3 Perkara Yang Melukai Hati Anak
Oleh : Ustaz Iwan Januar
Ramai dikalangan ibu bapa terkejut apabila mendapati anak-anak mereka yang sudah meningkat dewasa menjadi penentang dan kurang rasa hormat. Hakikatnya, tanpa disedari, ibu bapa lah yang menjadi punca hati anak-anak terguris dan terluka. Ia membekas sehinggalah mereka menjadi dewasa.
Ikatan emosi atau emotional bonding adalah salah satu tali pengikat hubungan antara anak dengan ibu bapa. Ikatan emosi itu merupakan ikatan kemesraan yang mendalam di antara anak dengan ibu bapa, sehingga anak berasa selamat, selesa, dan saling mempercayai. Semakin kuat emotional bonding di antara mereka, kehidupan dalam kekeluargaan akan bertambah harmoni.
Kunci kepada ikatan emosional yang kukuh itu terletak kepada ibu bapa. Ini adalah kerana pada tahap anak belum memasuki fasa akil baligh, mereka lebih bergantung kepada ibu bapanya. Apabila memasuki usia akil baligh dan dewasa, anak-anak sudah mampu membina pemikiran sendiri, termasuk dalam memaknai hubungan dengan kedua ibu bapanya.
Namun begitu, pemikiran seseorang apabila dewasa terbentuk di atas asas yang dibina sejak zaman kanak-kanak. Pengalaman berinteraksi dengan ibu bapa pada peringkat awal kehidupan menjadi landasan utama hubungan ketika dewasa.
Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi ibu bapa menitikberatkan perkara-perkara yang boleh mengganggu ikatan emosi dengan anak. Gangguan tersebut boleh sahaja timbul akibat tidak tahu, tidak memahami, atau enggan membina hubungan kasih sayang dengan anak-anak.
Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan luka pengasuhan (parenting wounds) terhadap anak-anak. Perkara ini bukan sahaja melukakan hati mereka, malah akan melemahkan ikatan emosi (emotional bonding) antara ibu bapa dengan anak.
1) Mengabaikan Keperluan Anak
Terdapat sebahagian ibu bapa yang mengabaikan keperluan anak-anak. Baik keperluan kasih sayang mahupun keperluan fizikal. Ada juga terdapat ibu bapa yang tidak menitik beratkan keperluan nutrisi, kebersihan fizikal, pemakaian yang sesuai, serta keperluan rawatan terhadap anak yang sakit.
Kemiskinan bukan alasan untuk membiarkan anak berketerampilan kotor atau kurang nutrisi. Tetapi disebabkan oleh kurang prihatin terhadap keperluan mereka. Beberapa kes malnutrisi pada anak berlaku akibat keterbatasan pengetahuan dan kurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak.
Terdapat juga ibu bapa yang kurang memberikan perhatian, kasih sayang dan perlindungan kepada anak-anak. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam keluarga yang ibunya bekerja, malah bukan sedikit berlaku di kalangan ibu yang merupakan suri rumah tangga. Mereka lebih sibuk dengan perihal sendiri berbanding meluangkan masa bersama anak-anak.
Pengabaian pada anak yang berterusan dalam jangka masa panjang akan melukai hati anak. Terutama apabila mereka mula menyedari bahawa diri mereka diabaikan oleh ibu bapanya. Ini termasuk luka dalam proses pengasuhan yang menuntut pemulihan yang serius daripada ibu bapanya.
2) Menyalahkan Anak Dalam Persoalan Keluarga
Terdapat ibu bapa yang kurang matang dalam menangani cabaran kehidupan, termasuk konflik dengan pasangan. Lalu mereka menjadikan anak sebagai sasaran kemarahan dan kesalahan. Sikap menyalahkan anak akan merosakkan mental dan melukakan perasaan anak-anak.
Anak-anak yang kerap dijadikan sasaran kemarahan dan kekesalan ibu bapa berpotensi menyimpan dendam di dalam diri mereka. Mereka juga berfikir untuk berpisah daripada ibu bapanya. Sebahagian daripada mereka juga berfikir untuk tidak mahu lagi menemui ibu bapanya.
Oleh yang demikian, bersikap matanglah ketika menghadapi pelbagai persoalan hidup. Tanganilah ia bersesuaian dengan petunjuk Allah SWT; dengan penuh kesabaran dan bertawakal kepada Allah SWT. Fokus kepada pencarian solusi, bukan melempar kesalahan kepada anak-anak. Ibu bapa wajib melindungi anak-anak serta memberikan suasana yang selamat dan selesa kepada mereka dalam apa jua keadaan. Itulah amal soleh ibu bapa.
3) Meletakkan Pengasuhan Anak kepada Orang Lain
Di tengah arus kehidupan yang menuntut banyak keperluan material, ramai suami isteri bekerja sepenuh masa. Dari pagi hingga malam, Isnin hingga Jumaat. Apabila mereka mempunyai anak, solusi yang diambil adalah meletakkan pengasuhan anak kepada pengasuh, ibu bapa, saudara mara, atau pusat jagaan kanak-kanak.
Di China, perkhidmatan pusat penjagaan kanak-kanak terus meningkat sehingga menyediakan sebanyak 4.77 juta slot pengasuhan anak di seluruh negara sehingga akhir tahun 2023. Langkah ini dilakukan untuk menggalakkan pasangan di negara ‘Tirai Buluh (Bamboo Curtain)’ itu mempunyai anak, serta memastikan para ibu tidak perlu berasa bimbang meninggalkan pekerjaan kerana anak.
Adakah ini selamat? Dari segi fitrah dan agama, ibu bapa merupakan penanggungjawab pengasuhan yang pertama dan utama bagi anak. Rasulullah SAW mengingatkan:
والرَّجُلُ راعٍ علَى أَهْلِ بَيْتِهِ ، والمرْأَةُ راعِيةٌ على بيْتِ زَوْجِها وولَدِهِ ، فَكُلُّكُمْ راعٍ ، وكُلُّكُمْ مسئولٌ عنْ رعِيَّتِهِ
“Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya di rumah, manakala seorang perempuan pula pemimpin bagi rumah suaminya serta anak-anaknya. Oleh itu, setiap orang daripada kalian adalah pemimpin, dan setiap seorang akan ditanya tentang yang dipimpinnya” [Muttafaq alaih]
Terus menerus meletakkan anak kepada orang lain, termasuk saudara mara dan orang tua, akan melemahkan ikatan emosi antara ibu bapa dengan anak. Apabila anak membesar dan menjadi dewasa dan merasakan dirinya diabaikan oleh ibu bapa, mereka akan kehilangan rasa hormat serta kasih sayang terhadap ibu bapa mereka. Malah, anak boleh berprasangka bahawa ibu bapanya kurang, atau tidak menyayangi mereka kerana kurang meluangkan masa bersama.
Menjadi ibu bapa merupakan suatu amal soleh yang menuntut pemahaman mendalam, kesungguhan, dan pengorbanan. Pendidikan anak tidak bertujuan untuk memperoleh keuntungan material atau sosial, tetapi untuk mencapai keredhaan Allah SWT dengan membimbing anak-anak ke arah ketaatan kepada Allah SWT. Maka jadilah ibu bapa yang penuh tanggungjawab dan memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak kita. Merekalah pelaburan akhirat bagi ibu bapanya.
#Anak #Parenting #PendidikanAnak #KeluargaMuslimIdeal #PertumbuhanEmosiAnak