Perubahan Radikal: Sebuah Visi dari Cahaya Wahyu
﴿إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُصْلِحِينَ﴾
“…Sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).” [Surah Al-A‘raf:170]
———————————
Dalam artikel sebelum ini, kami menyatakan bahawa perubahan radikal adalah satu sistem kerja kolektif yang berdisiplin berdasarkan wahyu, dan bahawa mereka yang bekerja dengan kefahaman mendalam memiliki al-Quran sebagai kompas bagi idea dan metodologi. Dengan demikian, mereka tidak tersesat dalam arus dunia dan perhiasannya. Apabila kekuasaan dan kepimpinan diberikan kepada mereka, mereka menyembah Allah (swt) tanpa rasa takut dan tanpa penyimpangan.
Tetapi, perbincangan tentang perubahan dan kerja kolektif yang serius untuk mencapainya sentiasa berkisar tentang dan di dalam lingkungan umat, tempat berlangsungnya tindakan perjuangan intelektual dan politik. Perubahan bukan sekadar pertunjukan yang berlaku dalam sehari semalam, bukan juga seperti filem yang ditonton di panggung wayang lalu tirainya ditutup dan ia pun selesai. Sebaliknya, ia adalah jihad, perjuangan, serta pengorbanan darah, masa, harta dan nyawa demi meninggikan agama dan memuliakan umat.
Umat ini, yang ditimpa ujian dalam kalangan generasinya agar Allah SWT menzahirkan kebenaran orang yang benar-benar jujur, ialah umat yang mesti memasuki medan pertempuran ini dengan kesabaran dan keteguhan. Umat ini perlu membayar harga perubahan dengan kesabaran serta mengharapkan ganjaran pahala, agar tidak terpaksa menanggung harga kehinaan sekiranya enggan berkorban di jalan Allah SWT. Hal ini demikian kerana sunnatullah menetapkan bahawa tiada kemenangan tanpa ujian, dan ujian itu pula berbeza-beza, antara yang baik atau yang buruk.
Surah Al-A‘raf memaparkan sejarah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan serta menetapkan prinsip emas (penting) dalam perubahan: bahawa kemuliaan dan kekuasaan adalah hasil daripada ketakwaan dan ketaatan. Tiada kemenangan tanpa ketakwaan, dan tiada kekuasaan melalui kompromi.
Allah (swt) dengan jelas menyatakan bahawa ketakwaan adalah syarat kemenangan, dan janji-janji syaitan tentang kemakmuran ekonomi yang dikaitkan dengan meninggalkan syariah hanyalah ilusi semata-mata:
﴿الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ﴾
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” [Surah Al-Baqarah:268].
Keyakinan umat bahawa Allah (swt) adalah Pemberi rezeki, Yang Maha Kuat lagi Teguh, akan melindunginya daripada terpedaya dengan fatamorgana kemajuan ekonomi semata-mata. Maka umat yang berpegang teguh pada firman Allah—:
﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ﴾
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” [Surah Al-A‘raf:96],
—akan menjadi penggerak utama dalam kebangkitan dan revolusi untuk melaksanakan hukum Allah (swt) dan kepatuhan kepada metode-Nya, bukan sekadar terpesona dengan janji pemerkasaan dan kemakmuran ekonomi daripada musuh.
Dalam perang melakukan perubahan, dan kisah Iblis dengan Nabi Adam, serta umat-umat terdahulu, khususnya Bani Israil, terkait bagaimana konteks ucapan tentang mereka beralih daripada:
﴿وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ الْحُسْنَىٰ عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ﴾
“Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)” [Surah Al-A‘raf:137],
kemudian berubah kepada:
﴿فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُوا الْكِتَابَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَٰذَا الْأَدْنَىٰ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِن يَأْتِهِمْ عَرَضٌ مِّثْلُهُ يَأْخُذُوهُ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِم مِّيثَاقُ الْكِتَابِ أَن لَّا يَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ وَدَرَسُوا مَا فِيهِ وَالدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ﴾
“Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?” [Surah Al-A‘raf: 169].
Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran yang mulia telah memberi peringatan kepada umat Islam bahawa penggantian kekuasaan adalah hasil daripada usaha dan tindakan yang berterusan. Ia bukan sekadar janji yang diturunkan kepada orang-orang yang mengharapkannya namun tidak berusaha ke arahnya.
Sesungguhnya, Allah Maha Kaya, Maha Terpuji. Umat yang kepadanya, Allah (swt) berikan kitab, hukum dan kenabian, kemudian berubah menjadi umat yang dimurkai kerana mereka telah melanggar perjanjian dengan Rabb mereka.
Pendek kata, konsep “umat terpilih” (the chosen people) atau “paling dikasihi Allah” adalah konsep yang dibenci oleh Allah (swt). Ini kerana, tiada keistimewaan bagi mereka yang berpaling tadah. Oleh sebab itu, umat tidak akan kembali kepada kedudukannya atau mencapai kekuasaanya, melainkan dengan bergerak ke arah matlamat besar ini dengan mengikut kehendak Allah (swt)—dengan menolak kezaliman, membela yang tertindas, dan melibatkan diri dalam kerja politik yang membawa kepada perubahan sebenar berdasarkan thariqah Rasulullah (saw), yang mengikut petunjuk yang diturunkan oleh Allah, Tuhan semesta alam. Kepimpinan (kekhilafahan) adalah penggantian kekuasaan berdasarkan petunjuk yang benar; sekiranya ketakwaan hilang daripada umat, maka nikmat pun boleh berubah menjadi ujian secara beransur-ansur, dan kemudiannya menjadi azab sebagaimana yang terjadi terhadap Bani Israil.
Oleh itu, setelah kita mendapati bahawa Allah (swt) telah mencela mereka dengan mengatakan:
﴿يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَٰذَا الْأَدْنَىٰ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا﴾
“…Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi.” [Surah Al-A‘raf: 169],
Kemudian Allah (swt) seterusnya berfirman:
﴿وَالَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِالْكِتَابِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ الْمُصْلِحِينَ﴾
“Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).” [Surah Al-A‘raf: 170].
Umat yang sedar akan memahami bahawa `berat’ itu adalah milik kebenaran. Manakala, ketinggian orang-orang yang zalim dan perhiasan dunia yang dengannya mereka bangkit kelak, serta semua yang mereka miliki hanyalah fatamorgana. Sebagaimana firman yang Maha Tinggi:
﴿وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ﴾
“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.” [Surah An-Nur: 39].
Demikianlah, umat hari ini berada di persimpangan. Walaupun ia membawa kebenaran yang tidak ada keraguan—dan yang merupakan penawar yang berkesan untuk krisis manusia sejagat— Ia perlu memilih untuk membawa kebenaran itu dengan penuh keyakinan kepada Allah dan kekuasaan-Nya, serta kepada segala kebenaran yang terkandung di dalamnya. Ia juga perlu menyedari kesesatan ideologi lain serta kemusnahan yang diakibatkannya terhadap pertumbuhan dan generasi. Ia juga perlu menampilkan dirinya sebagai peradaban yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya; jika tidak, ia akan terus ketinggalan, lalu tanah-tanahnya bertukar menjadi medan golongan korup menyebarkan kerosakan dalam kalangan manusia dan menyesatkan mereka dari jalan Allah (swt).
Ketahuilah bahawa dalam kedua-dua keadaan itu, ia terpaksa membayar harga yang tinggi—daripada darah generasinya dan hartanya. Sama ada ia membayarnya demi mencari keredhaan Allah (swt) dan di jalan yang bermaruah, lalu Allah (swt) pun menganugerahkannya kehormatan; tempat kembalinya yang mulia dan nilai pengorbanannya diletakkan pada timbangan amal pada Hari Kiamat kelak. Atau, harga itu tetap dibayar dalam keadaan penghinaan terus menyelubungi kita, sementara umat ini kekal dianiaya, seperti anak yatim di meja golongan yang hina.
﴿وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَّجُلَيْنِ أَحَدُهُمَا أَبْكَمُ لَا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَيْءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلَىٰ مَوْلَاهُ أَيْنَمَا يُوَجِّهْهُ لَا يَأْتِ بِخَيْرٍ ۖ هَلْ يَسْتَوِي هُوَ وَمَن يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَهُوَ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ﴾
“Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar)?” [Surah An-Nahl: 76].
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Bayan Jamal
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #MasyarakatMuslimIdeal #AyuhUmatBangkit #PerubahanHakikidenganIslam