Peduli Ekologi
Oleh : Ustaz Arief B. Iskandar
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyingkirkan sesuatu dari jalanan yang boleh mencederakan kaum Muslim maka hal itu dicatat sebagai satu kebaikan bagi dirinya.” (HR Ahmad).
Kalimat ringkas ini mengajarkan bahawa menjaga alam sekitar walaupun sekecil mana adalah ibadah yang bernilai di sisi Allah.
Rasulullah SAW juga bersabda, ”Janganlah salah seorang daripada kalian kencing di atas air yang tidak mengalir, lalu dia mandi dari air tersebut.” (HR Muslim).
Larangan ini mengajar kita agar kita menjaga kebersihan air yang kita gunakan.
Pada kesempatan lain, Rasulullah SAW melihat seorang sahabat berwuduk dengan air secara berlebihan. Beliau menegur dia dengan lembut, “Jangan berlebih-lebihan.” Sahabat itu bertanya, “Apakah dalam air juga ada sikap berlebihan?” Beliau menjawab, “Ya, walaupun engkau berada di sungai yang mengalir.” (HR Ibn Majah).
Kalimat ini menggoncang kesedaran: Islam tidak menunggu krisis untuk mengajarkan pemeliharaan sumber. Bahkan ketika sumber alam melimpah, pembaziran tetap tercela.
Suatu hari, Khalifah Umar bin al-Khattab RA melihat seseorang menebang pokok tanpa keperluan yang jelas. Wajah Khalifah itu berubah. Dengan nada yang tegas dia berkata, “Jangan kalian merosakkan bumi ini…!” Beliau memerintahkan agar pokok-pokok yang bermanfaat tidak ditebang sesuka hati. Apatah lagi yang menjadi teduhan dan sumber kehidupan masyarakat (Lihat: Abu Yusuf, Al-Kharâj, hlm. 122).
Bagi Khalifah Umar RA, alam sekitar bukan sekadar landskap. Ia adalah penopang kehidupan rakyat. Kerana itu juga, Khalifah Umar RA pernah menetapkan kawasan hima’ (tanah perlindungan) yang tidak boleh diteroka atau dirosakkan sesuka hati. Kawasan ini diperuntukkan bagi kepentingan umum, khususnya untuk ternakan kaum Muslim dan kelestarian sumber alam (Lihat: Abu Ubaid, Al-Amwâl, hlm. 523).
Ini membuktikan bahawa konsep perlindungan alam sekitar telah diamalkan dalam pemerintahan Islam sejak generasi awal. Jauh sebelum istilah “konservasi” dikenali dalam dunia moden.
Anak Khalifah Umar RA, iaitu Abdullah bin Umar RA, pernah memarahi seseorang yang menjadikan burung sebagai sasaran permainan. Beliau berkata, “Rasulullah SAW telah melaknat orang yang menjadikan makhluk bernyawa sebagai sasaran (permainan).” (HR al-Bukhari).
Bagi Ibnu Umar RA, kasih sayang terhadap makhluk hidup bukan perkara remeh. Ia adalah sebahagian daripada ketakwaan. Jika seekor burung pun tidak boleh disakiti tanpa hak, bagaimana pula dengan rakyat yang menjadi korban akibat hutan dimusnahkan, sungai dicemari, dan habitat dihancurkan demi keuntungan?
Imam Abu Hanifah rahimahulLâh memiliki kebun yang terletak bersebelahan dengan kebun milik jirannya. Suatu hari, tembok pemisah antara kedua-dua kebun itu roboh. Imam Abu Hanifah segera membaiki tembok itu dengan biaya sendiri. Apabila ditanya, mengapa tidak menunggu jirannya, beliau menjawab, “Aku khuatir tanahnya rosak kerana kelalaianku.” (Lihat: Al-Makki, Manâqib Abî Hanîfah, 1/161).
Ini bukan sekadar adab berjiran. Ini adalah kesedaran ekologi. Kerosakan alam sekitar—sekecil mana pun—dianggap sebagai amanah yang mesti segera ditangani sebelum mendatangkan mudarat yang lebih besar.
Imam Malik bin Anas rahimahulLâh, ulama besar Madinah, sangat tidak menyukai perbuatan mencemarkan kebersihan kota. Beliau menegur keras sesiapa yang membuang kotoran atau sampah di jalan umum. Bagi beliau, kebersihan persekitaran adalah sebahagian daripada kehormatan Madinah sebagai Kota Rasulullah SAW (Lihat: Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Intiqâ’ fî Fadhâ’il al-A’immah, hlm. 41).
Imam Ahmad bin Hanbal rahimahulLâh dikenali sangat berhati-hati terhadap hak umum. Beliau enggan memetik buah dari pokok yang tumbuh di jalan umum. Ketika ditanya, beliau menjawab, “Aku tidak mahu membawa sesuatu yang bukan hakku di hadapan Allah.” (Lihat: Ibn al-Jauzi, Manâqib al-Imam Ahmad, hlm. 227).
Betapa bersih jiwa para salaf. Jalan umum, air dan pepohonan; semuanya dianggap sebagai milik bersama yang mesti dijaga, bukan dieksploitasi.
Imam Hasan al-Bashri rahimahulLâh pernah menegur seorang kaya yang membiarkan tanahnya tandus dan tidak ditanam, sedangkan masyarakat memerlukan. Beliau berkata, “Bumi ini diciptakan bukan untuk disia-siakan, tetapi untuk dimakmurkan dengan ketaatan.” (Lihat: Ibn al-Jauzi, Shifat ash-Shafwah, 3/132).
Dari sini jelas bahawa dalam pandangan salaf, pengurusan alam sekitar adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan spiritual sekaligus.
Imam Sufyan ats-Tsauri rahimahulLâh juga dikenali sangat berhati-hati dalam menggunakan kemudahan umum. Contohnya, beliau enggan menyalakan lampu di masjid lebih lama daripada keperluan kerana bimbang membazirkan minyak wakaf (Lihat: Adz-Dzahabi, Siyar A‘lam an-Nubalâ’, 7/272).
Sikap ini mencerminkan kesedaran ekologi yang halus: pembaziran tenaga adalah pengkhianatan terhadap amanah umat.
Imam al-Ghazali rahimahulLâh mengingatkan bahawa pembaziran air, merosakkan tanah dan membunuh haiwan tanpa hak adalah sebahagian daripada sifat lalai terhadap amanah Allah (Lihat: Al-Ghazali, Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, 4/94).
Kesedaran ini membentuk etika alam sekitar yang mendalam: alam dipelihara bukan kerana manfaatnya semata-mata, tetapi kerana ia adalah amanah daripada Ilahi.
Kepedulian salafussoleh terhadap alam sekitar tidak lahir daripada kempen atau tekanan wacana global. Ia lahir daripada akidah Islam. Mereka memahami bahawa manusia adalah khalifah di bumi, bukan pemilik mutlaknya. Oleh itu, dalam pandangan mereka, merosakkan alam/persekitaran adalah dosa. Menjaganya adalah ibadah. Mengabaikannya adalah pengkhianatan terhadap amanah Allah.
Jika hari ini krisis alam sekitar semakin parah, mungkin yang paling kita perlukan bukan sekadar teknologi hijau, tetapi iman yang hidup—seperti iman generasi salafussolehh—yang menjadikan tangan enggan merosakkan dan hati sentiasa takut kepada Allah.
Jika generasi terbaik umat ini mampu menjaga air, tanah, haiwan dan tumbuhan dengan iman yang hidup di dalam hati mereka, maka sesungguhnya solusi krisis alam sekitar bukan sekadar bersifat teknikal. Ia bersifat spiritual. Ia menuntut manusia kembali kepada Rabb-Nya.
Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.
#peduliekologi #saveenvironment #pedulialamsekitar