Agar Rumah Tetap Menjadi Tempat Kembali
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Setiap keluarga Muslim pasti berkeinginan agar rumahnya penuh dengan kebahagiaan dan ketenteraman, penuh keberkatan, dan sentiasa dalam redha Allah SWT. Sering kita mendengar ungkapan baiti jannati, rumahku syurgaku, sebuah harapan daripada setiap keluarga Muslim bahawa tempatnya bernaung sentiasa dinaungi keberkatan sehingga seolah-olah menjadi syurga bagi penghuninya. Oleh yang demikian, apabila anggota keluarga bermusafir, sama ada lama atau sebentar, pasti akan rindu untuk kembali ke rumah.
Sayangnya, dalam masyarakat moden yang mana kehidupan hari ini dalam cengkaman sistem sekular kapitalisme, rumah sering kali dibebani dengan jangkaan (expectation) material iaitu memiliki rumah besar, hiasan dalaman mewah, atau perabot mahal. Rumah dijadikan sebagai aset, bukan tempat yang memiliki makna. Tidak jarang pertikaian dalam rumah tangga berpunca daripada tekanan ekonomi, tuntutan gaya hidup, atau kegagalan memenuhi standard sosial. Wajar jika rumah tidak lagi menjadi tempat yang dirindukan untuk pulang.
Namun kadangkala, rumah kelihatan bahagia di permukaan. Ada foto keluarga dan hiasan yang sangat mewah, tetapi ternyata kosong secara emosi. Dalam realiti ini, rumah boleh menjadi tempat perang dingin: komunikasi digital menggantikan dialog, penampilan menggantikan keintiman. Teknologi pun boleh jadi bukan mempererat hubungan keluarga, malah sebaliknya, semakin melebar jurang komunikasi antara ahli keluarga.
Rumah Ideal dalam Pandangan Islam
Rumah adalah tempat keluarga bernaung. Bagaimanapun, aktiviti atau pekerjaan yang diceburi di luar rumah, pada akhirnya anggota keluarga akan kembali ke rumah. Alhasil, rumah merupakan tempat yang sangat strategik bagi keluarga Muslim untuk mengumpulkan seluruh anggota keluarga dalam segala hal, sudah tentu dengan landasan akidah Islam.
Rumah mempunyai peranan strategik dalam proses pembinaan dan pendidikan anak, malah pendidikan dan pembinaan umat manusia. Pengaruh keluarga lebih kuat daripada sendi-sendi yang lain. Ini kerana sejak awal kehidupan, seorang manusia lebih banyak menerima pengaruh daripada keluarga tempatnya tinggal. Masa yang dihabiskan di dalam rumah bersama keluarganya juga lebih banyak daripada di tempat lain.
Pada hakikatnya, pendidikan dalam keluarga merupakan pendidikan sepanjang hayat. Pembinaan dan pengembangan keperibadian, serta penguasaan tsaqafah Islam, dilakukan melalui pengalaman hidup sehari-hari dan dipengaruhi oleh sumber pembelajaran dalam keluarga, terutama ayah dan ibu yang mereka tinggal bersama di dalam rumah. Rumah adalah madrasah atau tempat pembelajaran bagi anggotanya, terutamanya pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.
Selain itu, rumah merupakan benteng pertahanan terakhir dalam menghadapi pelbagai ancaman, cabaran, halangan, dan gangguan yang boleh merosak dan menghancurkan tatanan masyarakat Islam yang bersih dan tinggi. Secara politik dan strategik, rumah berfungsi sebagai tempat yang paling ideal untuk mencetak generasi unggul, iaitu generasi yang bertakwa, cerdas, dan bersedia memimpin umat membina peradaban ideal pada masa hadapan.
Daripada pembahasan ini, jelas bahawa dalam pandangan Islam, rumah dalam fungsi-fungsinya boleh diumpamakan sebagai madrasah, hospital, masjid, malah kem tentera yang bersedia mencetak individu-individu mujtahid sekaligus mujahid. Cuma, semua ini hanya akan dapat terwujud jika seluruh anggota keluarga menjalankan peranan dan fungsi masing-masing dengan benar.
Terlaksananya Peranan Anggota Keluarga Akan Menjamin Hadirnya Keselesaan
Tanggungjawab menjadikan rumah sebagai tempat yang selesa bagi seluruh anggota keluarga tidak boleh diserahkan kepada satu pihak sahaja, iaitu ibu atau ayah sahaja. Sebaliknya, seluruh anggota keluarga mempunyai tanggungjawab yang sama. Maksudnya, ayah, ibu, mahupun anak-anak yang berada di dalam rumah tersebut mesti melaksanakan peranan dan fungsi masing-masing dengan betul mengikut tuntunan syariat Islam. Dengan demikian, rumah akan benar-benar menjadi tempat yang dirindui untuk pulang.
Suami atau ayah mampu menjadi imam, teladan keluarga dan umat yang akan membawa keluarganya kepadaNya dengan selamat. Manakala isteri atau ibu pula, mampu menjadi sumber kekuatan suami dan penyokong perjuangan, sekaligus sebagai ibu yang mampu mencetak generasi pilihan iaitu para mujahid dan mujtahid. Hubungan keduanya dalam rumah tangga dibina atas dasar kasih sayang dan persahabatan yang sempurna. Selain ayah dan ibu, dalam keluarga terdapat anak-anak yang sentiasa taat dan berbakti kepada ibu bapa mereka, berlandaskan kecintaan kepada Allah SWT.
Islam sebagai din yang sempurna telah memberikan aturan dengan sangat terperinci berkaitan peranan dan tanggungjawab setiap anggota keluarga. Rasulullah SAW bersabda, sebagaimana yang dituturkan oleh Ibnu ’Umar, “Setiap daripada kamu adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya. Seorang amir (ketua negara) adalah pemimpin rakyatnya yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya; Seorang lelaki adalah pemimpin rumah tangga, yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya; Seorang perempuan adalah pemimpin atas rumah tangga suaminya dan anak-anaknya yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya; Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya. Ingatlah, setiap daripada kamu adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya.” [HR Bukhari Muslim].
Peranan kepimpinan dalam hadis ini sama sekali tidak menunjukkan adanya kewajaran atau kelebihan darjat yang satu atas yang lain. Pemimpin negara tidak dianggap lebih mulia daripada rakyatnya. Seorang lelaki sebagai suami juga tidak dianggap lebih mulia berbanding isteri dan anak-anaknya. Kepimpinan adalah tanggungjawab dan amanah yang dibebankan oleh Allah SWT untuk dilaksanakan, dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai satu amal ibadah.
Islam menetapkan peranan dan fungsi suami adalah menjadi pemimpin rumah tangga yang mempunyai kewajipan untuk menafkahi dan melindungi seluruh anggota keluarganya. Suami ibarat nakhoda yang akan mengemudi ke mana bahtera akan diarahkan, dan kepimpinan tersebut telah Allah amanahkan ke bahu suami.
[ الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ. [النساء: 34
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.” [TQM An-Nisaa(4): 34].
Sebagai pemimpin keluarga, suami berkewajipan memberikan nafkah yang sepatutnya kepada isteri dan anak-anaknya. Ketetapan ini termaktub dalam firman Allah SWT.,“Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.” [TQM Al-Baqarah(2): 233].
Suami yang baik dalam perspektif Islam ialah orang yang bersungguh-sungguh dalam bekerja demi memenuhi keperluan nafkah keluarganya secara makruf. Beliau tidak akan lari daripada tanggungjawab ini, apatah lagi dengan melepaskan beban nafkah kepada isteri atau anak-anaknya.
Sungguh besar ganjaran yang Allah berikan kepada suami yang tekun bekerja demi menunaikan kewajipan nafkah keluarga. Rasulullah SAW bersabda, “Satu dinar yang engkau nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dan satu dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, yang paling agung pahalanya ialah yang engkau nafkahkan kepada keluargamu.” [HR Muslim].
Selain itu, Islam juga memberi kewajipan, peranan, dan fungsi mulia bagi isteri. Beliau berkewajipan untuk taat kepada suaminya. Di samping kewajipan, ketaatan kepada suami juga merupakan sifat seorang isteri solehah. Allah SWT menegaskan hal ini dalam firmanNya:
فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّه
“Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah mereka yang taat dan memelihara diri apabila suaminya tiada..” [TQM An-Nisaa (4): 34].
Manakala perempuan sebagai pemimpin rumah tangga suami dan anak-anaknya bermaksud bahawa beliau bertindak sebagai ibu dan pengurus rumah suaminya (ummun wa rabbah al-bayt). Kepimpinan yang utama ialah merawat, membimbing, dan mendidik anak-anaknya supaya kelak menjadi insan yang mulia di sisi Allah. Beliau juga berperanan membina, mengatur, dan menyelesaikan urusan rumah tangga supaya memberikan ketenteraman dan keselesaan kepada anggota keluarga yang lain.
Semua ini berkaitan dengan peranan dan fungsi suami isteri dalam rumah tangga. Lalu, apakah yang boleh kita usahakan supaya rumah menjadi tempat kembali bagi seluruh anggota keluarga kita?
Agar Rumah Selalu Menjadi Tempat Kembali
Rumah sebagai tempat tinggal yang mengandungi keberkatan tidak cukup dinilai daripada wujud bangunan fizikalnya yang kelihatan besar, megah, atau mewah. Lebih penting untuk menitikberatkan keadaan rumah tersebut yang sentiasa menebar aura kebaikan, ketenteraman, dan keamanan. Rumah yang diberkati pastinya akan membuatkan penghuninya berasa selesa tinggal di dalamnya. Lalu, bagaimana mewujudkannya?
1.Sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai pegangan seluruh anggota keluarga.
Sepatutnya keluarga Muslim menjadikan akidah Islam dan syariatnya sebagai panduan serta penyelesaian terhadap semua permasalahan yang berlaku dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram dijadikan asas dalam setiap perbuatan, bukan hawa nafsu. Apabila seluruh anggota keluarga mempunyai pegangan yang sama, iaitu syariat Islam, maka apabila timbul perbezaan pendapat, perselisihan di antara anggota keluarga dapat diminimumkan. Di sinilah pentingnya anggota keluarga mengukuhkan pemahaman tentang syariat Islam dan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakannya mengikut tuntunan Allah dan RasulNya.
- Rumah yang sentiasa digunakan untuk melakukan amal kebaikan.
Rumah berfungsi untuk memelihara keharmonian anggota keluarga, menenangkan hati, memusatkan fikiran, memulihkan tenaga, serta menjadi ladang amal untuk memberi makna kepada kehidupan. Apabila seluruh anggota keluarga sentiasa menghiasi setiap aktiviti mereka dengan kebaikan, maka keberkatan akan tercurah dalam keluarga kita.
Antara amal kebaikan ialah menyebarkan salam ketika keluar dan masuk rumah, berzikir, menunaikan solat berjemaah, serta memperbanyakkan solat sunat. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, “Jadikanlah sebahagian solat kamu (iaitu solat-solat sunat) di rumah-rumah kamu, dan jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kubur (yang tidak boleh disolat di dalamnya)..” [HR Muslim dari Ibnu Umar RA.].
- Sentiasa dipenuhi Kasih Sayang dan Pergaulan yang Makruf antara penghuninya.
Rumah yang selesa dan penuh keberkatan dapat terwujud apabila diliputi kasih sayang, penjagaan, pergaulan yang makruf, serta kelembutan di kalangan penghuninya. Ini kerana cinta dan kasih sayang akan membawa kepada kebaikan. Sebaliknya, rumah yang diberkati tidak akan tercipta sekiranya penghuninya sentiasa bertengkar, berselisih faham, atau bermusuhan.
Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik perlakuannya terhadap keluarganya. Sesungguhnya, aku sendiri adalah orang yang paling baik di antara kamu dalam memperlakukan keluargaku.” [HR Ibnu Majah].
- Selalu Dibacakan Ayat-Ayat Al-Quran.
Al-Quran menjadi penasihat sekaligus penawar hati yang sedang gelisah dan dada terasa sempit. Ia menjadi petunjuk dan rahmat bagi manusia. Cahaya Al-Quran masuk ke dalam hati hamba yang beriman sehingga memberikan ketenangan dan ketenteraman. Cahaya Al-Quran menyinari rumah-rumah mereka. Lantunan ayat-ayat Al-Quran sentiasa bergema, menyelimuti sekeliling rumah. Rasulullah SAW bersabda,“Sinarilah rumah-rumah kamu sekalian dengan bacaan Al-Quran.”
- Menjadikan rumah sebagai majlis ilmu untuk membina keluarga dengan tsaqafah Islam.
Begitu pentingnya pembinaan dan pendidikan di dalam rumah atau keluarga. Pendidikan anak sejak kecil dalam keluarga akan tertanam dengan kukuh dalam diri seorang anak. Pengalaman hidup pada masa-masa awal umur manusia akan membentuk ciri-ciri khas yang mungkin tiada sesiapa dapat mengubahnya selepas tempoh itu.
Oleh itu, menanam ideologi Islam hendaklah dimulakan sejak awal kepada anak-anak kita supaya Islam dijadikan sebagai bekalan dan pegangan oleh mereka dalam menempuh kehidupan. Sudah tentu, kita juga mesti terus menuntut ilmu Islam hingga akhir hayat dan menyampaikannya kepada anak-anak kita ketika membersamai mereka.
- Mempunyai ruang yang mencukupi supaya kehidupan khusus keluarga dapat terjaga.
Kecukupan ruang ini bukan bermakna rumah mesti besar, sebaliknya ruang-ruang tersebut mencukupi keperluan supaya dapat memelihara kehormatan setiap anggota keluarga. Contohnya, terdapat tempat untuk menerima tetamu, bilik tidur ibu bapa, bilik tidur anak lelaki, dan bilik tidur anak perempuan yang kedua-duanya perlu dipisahkan.
Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Perintahkanlah anak-anak kalian solat tatkala mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka bila masih enggan solat tatkala mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkanlah mereka pada tempat-tempat tidurnya.” [HR Ahmad, Abu Daud, dan Al-Hakim].
Keluarga Muslim Memerlukan Sistem Kondusif
Demikianlah, Islam dengan sangat terperinci dan teliti mengatur bagaimana seharusnya keluarga Muslim mengurus rumahnya mengikut tuntunan syariat. Rumah bukan sahaja sebagai tempat kita tinggal, malah juga sebagai tempat menimba ilmu, merawat, dan membesarkan anak-anak kita, serta menjadi tempat membentuk diri kita dan anak-anak menjadi generasi yang sentiasa menjaga Islam dan memperjuangkannya. Oleh itu, sudah menjadi kemestian untuk terus berusaha supaya rumah kita benar-benar menjadi tempat yang sarat dengan kebaikan dan sentiasa dinaungi keberkatan serta keselamatan, baik di dunia mahupun akhirat.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa untuk mewujudkan rumah yang selesa dan tenteram sehingga menjadi tempat bernaung yang sentiasa dirindui, ia memerlukan wujudnya sistem yang menyokong. Bagaimanapun, gempuran dari luar akan sentiasa menghalang, sama ada pemikiran yang merosakkan, godaan gaya hidup, ataupun kesukaran ekonomi yang boleh menimbulkan konflik dan menyebabkan ketidakselesaan dalam keluarga.
Di sinilah pentingnya mewujudkan tegaknya syariat Islam di tengah umat. Hanya di bawah naungan syariat Islam, keluarga Muslim akan sejahtera kerana negara akan bertanggungjawab sepenuhnya atas semua urusan rakyatnya. Sabda Rasulullah SAW,“Sesungguhnya, al-imam (khalifah) itu perisai, yang mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” [HR Bukhari, Muslim, Ahmad].
Negara Islam atau Khilafah akan meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan pendidikan Islam yang berkualiti secara percuma, membendung segala gaya hidup yang merosakkan, serta melaksanakan syariat Islam secara kaffah.
Dengan itu, marilah seluruh keluarga Muslim yang diberkati Allah SWT, mengukuhkan tekad dan berganding bahu untuk mengembalikan tegaknya syariat Islam, supaya kebahagiaan hakiki dapat dicapai di bawah naungan Khilafah Islamiah. Wallahu’alam.
#KeluargaMuslimIdeal #BaitiJannati