[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 1/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
Demokrasi merupakan kata dan istilah Barat yang digunakan untuk menunjukkan pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Rakyat dianggap sebagai pemimpin mutlak dan pemilik kedaulatan. Rakyat berhak mengatur sendiri urusannya, serta melaksanakan dan menjalankan sendiri kehendaknya. Rakyat tidak bertanggungjawab pada kekuasaan siapa pun, selain kepada dirinya sendiri.
Di dalam demokrasi, rakyat berhak membuat sendiri peraturan dan undang-undang melalui para wakil mereka yang mereka pilih kerana mereka adalah pemilik kedaulatan. Rakyat berhak pula menerapkan peraturan dan undang-undang yang telah mereka buat itu melalui tangan para pemimpin dan hakim yang mereka pilih. Keduanya mengambil alih kekuasaan daripada rakyat kerana rakyat adalah sumber kekuasaan.
Setiap individu rakyat, sebagaimana individu lainnya, berhak menyelenggarakan pemerintahan negara, mengangkat pemimpin, serta membuat peraturan dan undang-undang. Menurut konsep dasar demokrasi, iaitu pemerintahan yang diatur sendiri oleh rakyat, seluruh rakyat perlu berkumpul di suatu tempat umum. Kemudian mereka membuat peraturan dan undang-undang yang akan mereka terapkan, mengatur berbagai urusan, serta memberikan keputusan terhadap masalah yang perlu diselesaikan.
Namun demikian, tidak mungkin seluruh rakyat dikumpulkan di satu tempat sehingga masing-masing melaksanakan peranan dirinya sebagai badan legislatif. Kemudian mereka memilih para wakilnya sehingga para wakil inilah yang menduduki badan legislatif. Badan inilah yang disebut dengan dewan perwakilan.
Sistem demokrasi mendakwa bahawa dewan perwakilan merupakan representasi atau bentuk perwakilan daripada kehendak umum rakyat dan penjelmaan politik daripada kehendak umum majoriti rakyat. Dewan ini lalu memilih pemerintah dan ketua negara yang akan menjadi pemimpin sekaligus wakil rakyat dalam pelaksanaan kehendak umum rakyat.
Ketua negara mengambil kekuasaan daripada rakyat yang telah memilihnya. Dia seterusnya memerintah rakyat dengan peraturan dan undang-undang yang dibuat atas nama rakyat. Walhasil, rakyat berkuasa secara mutlak, berhak menetapkan undang-undang, dan berhak memilih pemimpin yang akan melaksanakan undang-undang tersebut.
Rakyat diupayakan dapat menjadi pemimpin bagi dirinya sendiri, serta dapat melaksanakan kedaulatan dan menjalankan kehendaknya sendiri secara sempurna. Hal ini dalam pembuatan undang-undang, peraturan hidup, mahupun dalam pemilihan pemimpin tanpa disertai tekanan atau paksaan. Oleh yang demikian, berbagai kebebasan yang bersifat umum atau universal merupakan prinsip yang mesti diwujudkan dalam sistem demokrasi.
Kebebasan umum ini berlaku bagi setiap individu rakyat. Dengan demikian, rakyat akan dapat mewujudkan kedaulatannya, sekaligus merealisasikan dan menjalankan kehendaknya sendiri sebebas-bebasnya tanpa tekanan atau paksaan. Kebebasan individu yang bersifat umum ini tampak dalam empat aspek berikut ini.
- Kebebasan beragama.
- Kebebasan berpendapat.
- Kebebasan kepemilikan.
- Kebebasan berperilaku.
Demokrasi lahir daripada akidah sekularisme, yakni pemisahan agama daripada kehidupan yang menjadi asas ideologi kapitalisme. Akidah sekularisme merupakan jalan tengah yang tidak tegas. Akidah ini lahir kerana pergolakan atau konflik yang terjadi di antara para raja dan kaisar di Eropah dan Rusia dengan para ahli falsafah dan pemikir. Ketika itu, para raja dan kaisar telah memanfaatkan agama sebagai alat untuk mengeksploitasi, menzalimi, dan menghisap darah rakyat.
Tindakan demikian lebih disebabkan kerana adanya suatu anggapan bahawa raja dan kaisar adalah wakil Tuhan di muka bumi. Para raja dan kaisar lalu memanfaatkan para agamawan (pemimpin agama/kepercayaan yang dianut masyarakat) sebagai tunggangan untuk menzalimi rakyat. Akibatnya, berkobarlah pergolakan sengit antara para pemimpin tersebut dengan rakyatnya sendiri. Pada saat itulah, para ahli falsafah dan pemikir bangkit.
Sebahagian dari mereka mengingkari keberadaan agama secara mutlak. Sebahagian lagi mengakui keberadaan agama, tetapi mempra-syaratkan adanya pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme) sehingga pada gilirannya melahirkan pemisahan agama dari negara dan pemerintahan.
Pergolakan ini berakhir dengan suatu jalan tengah, iaitu pemisahan agama daripada kehidupan yang dengan sendirinya akan menyebabkan pemisahan agama dari negara. Sesungguhnya gagasan sekularisme ini merupakan akidah yang menjadi asas bagi ideologi kapitalisme. Sekularisme pula yang menjadi landasan pemikiran (qaidah fikriyyah) bagi kapitalisme. Sekularisme menjadi dasar bagi seluruh bangunan pemikirannya, sekaligus menentukan orientasi pemikiran dan pandangan hidup (weltanschauung) mereka.
Di atas dasar sekularisme inilah para penganut ideologi kapitalisme memecahkan seluruh permasalahan kehidupan mereka. Di samping itu, sekularisme menjadi pengarah pemikiran (qiyadah fikriyyah) yang diemban dan selalu dipropagandakan Barat ke seluruh penjuru dunia.
Dengan demikian, jelaslah bahawa akidah sekularisme telah menjauhkan agama dan gereja daripada kehidupan bernegara. Akidah ini selanjutnya menjauhkan agama daripada proses pembuatan peraturan dan undang-undang, daripada pengangkatan pemimpin, dan daripada pemberian kekuasaan kepada pemimpin.
Oleh kerana itu, rakyat kemudian dituntut untuk memilih sendiri peraturan hidup bagi mereka, membuat peraturan dan undang-undang, serta mengangkat pemimpin. Pemimpin inilah yang akan memerintah rakyat dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh mereka, serta mengambil kekuasaannya berdasarkan kehendak umum majoriti rakyat. Dari sinilah sistem demokrasi lahir.
Walhasil, idea sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) adalah akidah yang telah melahirkan demokrasi, sekaligus merupakan landasan pemikiran yang mendasari seluruh idea yang dikandungnya.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke “Haramnya Demokrasi” Bahagian 2/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #PolitikSekular