Perubahan Radikal, Sebuah Visi yang Diilhamkan oleh Wahyu Ilahi
﴿لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ﴾
“Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” [Al-Anbiya: 23]
————————–
Dalam artikel sebelumnya, kita telah membincangkan bagaimana keimanan kepada perkara ghaib, kesedaran tentang pertanggungjawaban, dan berdiri di hadapan Allah (swt) pada Hari Kiamat akan mendorong kita bekerja (untuk agama Allah) dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana-Nya. Kita juga membincangkan bagaimana Allah membezakan umat Islam melalui ketaatan mereka kepada perintah-Nya dan tindakan mereka yang selari dengan kehendak-Nya, sedangkan Bani Israil mendengar kalam Allah namun kemudiannya berkata, “kami telah mendengar dan kami derhaka.”
Sesiapa yang merenungi ayat-ayat penutup Surah Al-Baqarah akan memahami makna ini. Bukan tanpa sebab Rasulullah (saw) memerintahkan kita membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah setiap malam, baginda bersabda:
«مَنْ قَرَأَ الْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ»
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, nescaya akan mencukupkan (keperluan)nya.”
Zikir dibaca dengan hati yang hidup, di mana seorang Muslim menghayati maknanya,
﴿آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ﴾
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; ” [Al-Baqarah: 285].
Hati membangkitkan erti menjadi hamba Allah, dan makna penghambaan kepada-Nya bermaksud beriman, beramal, dan berjihad pada jalan agama ini, berbeza dengan Bani Israil yang disebut:
﴿ثُمَّ تَوَلَّيْتُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ﴾
“Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya);” [Al-Baqarah: 64].
Makna-makna ini, apabila dihidupkan dalam hati orang beriman, akan mendorongnya mencari jalan tindakan yang membawa kepada penegakan agama Allah serta membebaskannya daripada dosa akibat tidak bertindak.
Ayat-ayat Al-Quran sarat dengan tema perjuangan intelektual dengan bangsa lain dan kaum lain, serta perjuangan politik yang membongkar kejahatan, penipuan, dan kekosongan intelektual serta moral golongan penindas. Dalam ayat-ayat ini, Allah (swt) menyampaikan kepada Nabi (saw) dan orang-orang beriman sesudahnya, akan hujah-hujah yang tidak dapat disangkal terhadap dakwaan golongan musyrik dan Ahli Kitab.
﴿وَاتَّقُوا اللهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللهُ﴾
“…Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; …” [Al-Baqarah: 282].
Perkataan “Qul” (Tunggal bagi: katakan) dan “Qulu” (jamak bagi: katakan) sentiasa membawa hujah untuk menyangkal mereka yang mengikuti kebatilan, serta meruntuhkan kepercayaan dan hawa nafsu mereka. Perkara ini dan kelaziman makna-makna ini di dalam Kitab Allah, secara muktamad menunjukkan bahawa setiap Muslim diperintahkan untuk terlibat dalam perjuangan secara intelektual terhadap segala yang bertentangan dengan agamanya, serta diperintahkan untuk menentang orang-orang yang berbuat zalim serta membongkar kerosakannya.
Rasulullah (saw) bersabda:
سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَرَجُلٌ قَامَ إلَى إمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ، فَقَتَلَهُ
“Pemimpin para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu dia memerintah penguasa itu (dengan kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuh dirinya.”(HR al-Hakim dan ath-Thabarani).
Memandangkan umat Islam adalah saksi kepada umat lain dan pembawa kebenaran, serta diperintahkan untuk menyampaikan dan menyebarkannya (slam), — Sesungguhnya penyampaian ini hanya dapat dicapai dengan membongkar segala bentuk kebatilan, dan mengikuti jalan-jalan yang lurus, bersih dan sempurna (Islam). Allah telah mewajibkan adanya segolongan dalam umat ini yang melaksanakan tugas-tugas besar ini. Setiap kewajipan telah diperincikan hukumnya oleh Allah (swt) sehingga tiada satu pun urusan umat Islam yang tidak ditetapkan hukumnya, sama ada perkara wajib dan sunat, apa yang diperbolehkan dan apa yang tidak (halal-haram), termasuklah waktu dan cara pelaksanaannya. Hal ini jelas terlihat dalam semua ibadah seperti haji, solat, wudhuk, dan hukum-hukum umum seperti terkait penyucian, serta hukum jual beli, hutang dan persaksian. Islam adalah akidah yang daripadanya lahir sesuatu sistem—yakni, setiap hukumnya merangkumi dua aspek: pemikiran dan metode (kaedah) pelaksanaan.
Oleh sebab itu, apabila kita membincangkan perubahan dari perspektif wahyu Ilahi, dan peranan umat dalam pertarungan antara kebenaran dan kebatilan, dan kewajipan untuk terlibat dalam perjuangan intelektual, perjuangan politik, dan mengatakan kebenaran—serta menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran— Islam telah menetapkan dengan jelas hukum-hukum berkaitan tugas-tugas tersebut. Allah (swt) telah mewajibkan adanya satu kelompok dalam kalangan umat Islam untuk memenuhi kewajipan-kewajipan ini: menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran; iaitu, terlibat dalam perjuangan intelektual dan menyeru kepada Islam. Sepanjang sejarah, kewujudannya tidak pernah terputus atau hilang daripada umat Islam—sentiasa ada para ulama dan pemimpin yang menegakkan Islam melalui dakwah dan jihad dalam rangka memenuhi kewajipan-kewajipan ini.
Walau bagaimanapun, selepas kejatuhan negara Islam (sistem khilafah), golongan pemimpin ruwaibidhah (pemimpin jahil) telah memerintah dengan selain agama Allah, dan kebatilan telah menguasai negeri-negeri Islam. Idea-idea bertentangan dengan Islam kini diajarkan kepada generasi muda dan disebarkan dalam masyarakat. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk menubuhkan parti politik yang melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar bagi mengubah realiti ini dan menghidupkan kembali kehidupan Islam, membolehkan umat Islam mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut terhadap reaksi negatif atau stigma intelektual dan moral masyarakat yang tumbuh daripada ideologi asing. Dengan demikian, umat Islam kemudiannya akan bebas menyebarkan Islam ke negara lain dan mendedahkan kepalsuan kepercayaan mereka.
Fikirkanlah, semoga Allah merahmati anda, perhatikan perbezaan ketara ini: sepatutnya umat Islam mendedikasikan diri mereka untuk terlibat dalam perjuangan secara intelektual dengan bangsa lain, tetapi kini hanya segelintir kecil yang berusaha melawan pemikiran asing dalam negeri-negeri umat Islam sendiri, sambil cuba meyakinkan umat tentang keperluan perubahan radikal agar umat kembali kepada keadaan yang Allah (swt) kehendaki:
﴿تَأْمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ المُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللهِ﴾
“…(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” [Ali Imran: 110].
Kembali kepada konsep parti politik yang mana keberadaannya diamanahkan oleh Islam, iaitu untuk terlibat dalam proses prubahan, dan memperjelaskan cara kerjanya sebagai usaha politik yang bergerak dalam kerangka perjuangan intelektual dan politik yang bertujuan untuk membentuk pandangan umum berdasarkan agama Allah dan gagasan perubahan serta kebangkitan, —justeru, parti, kumpulan atau kelompok ini, ketika diamanahkan dengan tanggungjawab besar untuk berusaha memulihkan cara hidup Islam dan mengubah realiti di mana umat telah terjerumus ke dalam lautan kegelapan, — sehingga ia (umat) kembali menjadi umat bercahaya dan suar kebaikan bagi manusia. Oleh kerana itu, wajib untuk melayakkan diri menjalankan tugas besar ini melalui kesucian, keteguhan, dan keikhlasan yang tak berbelah bagi.
Mu’adz bin Jabal dan Tha’labah bin Ghanam (ra) meriwayatkan bahawa mereka berkata: “Wahai Rasulullah, mengapa bulan sabit kelihatan tipis (kecil), kemudian membesar hingga menjadi purnama dan bulat, lalu mengecil hingga kembali ke keadaan semula?” Kemudian Allah (swt) menurunkan firman-Nya:
﴿يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ﴾
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.” [Al Baqarah : 189]
Yang menarik dari ayat ini, dan yang mendorong saya untuk menulis artikel ini, adalah bahawa Allah (swt) tidak memberikan jawapan kepada umat Islam atas pertanyaan tersebut “Bagaimana,” melainkan menjelaskan kepada mereka “Mengapa?”. Dalam bimbingannya kepada umat Islam, Al-Quran menjauhkan mereka dari keasyikan terhadap perincian yang tidak perlu dalam perjalanan mereka menuju Allah (swt), sebaliknya ia mengarahkan perhatian mereka pada hukum-hukum yang penting bagi seorang Muslim agar dia bertindak sebagai penerus Allah (pelaksana hukum Allah, pent.) di muka bumi.
Oleh kerana itu, kita menemukan bahawa dalam menceritakan kisah para nabi, Al-Quran tidak membahas banyak perincian tentang kehidupan, keluarga, atau kaum mereka. Sebaliknya, wacana Al-Quran adalah tentang menumbuhkan pemikiran untuk memahami dan memperoleh pengetahuan yang mengarah pada tindakan, memotivasi seorang Muslim untuk mengubah keadaannya dan bekerja untuk perubahan di dalam umatnya sampai masyarakat terbentuk sesuai dengan standard Al-Quran.
Dengan demikian, prinsip mendasar bagi setiap pihak (gerakan) yang bekerja ke arah perubahan adalah mendekati Kitab Allah dan hukum-hukumnya dengan ketundukan dan kepatuhan sebagaimana orang-orang yang tunduk pada ketetapan Yang Maha Baik, Yang Maha Mengetahui. Inilah ciri pertama yang perlu dimiliki oleh suatu kelompok yang bekerja untuk Islam agar dapat meraih kehormatan:
﴿وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾
“Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [Ali Imran: 104]
Ini bermakna, ia menerima perintah dan melaksanakannya tanpa mempertanyakan konsekuensinya atau kesannya terhadap situasinya sendiri, atau apa yang akan dihadapinya dari musuhnya jika ia melakukan ini atau itu.
Ciri kedua adalah memiliki basirah, yakni kefahaman mendalam (wawasan yang luas): Kesedaran secara politik, baik dalam kepemimpinannya mahupun di mata semua orang yang percaya pada ideologinya dan mengikuti metode perubahannya.
﴿قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ﴾
Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” [Yusuf: 108].
Seseorang yang jahil tentang agamanya akan menjadi sasaran yang mudah untuk disingkirkan. Seorang Muslim yang tidak memeluk kepercayaannya dengan bangga dan yakin akan kebenarannya, dan tanpa kesedaran politik tentang keadaannya sendiri dan musuhnya, akan jatuh ke dalam perangkap semangat bercampur kenaifan, yang diperingatkan oleh junjungan kita Umar ketika dia berkata: “Aku bukanlah penipu, dan kelicikan tidak dapat menipuku.” Inilah sebabnya kita dapati Al-Quran memerintahkan Rasulullah (saw) untuk mengatakan hal ini, yang seterusnya menjadi pesanan kepada umat Islam selepasnya,
﴿فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ﴾
“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu,..” [Hud: 112]
Sesungguhnya, Allah (swt) jauh mengatasi perkara-perkara seperti itu dan sama sekali tidak dapat diperdayakan. Islam itu jelas bagaikan secerah di siang hari, dan mereka yang bekerja untuk menegakkannya (agama Allah) tidak memerlukan kaedah licik atau pun pujian yang melemahkan agama Allah demi meraih (seperti yang mereka dakwa sebagai) keuntungan politik yang diimpikan. Kaedah-kaedah ini ditolak sepenuhnya dalam agama Allah, dan Rasulullah (saw) menolaknya sejak awal dakwahnya dan enggan menggunakannya walaupun pada saat-saat yang paling sukar dalam hidupnya. Sebaliknya, pendekatannya adalah jelas, pendirian konfrontasi yang tegas, bukan kompromi, sebagaimana respons atau tindakan yang terbentuk hasil daripada peringatan yang diturunkan Jibril:
﴿فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَاداً كَبِيراً﴾
“Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujah-hujah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.” [Al Furqan: 52]
Dan dalam firman-Nya:
﴿فَلَعَلَّكَ تَارِكٌ بَعْضَ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ وَضَائِقٌ بِهِ صَدْرُكَ أَن يَقُولُوا لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ كَنزٌ أَوْ جَاءَ مَعَهُ مَلَكٌ إِنَّمَا أَنتَ نَذِيرٌ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ﴾
Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya). [Hud: 12].
Ciri ketiga, selepas kesedaran yang muncul daripada basirah dan kepercayaan terhadap hukum Allah—satu kepercayaan yang menghasilkan ketaatan yang tidak dipersoalkan, tanpa hujah, penafsiran, atau penolakan atau mengelak daripada bertindak—ialah keikhlasan kepada Allah (swt) dalam tindakan seseorang. Kerana Allah (swt) Maha Mengetahui hati dan perbuatan; tiada apa yang tersembunyi daripada-Nya di bumi mahupun di langit.
Sesiapa yang benar-benar menghargai kebesaran Allah, dilarang menipu dirinya sendiri atau Tuhannya. Inilah salah satu sifat Ahli Kitab yang diperingatkan oleh Al-Quran.
﴿يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا﴾
“Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman,…” [Al-Baqarah: 9].
Kemudian, Allah (swt) telah berfirman kepada Rasul-Nya dengan tegas:
﴿وَلَوْلَا أَن ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدتَّ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئًا إِنْ شَيْئًا ٌقَلَ *إِنَّ لَّأَذَقْنَاكَ ضِعْفَ الْحَيَاةِ وَضِعْفَ الْمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا﴾
“Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.” [Al-Isra’: 74-75].
Ini adalah pesanan yang mendalam untuk umat Islam: tiada seorang pun yang mempunyai kelebihan untuk kekal teguh, dan Allah (swt) tidak memerlukan tindakan atau usaha sesiapa pun, kerana Dia Maha Kaya. Oleh itu, hendaklah tindakan anda demi Islam, dalam ketaatan kepada perintah Allah, bukan kerana ia membawa anda kepada pengiktirafan awam, bukan untuk sebarang keuntungan politik yang anda harapkan pada masa hadapan, bukan untuk sebarang kedudukan yang anda mungkin capai. Renungkanlah pelajaran daripada peperangan Uhud dan Hunain, dan ayat-ayat Surah Al Imran dan Surah At-Taubah, ia mendedahkan bagaimana keseluruhan perkara terletak pada kehendak Allah (swt).
Apa yang telah menjejaskan gerak kerja (tindakan) kebanyakan gerakan politik di negeri-negeri Islam, dan menjadi penghalang kepada melanjutkan semula cara hidup Islam, tidak lain adalah kekurangan terhadap salah satu atau ketiga-tiga sifat atau ciri ini. Kegagalan untuk kekal teguh dalam agama Allah dan kemurtadan berpunca sama ada daripada kejahilan tentang Islam, hukumnya, dan perbezaannya daripada agama lain; atau daripada sifat dalaman yang rosak dan kecenderungan terhadap keinginan duniawi; atau kerana tunduk kepada penindas di kalangan Yahudi dan Kristian, yang mana ia berpunca daripada kekurangan pengetahuan tertentu tentang Allah (swt), kekuasaan-Nya, dan keupayaan-Nya untuk membimbing, dan bahawa,
﴿فَلِلَّهِ الْمَكْرُ جَمِيعاً﴾
“…bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat.” [Ar-Ra’d: 42].
Islam, dengan sistem tadbir urus, politik, dan ekonominya, mengikuti jalan yang sama sekali berbeza daripada kapitalisme dalam struktur dan perundangannya. Sesiapa yang cuba membentuk hukum Islam agar selaras dengan kapitalisme dan tatanan antarabangsa yang telah diciptakan manusia, adalah sama ada jahil atau pengkhianat. Umat Islam tidak akan mempercayakan kepimpinannya kepada orang jahil atau pengkhianat, kerana bangunan mereka akan cepat runtuh dan jalinannya yang kukuh akan terurai.
Walau bagaimanapun lama atau pendeknya masa, ini adalah agama yang dipelihara oleh Allah (swt), Yang Maha Kuasa, Yang Maha Berkuasa. Tiada kebenaran selainnya, dan hanya agama ini dan pengikutnya yang ikhlas dan berdedikasi akan kekal di muka bumi. Mereka yang hidup dalam ketakutan akan mendapati Allah (swt) memberikan mereka kuasa di mana mereka hanya menyembah-Nya sahaja, tidak menyekutukan-Nya dengan apa-apa.
Ini hanyalah hari-hari, dan persediaan di dalamnya adalah (memerlukan) ketabahan dan keikhlasan.
﴿قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ﴾
“Katakanlah lagi: “Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat”. [Saba: 49].
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Bayan Jamal
#TrueVision4Change #VisisSejatiDemiPrubahan #MaysarakatMuslimIdeal memerlukan #SistemIslam #KhilafahAlaMinhajNubuwwah