengan ayat yang pendek dan ringkas seperti, “Ayah sudah ingatkan, tingkah laku ini akan merosakkan?” atau “Perlukah Umi mengulang lagi nasihat untuk masalah ini?”
Anak akan terdiam tetapi mereka akan merasakan bahawa tindakan mereka adalah salah tanpa hilang rasa hormat pada ibu bapa. Berbeza keadaannya apabila ibu bapa secara agresif mengulangi lagi nasihat yang sama. Mereka akan merasa terhina daripada diberikan pengajaran.
Akhir sekali, teruslah menyokong anak-anak untuk berubah menjadi yang lebih baik. Walaupun anda pernah bertengkar dengan anak, selepas itu peluklah dan berikan sokongan kepada mereka. Pegang tanganya atau tepuklah bahunya sambil berkata, “Umi percaya kamu boleh buat yang lebih baik lagi,” atau “Ayah doakan kamu sentiasa dalam lindungan Allah.”
Marilah kita mula mengubah cara didikan anak remaja agar mereka membesar dan tumbuh menjadi pokok yang kuat dan kukuh serta tidak mudah patah sebelum tumbuh sepenuhnya.
#KeluargaMuslimIdeal #NasihatRemaja #IslamicParenting #MotivasiKeluarga #RemajaMuslim #PendidikanKeluarga