Persimpangan Jalan: Antara Kembali ke Jalan Islam atau Terus Terperangkap dalam Lingkaran Krisis
Di persimpangan jalan, refleksi yang jujur diperlukan untuk menjelaskan konsep, bukannya sekadar menawarkan tinjauan emosional terhadap realiti. Apa yang dialami umat ketika ini—secara politik, ekonomi, dan sosial—bukanlah hasil daripada kesalahan seketika atau keputusan individu, melainkan buah daripada sistem pemerintahan yang didasarkan pada asas selain Islam. Peraturan perundang-undangan, politik, dan ekonomi, semuanya berasal daripada ideologi kapitalis, yang lebih mementingkan pengurusan krisis daripada mengatasi punca akarnya, serta menangguhkan letupan yang tidak dapat dielakkan daripada menghapuskan penyebab yang mendasarinya.
Masalahnya bukan hanya salah urus, melainkan ketiadaan kerangka kerja yang tepat. Apabila hukum Islam dipisahkan daripada pemerintahan dan digantikan oleh hukum sekular, maka kekeliruan menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana asasnya sendiri sudah cacat. Kedaulatan tidak berada di tangan syarak, melainkan di tangan dewan legislatif, perjanjian antarabangsa, atau perintah lembaga kewangan. Dengan demikian, negara berubah daripada seorang penjaga yang berpegang teguh pada hukum Allah menjadi aparatus pentadbiran yang hanya berusaha mengekalkan kelangsungan politik, walaupun dengan mengorbankan umat.
Apabila krisis ekonomi berulang, dan amalan riba menjadi polisi tetap, persoalannya bukanlah: Siapa yang melakukan kesalahan? Sebaliknya: Mengapa sistem tersebut tetap beroperasi dalam kerangka kerja riba sejak dari awal? Riba dalam Islam benar-benar diharamkan. Allah SWT berfirman:
وَأَحَلَّ اللهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” [TQM. Al-Baqarah (2) : 275].
Namun begitu, belanjawan dibina di atas hutang, dan polisi terikat pada syarat-syarat pemberi pinjaman. Ini bukanlah kekurangan teknikal, melainkan kesan semula jadi daripada ekonomi yang tidak didasarkan pada hukum Islam, sebaliknya berdasarkan aturan pasar kapitalis.
Dalam politik pun, apabila keputusan-keputusan besar dikaitkan dengan perhitungan imbangan antarabangsa, atau dengan kepatuhan pada perjanjian yang membatasi kehendak, maka masalahnya bukan hanya kelemahan posisi, tetapi juga dasarnya bukanlah akidah, bukan pula Al-Quran dan as-Sunnah, melainkan sistem antarabangsa. Sementara di dalam Negara Islam, hubungannya jelas: kedaulatan berada di tangan syarak, sehingga keputusan didasarkan pada hukum Allah, bukannya pada persetujuan kuasa-kuasa besar.
Islam telah mendefinisikan tanggungjawab dengan jelas. Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.” [HR. Abu Dawud].
Benar bahawa penguasa itu adalah pemimpin, namun beliau bukanlah penguasa tertinggi; sebaliknya pelaksana kepada hukum-hukum Islam. Jika beliau memerintah dengan cara selain daripada apa yang telah diwahyukan Allah SWT, maka kewajipan untuk taat kepadanya adalah gugur. Oleh itu, Abu Bakar RA berkata: “Taatilah aku selagi mana aku taat kepada Allah SWT dalam memimpin kalian; tetapi jika aku menderhaka kepadaNya, maka kalian tidak lagi berkewajipan untuk taat kepadaku.” Hubungan ini bukanlah hubungan autoriti mutlak, melainkan komitmen yang disyaratkan oleh ketentuan hukum Islam.
Muhasabah dalam Islam bukanlah satu pilihan politik, melainkan kewajipan kolektif bagi umat, dan sebahagian daripada menjaga tadbir urus pemerintahan serta mencegah penyimpangan. Oleh sebab itu, para sahabat meminta pertanggungjawaban para Khalifah secara terbuka tanpa dituduh melakukan pemberontakan atau pembangkangan, kerana negara pada waktu itu didasarkan pada asas yang jelas: penguasa dimintai pertanggungjawaban (dimuhasabah) kerana beliau bertugas menerapkan syariah, bukannya kerana beliau memiliki kekuasaan mutlak.
Kini situasinya telah berubah; apabila muhasabah sejati tidak wujud dan hanya terbatas kepada liputan media atau komen ringkas, polisi yang cacat akan berakar umbi dan akhirnya menjadi realiti yang berkekalan. Berdiam diri bukanlah satu sikap berkecuali (neutral), melainkan penglibatan secara tidak langsung dalam mengekalkan sistem tersebut. Menerima status quo dengan slogan “tiada alternatif” pada hakikatnya adalah menerima kelangsungan jalan yang sama.
Bulan Ramadhan yang telah berlalu kembali membangkitkan persoalan mendasar: Adakah Islam hanya sekadar ibadah individu, ataukah ia merupakan cara hidup yang komprehensif? Puasa menumbuhkan kemahuan, tetapi kemahuan tidak diuji hanya melalui rasa lapar, melainkan melalui sikap seseorang terhadap ketidakadilan dan penyimpangan. Seseorang mungkin melakukan pembersihan jiwa, namun dia tidak membebaskan jiwanya daripada kewajipan amar makruf nahi mungkar. Bulan Ramadhan bukanlah waktu untuk mengasingkan diri daripada urusan awam, melainkan waktu untuk merenungkan hubungan antara akidah dan realiti.
Mereka yang memiliki kekuatan, kekuasaan, dan pengaruh—anggota tentera, tokoh berpengaruh, dan elit yang aktif—memikul tanggungjawab yang lebih besar, kerana keupayaan adalah dasar kepada kewajipan. Mereka yang mempunyai pengaruh tidak sama dengan mereka yang tidak memilikinya. Jika kekuatan digunakan untuk melindungi rejim yang melanggar hukum Islam, maka itu merupakan penglibatan dalam dosa; tetapi jika digunakan untuk menegakkan kebenaran dan membina pemerintahan Islam, maka itu adalah ketaatan kepada Allah SWT.
Namun, individu biasa tidak berada di luar persamaan ini. Umat bukanlah orang awam yang pasif, melainkan entiti berdaulat yang memiliki kekuatan untuk memberi dan menarik semula baiat (kesetiaan), untuk menuntut pertanggungjawaban penguasa, dan untuk berusaha membina negara yang menerapkan Islam sepenuhnya. Perubahan tidak dicapai dengan “menampal” sistem yang ada, tetapi dengan membina sistem yang berlandaskan akidah, di mana semua peraturan diterapkan, bermula daripada ekonomi sehinggalah politik, kehakiman, dan lain-lain.
Melakukan refleksi yang tulus di persimpangan jalan bermaksud mengakui bahawa masalahnya bukan terletak pada perincian, tetapi pada isu-isu teras. Solusinya bukan pada penyelarasan separa dalam sistem, tetapi pada usaha mengembalikan kehidupan Islam dengan mendirikan negara yang menerapkan syariah sepenuhnya, mengakhiri era kepatuhan terhadap tatanan antarabangsa, menghapuskan ekonomi berasaskan riba, dan mengembalikan kekuasaan kepada umat Islam.
Jalannya memang tidak pendek, tetapi ia jelas tertakrif. Jalan itu bermula dengan kesedaran pemikiran dan politik, diikuti oleh usaha yang terancang untuk mewujudkan pendapat umum yang berakar pada Islam, yang menjadi landasan berdirinya negara. Adapun terus kekal dalam situasi yang tidak pasti dan tergantung, yang tidak sepenuhnya berada dalam sistem Islam mahupun terbebas daripada krisis-krisisnya, maka hal itu hanya akan memanjangkan kitaran dalam “lingkaran syaitan”.
Ini adalah pilihan antara kembali secara jelas kepada pendekatan Islam dalam pemerintahan, atau meneruskan kitaran krisis. Pada akhirnya, pilihan tersebut merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh umat dan penguasa, pada hari di mana segala alasan mahupun penangguhan tidak lagi berguna.
Pejabat Media Hizbut Tahrir Wilayah Mesir
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 9/3/2026.