[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 2/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Haramnya Demokrasi” Bahagian 1/16)
Demokrasi dilandaskan pada dua gagasan besar.
- Kedaulatan di tangan rakyat.
- Rakyat merupakan sumber kekuasaan.
Kedua gagasan tersebut dicetuskan oleh para pemalsafah dan pemikir di Eropah ketika mereka melawan para kaisar dan raja untuk menghapuskan idea tentang hak ketuhanan (divine rights) yang menguasai Eropah pada masa itu. Melalui gagasan ini, para raja dipandang memiliki hak ketuhanan atas rakyat sekaligus satu-satunya pihak yang berhak membuat peraturan serta menyelenggarakan pemerintahan dan peradilan. Ringkasnya, kaisar atau raja adalah negara itu sendiri.
Sebaliknya, melalui gagasan ini pula, rakyat dianggap sebagai pihak yang perlu diatur. Mereka dianggap tidak berhak, baik dalam pembuatan peraturan, kekuasaan, dan peradilan. Rakyat dianggap berkedudukan sebagai “budak” (hamba) yang tidak berhak dalam hal apa pun. Dengan demikian, rakyat tidak berhak untuk berpendapat ataupun melontarkan kehendak. Mereka hanya berkewajipan taat kepada pemimpin dan melaksanakan perintahnya.
Kedua gagasan yang menjadi landasan demokrasi ini kemudian disebarluaskan dalam rangka menghancurkan idea tentang hak ketuhanan secara menyeluruh, sekaligus memberikan hak pembuatan peraturan dan pemilihan pemimpin kepada rakyat. Kedua idea tersebut didasarkan pada anggapan bahawa rakyat adalah tuan pemilik budak, bukan budak yang dikuasai tuannya.
Ini bermakna bahawa rakyat adalah tuan bagi dirinya sendiri, tidak ada satu pihak pun yang dapat menguasainya. Rakyat memiliki kehendaknya sendiri dan melaksanakan sendiri kehendaknya tersebut. Jika tidak demikian, rakyat akan menjadi budak. Sementara itu, hakikat perbudakan itu sendiri terjadi ketika salah satu pihak, yakni rakyat, dikendalikan oleh kehendak pihak lain. Dengan kata lain, jika rakyat tidak menjalankan kehendaknya sendiri, bererti mereka akan tetap merupakan budak.
Oleh kerana itu, untuk membebaskan rakyat dari perbudakan semacam ini, mereka perlu dianggap sebagai satu-satunya pihak yang berhak menjalankan kehendaknya sendiri. Dengan demikian, rakyat berhak untuk menetapkan peraturan yang dikehendakinya. Sebaliknya, rakyat juga berhak menghapus dan membatalkan peraturan yang tidak dikehendakinya. Dalam hal ini, rakyat adalah pemilik mutlak kedaulatan.
Rakyat merupakan satu-satunya pihak yang berhak melaksanakan peraturan yang mereka tetapkan, memilih pemimpin (badan eksekutif) dan hakim (badan kehakiman/judikatif) yang mereka kehendaki untuk menguatkuasakan peraturan yang mereka inginkan. Hal ini kerana rakyat merupakan sumber segala kuasa, manakala pemimpin hanya memperoleh kuasa mereka daripada rakyat.
Dengan berhasilnya revolusi melawan para kaisar dan raja serta gugurnya idea tentang hak ketuhanan, maka kedua-dua idea yang menjadi landasan demokrasi tersebut, yakni bahawa kedaulatan di tangan rakyat dan rakyat merupakan sumber kekuasaan, dapat diterapkan dan dilaksanakan. Dua idea inilah yang menjadi asas bagi sistem demokrasi.
Walhasil, dalam sistem demokrasi, rakyat bertindak sebagai musyarrik (pembuat hukum) dalam kedudukannya sebagai pemilik kedaulatan, sekaligus sebagai munaffidz (pelaksana hukum) dalam kedudukannya sebagai sumber kekuasaan.
Demokrasi ialah sistem pemerintahan yang berasaskan suara majoriti. Anggota-anggota badan perundangan dipilih berdasarkan sokongan majoriti pengundi dalam kalangan rakyat. Penggubalan peraturan dan undang-undang serta pemberian usul percaya atau usul tidak percaya kepada kerajaan dalam dewan perwakilan juga ditentukan berdasarkan suara majoriti. Begitu juga dengan penetapan semua keputusan dalam dewan perwakilan, kabinet, malah dalam seluruh badan dan organisasi yang lain.
Pemilihan pemimpin oleh rakyat, sama ada secara langsung mahupun melalui wakil-wakil mereka, juga ditentukan berdasarkan suara majoriti pengundi dalam kalangan rakyat. Oleh itu, suara majoriti merupakan ciri yang paling menonjol dalam sistem demokrasi. Menurut demokrasi, pendapat majoriti ialah tolok ukur hakiki yang dianggap dapat mencerminkan kehendak sebenar rakyat.
Demikianlah penjelasan ringkas mengenai demokrasi dari sudut pengertiannya, sumber dan latar belakangnya. Begitu juga dari sudut akidah yang melahirkannya serta asas-asas yang mendasarinya, di samping aspek-aspek yang perlu diwujudkan agar rakyat dapat melaksanakan demokrasi.
Daripada penjelasan ringkas tersebut, jelas kelihatan beberapa perkara berikut:
1. Demokrasi merupakan sebahagian daripada hasil pemikiran (produk akal) manusia dan bukan berasal daripada Allah Taala. Demokrasi sama sekali tidak bersandarkan wahyu Allah serta tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana agama yang pernah diturunkan Allah kepada para rasul-Nya.
2. Demokrasi lahir daripada akidah pemisahan agama daripada kehidupan, yang seterusnya melahirkan pemisahan agama daripada negara.
3. Demokrasi berasaskan dua idea utama, iaitu:
(a) kedaulatan berada di tangan rakyat;
(b) rakyat merupakan sumber kekuasaan.
4. Demokrasi ialah sistem “pemerintahan majoriti”. Pemilihan pemimpin dan ahli dewan perwakilan dilaksanakan berdasarkan suara majoriti para pengundi. Semua keputusan dalam badan-badan tersebut juga dibuat berdasarkan pendapat majoriti.
5. Demokrasi mengiktiraf empat jenis kebebasan umum, iaitu:
(a) kebebasan beragama (freedom of religion);
(b) kebebasan bersuara atau menyatakan pendapat (freedom of speech);
(c) kebebasan memiliki harta (freedom of ownership);
(d) kebebasan berkelakuan atau kebebasan peribadi (personal freedom).
Dalam sistem demokrasi, kebebasan perlu diwujudkan bagi setiap individu rakyat. Dengan itu, mereka dapat melaksanakan kedaulatan yang dimiliki serta menjalankannya sendiri. Rakyat juga dapat menggunakan hak mereka untuk mengambil bahagian dalam pemilihan para pemimpin dan anggota badan perwakilan secara bebas tanpa sebarang tekanan atau paksaan.
Dengan memperhatikan perkara pertama yang telah dinyatakan di atas, menurut pandangan ini jelas bahawa demokrasi merupakan suatu sistem kufur, bukan berasal daripada Islam, dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Islam.
Namun demikian, sebelum kami menjelaskan lebih lanjut pertentangan atau konfrontasi demokrasi dengan Islam serta pandangan hukum syariat tentang demokrasi, kami ingin menjelaskan terlebih dahulu dua perkara berikut:
(1) Demokrasi sebenarnya belum pernah diterapkan secara nyata di negara-negara asal demokrasi (ahistoris).
(2) Praktikal atau amalan demokrasi sesungguhnya didasarkan pada dakwaan kosong, dan penyesatan belaka.
Di samping itu, kami juga akan menjelaskan tentang kerosakan dan kebusukan demokrasi, berbagai musibah dan malapetaka yang telah menimpa dunia akibat penerapan demokrasi, serta sejauh mana kepincangan terjadi dalam masyarakat yang telah menerapkan demokrasi.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik #AyuhKembaliKepadaSistemIslam