[Siri Ayuh Umat Bangkit] Kaedah Rasulullah SAW Dalam Mengubah Masyarakat (Bahagian 3/4)
Fasa Kedua: Fasa Penjelasan Dakwah dan Interaksi dengan Masyarakat
Pada fasa ini, Rasulullah SAW terus meneruskan usaha membentuk kutlah Baginda dengan membinanya serta menambah bilangan anggotanya. Di samping itu, Baginda juga melaksanakan beberapa aktiviti yang paling mencabar, paling sukar dan paling berat dalam perjalanan dakwah yang ditempuhi oleh kutlah para sahabat. Antara aktiviti tersebut ialah:
- Melaksanakan dakwah kepada masyarakat secara terbuka dan dalam jumlah yang besar bagi menyebarluaskan Islam serta membentuk pandangan umum yang berteraskan Islam.
- Melakukan pergolakan pemikiran terhadap akidah kufur berserta peraturan dan pemikiran yang lahir daripadanya, termasuk adat istiadat yang rosak, pemikiran yang salah serta kefahaman yang bercelaru. Hal ini dilakukan dengan menjelaskan kepalsuan semua perkara tersebut serta menyeru masyarakat supaya meninggalkannya.
- Menghadapi perjuangan politik dengan para pemimpin Quraisy yang secara terang-terangan menyatakan bahawa mereka akan terus berada dalam kekufuran dan memerintah masyarakat dengan peraturan kufur, di samping sikap keras dalam menghalang dakwah Islam.
Dalam fasa ini, Rasulullah SAW mengemban dakwah dan menampilkan kutlah tersebut bersama-sama Baginda untuk melaksanakan dakwah secara berterusan dengan pendekatan yang bersifat menentang. Hakikat dakwah itu sendiri memang mengandungi perjuangan menentang Quraisy dan masyarakat Mekah kerana ia menyeru kepada pengEsaan Allah dan beribadah hanya kepada-Nya. Pada masa yang sama, dakwah ini juga mengajak masyarakat meninggalkan penyembahan berhala serta melepaskan diri daripada peraturan rosak yang menguasai kehidupan mereka. Oleh itu, dakwah ini secara langsung bertembung dengan Quraisy secara menyeluruh.
Rasulullah SAW merendahkan pemikiran mereka, mencela tuhan-tuhan sembahan mereka, serta membongkar keburukan kehidupan mereka yang hina dan kezaliman sistem hidup yang mereka amalkan. Al-Quran diturunkan kepada Baginda untuk menyerang mereka dengan tegas. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.” [TMQ Al-Anbiyaa’ (21): 98]
Al-Quran juga menyerang amalan riba yang menjadi asas kehidupan mereka. Allah SWT berfirman:
“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan).” [TMQ Ar-Ruum (30): 29]
Al-Quran juga memberi peringatan keras kepada golongan yang menipu dalam timbangan. Allah SWT berfirman:
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” [TMQ Al-Mutaffifiin (83): 1-3]
Kesan daripada serangan tersebut, kaum Quraisy mula mengambil langkah untuk menghalang dakwah Baginda SAW dan menyakiti Baginda serta para sahabat. Ada kalanya mereka melakukan penyeksaan, dan pada waktu lain mereka melaksanakan pemboikotan. Mereka juga menyebarkan propaganda buruk untuk menentang Baginda dan agama Islam.
Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW terus menentang mereka dan meneruskan usaha memerangi idea-idea yang salah, menghapuskan akidah yang rosak serta berjihad dalam menyebarkan dakwah. Baginda menyeru kepada Islam secara terang-terangan, bukan dengan sindiran atau isyarat, bukan dengan sikap lembut yang melemahkan, bukan dengan merendahkan diri, berpura-pura atau menjilat. Semua ini tetap dilakukan walaupun Baginda terpaksa menghadapi pelbagai bentuk penyeksaan daripada Quraisy dan menanggung penderitaan yang berat.
Baginda melaksanakan semua itu seorang diri, tanpa bantuan manusia, tanpa persenjataan dan tanpa kekuatan material. Namun Baginda tetap teguh berjalan, mencabar dan menyeru kepada agama Allah dengan penuh keyakinan dan keimanan. Baginda tidak pernah menunjukkan kelemahan dalam memikul beban dakwah serta bersedia mengorbankan jiwa dan raga demi Islam.
Segala sikap dan keteguhan Baginda menjadi faktor penting dalam menghadapi pelbagai kesukaran yang diletakkan oleh Quraisy di hadapan Baginda, yang bertujuan memisahkan Baginda daripada masyarakat. Namun Rasulullah SAW tetap berjaya berinteraksi dengan masyarakat dan menyampaikan Islam kepada mereka. Ramai yang akhirnya menerima agama Allah sehingga kekuatan kebenaran berjaya mengalahkan kebatilan. Dari hari ke hari, cahaya Islam semakin tersebar dalam kalangan bangsa Arab. Ramai penyembah berhala dan penganut Kristian memeluk Islam. Bahkan para pemimpin Quraisy sendiri turut mendengar bacaan Al-Quran dan hati mereka tertarik kepadanya.
Dalam fasa ini juga bermulalah pertentangan terbuka antara satu pemikiran dengan pemikiran yang lain, iaitu antara kaum Muslimin dan orang-orang kafir. Keadaan ini bermula apabila kutlah para sahabat keluar sebagai satu barisan yang tersusun dan sebagai sebuah kutlah yang belum pernah disaksikan oleh bangsa Arab sebelum itu. Sejak saat itulah Rasulullah SAW menyebarkan dakwah di tengah masyarakat secara terbuka, berterusan dan tanpa henti, dengan pendekatan yang bersifat menentang.
Dakwah dan pembinaan secara berjemaah ini memberi kesan besar kepada Quraisy. Kedengkian mereka semakin memuncak dan mereka menyedari bahaya yang sedang mendekati mereka. Oleh itu, mereka mula mengambil langkah baru untuk menentang Baginda setelah strategi sebelumnya gagal mempengaruhi Muhammad SAW dan dakwahnya.
Dengan demikian, pertarungan politik semakin terbuka luas. Pada ketika itu juga, Al-Quran diturunkan dengan menyerang Abu Lahab, iaitu bapa saudara Rasulullah SAW sendiri yang merupakan salah seorang pembesar kota Mekah.
“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.” [TMQ Al-Masad (111): 2]
Al-Quran al-Karim juga diturunkan dengan mengecam Al-Walid bin Al-Mughirah, yang sentiasa melancarkan perang pemikiran dan propaganda terhadap dakwah Islam. Allah SWT berfirman:
“Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) – Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal); Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut; Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, Serta ia berkata: ” (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); “Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!” (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.” [TMQ Al-Muddaththir (74): 26]
Seiring dengan itu, penyeksaan dan penganiayaan terhadap Nabi SAW serta para sahabat Baginda semakin meningkat. Dakwah secara berjemaah yang dijalankan ini memberi pengaruh yang luas sehingga membuka ruang yang lebih besar bagi penyebaran Islam, walaupun pada masa yang sama ia membawa para pengembannya kepada kesengsaraan, penyeksaan dan pelbagai bentuk penganiayaan. Keadaan ini turut membangkitkan kemarahan dan kebencian para pembesar Quraisy sehingga mereka menyerang Rasulullah SAW dengan pelbagai cara yang kejam, penuh penghinaan dan penindasan yang menyelubungi seluruh kota Mekah. Baginda juga semakin mudah menjadi sasaran pelbagai rancangan jahat dan tindakan orang-orang kafir. Oleh itu, jelaslah bahawa fasa ini merupakan fasa yang paling berbahaya, namun pada masa yang sama juga merupakan fasa yang sangat penting.
Sejak Rasulullah SAW membentuk kutlah para sahabat yang bersama-sama Baginda melaksanakan dakwah kepada Islam secara terbuka, matlamatnya adalah untuk mengubah kebiasaan umum yang telah berakar dalam masyarakat Mekah, iaitu daripada kebiasaan jahiliah kepada kebiasaan yang berteraskan Islam. Perubahan kebiasaan umum ini merupakan langkah paling penting dalam usaha mengubah masyarakat serta mentransformasikannya daripada keadaan jahiliah kepada Islam. Hakikatnya, kebiasaan umum tersebut merupakan himpunan pemikiran dan perasaan yang wujud dalam masyarakat yang berfungsi mengatur tingkah laku, hubungan sosial dan sikap mereka.
Sumber: Diolah daripada `Dasar-Dasar Kebangkitan’ oleh Sheikh Ahmad Al-Qashash
#AyuhUmatBangkit #MasyarakatMuslimIdeal #ThariqahDakwahRasul #TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #SistemIslam #Khilafah