Jasa Bayazid II Membantu Eksodus Andalusia
Pada zaman Bayazid II, hanya satu negara Islam yang tinggal di wilayah Sepanyol Arab (Andalûsia), iaitu Daulah Nasriyyûn atau Banî al-Ahmar, dengan Granada sebagai ibu kotanya. Penduduknya terdiri daripada bangsa Berber dan orang-orang Sepanyol (Visigoth) yang telah memeluk Islam dan bertutur dalam bahasa Arab, serta orang-orang Arab asli. Negara ini juga memiliki ramai penduduk yang beragama Kristian (Katolik) dan Yahudi.
Pada abad ke-15, posisi mereka semakin terhimpit sehingga ke wilayah sempadan yang sangat sempit. Kerajaan Castilla terus-menerus mendesak wilayah Andalûsia ke arah selatan, begitu juga kerajaan Aragon yang sama-sama fanatik Katolik. Kerajaan Castilla dan Aragon mempunyai berjuta-juta penduduk Muslim yang berusaha mempertahankan keberadaan mereka di tengah-tengah penindasan dan kekejaman yang belum pernah berlaku dalam sejarah, memaksa mereka untuk memeluk agama Katolik. Orang-orang Yahudi juga mendapat layanan yang sama kejamnya dengan umat Islam.
Raja Granada, Abû Abdullâh Muhammad (Boabdil), secara rasmi meminta bantuan daripada Istanbul, dan menyampaikan situasi Andalusia yang menyedihkan itu kepada Bayazid II. Maka, Majlis Humâyûn memutuskan untuk menghantar armada laut ke Mediterranean barat, yang dipimpin oleh Kemâl Reîs. Ini merupakan kempen ketenteraan Turki Uthmaniyyah pertama (1487) di Mediterranean barat.
Pada masa itu, Turki memasuki peperangan menentang 4 kerajaan (Castilla, Aragon, Naples, dan Sicily) atau lebih ringkasnya menentang Sepanyol. (Perang ini kelak berlangsung selama berabad-abad tanpa adanya perjanjian damai).
Namun, hal ini tidak menghalang serangan para penguasa Katolik. Pemerintahan Islam di Sepanyol dan Portugal selama 781 tahun akhirnya berakhir dengan penyerahan Granada pada 2 Januari 1492.
Sejurus setelah kejatuhan Granada, 300,000 orang Arab telah bertaburan di sepanjang pantai Sepanyol. Meriam-meriam dari armada laut Turki berjaya menghalang pemusnahan besar-besaran terhadap mereka, sehingga mereka dapat dipindahkan ke Fez dan Algeria. Walau bagaimanapun, ratusan ribu orang lain yang tidak dapat melarikan diri telah dibakar hidup-hidup secara beramai-ramai. Semua harta benda dan aset milik umat Islam telah dirampas sepenuhnya.
Sumber: “Tarikh Daulah Uthmaniyyah” – Yilmaz Oztuna
#KhilafahUthmaniyyah #Andalusia