[Perjanjian Antarabangsa] Pengertian Jihad dalam Islam (Bahagian 5/5)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Pengertian Jihad” Bahagian 4/5.)
Sesungguhnya ayat-ayat tersebut sama sekali tidak menunjukkan pendapat mereka. Firman Allah SWT: “Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya.” [TMQ al-Anfal: 61]
Ayat ini tidak menunjukkan apa-apa selain keharusan untuk berdamai dan menghentikan peperangan apabila orang-orang kafir cenderung kepada perkara tersebut. Hal itu boleh berlaku sama ada dengan mereka memeluk agama Islam, membayar jizyah atau melalui muwada‘ah (perjanjian), dengan syarat-syarat muwada‘ah dipenuhi.
Apabila akad muwada‘ah tamat (dan Islam tidak mewajibkan penerimaannya), keadaan akan kembali kepada keadaan sebelum perjanjian tersebut, iaitu keadaan perang.
Ayat tersebut tidak menunjukkan bahawa al-salam (perdamaian) merupakan asas hubungan. Ayat ini melalui (kaedah) dalalah isyarah menunjukkan bahawa asas hubungan tersebut ialah perang. Dengan kata lain, ayat ini menunjukkan perkara yang bertentangan dengan apa yang didakwa oleh golongan tersebut.
Mengenai firman Allah SWT: “Sehingga peperangan berakhir.” (Surah Muhammad: 4), ayat ini merupakan sebahagian daripada ayat yang tidak boleh dipetik secara terpotong-potong. Keseluruhan ayat tersebut ialah: “Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang), maka pancunglah batang leher mereka; sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka, maka tawanlah mereka, kemudian sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sehingga peperangan berakhir. Demikianlah, dan jika Allah menghendaki, nescaya Allah akan membinasakan mereka, tetapi Dia hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur di jalan Allah, Allah tidak akan mensia-siakan amal mereka.” [TMQ Muhammad: 4]
Ayat yang mulia ini menjelaskan hukum berkaitan tawanan perang dan tidak menunjukkan bahawa perdamaian merupakan asas hubungan. Malah, mereka yang menjadikan ayat ini sebagai dalil tidak menjelaskan kepada kita wajh al-istidlal (cara atau sudut pengambilan dalil) daripadanya.
Adapun firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) setelah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Baqarah: 208]
Ayat ini tidak menunjukkan pendapat golongan tersebut. Perkataan al-silm yang terdapat dalam ayat yang mulia ini bermaksud al-istislam (penyerahan diri) kepada Allah dan ketaatan kepada-Nya, sekiranya ayat tersebut ditujukan kepada kaum Muslimin. Jika ayat itu ditujukan kepada orang-orang kafir, maka maksud al-silm dalam ayat tersebut ialah Islam.
Penafsiran yang paling baik bagi ayat ini ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Tabari: “Masuklah kamu ke dalam agama Islam ini secara kaffah (keseluruhannya).”
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepada kamu: ‘Engkau bukan seorang mukmin,’ lalu kamu membunuhnya dengan tujuan mendapatkan harta benda kehidupan dunia.” [TMQ al-Nisa’: 94]
Ayat ini juga tidak menunjukkan pendapat golongan tersebut, kerana perkataan al-silm di sini ditafsirkan sebagai al-istislam (penyerahan diri), al-Islam, atau al-taslim, iaitu salam yang diucapkan oleh seorang Muslim.
Sebab penurunan (sabab al-nuzul) ayat ini dapat menjelaskan tafsirnya. Ketika satu pasukan rahsia yang diutus oleh Rasulullah SAW sedang berperang dengan suatu kaum daripada penduduk Fadak, dalam kalangan mereka ada yang telah memeluk Islam. Lalu seluruh kaum tersebut melarikan diri kecuali seorang lelaki yang telah masuk Islam.
Apabila tentera kaum Muslimin melihat lelaki tersebut datang menemui mereka sambil mengucapkan, “Lā ilāha illa Allāh, Muhammad Rasulullah,” tiba-tiba Usamah bin Zaid membunuhnya. Setelah itu, pasukan tersebut kembali kepada Rasulullah SAW dan memberitahu Baginda tentang apa yang telah berlaku.
Pada ketika itu Rasulullah SAW sangat marah lalu membacakan ayat tersebut kepada Usamah. Sebab penurunan ayat ini menjelaskan maksudnya. Kesimpulan tafsirnya, sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar, ialah bahawa apabila kaum Muslimin melaksanakan jihad, mereka wajib memastikan kedudukan seseorang yang masih diragui statusnya sebelum membunuhnya.
Tidak boleh mengatakan kepada seseorang yang telah menyerah diri kepada kita serta menzahirkan bahawa dia menganut agama kita, “Engkau bukan daripada golongan kami,” lalu membunuhnya.
Manakala firman Allah SWT: “Tetapi jika mereka membiarkan kamu, tidak memerangi kamu serta menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak memberikan jalan bagi kamu untuk menawan dan membunuh mereka.” [TMQ al-Nisa’: 90]
Sesungguhnya ayat ini menunjukkan haramnya membunuh orang yang telah menyerah diri dan tidak mahu turut serta berperang bersama kaumnya. Penyerahan dirinya itu menyebabkan dia tidak boleh dibunuh.
Dengan demikian, jelaslah kepada kita bahawa ayat-ayat yang mereka jadikan sebagai dalil tidak menunjukkan bahawa al-salam (perdamaian) merupakan asas hubungan antara Dar al-Islam dengan Dar al-Kufr. Malah, sebahagian daripada dalil tersebut, berdasarkan kaedah dalalah al-isyarah, menunjukkan bahawa asas hubungan antarabangsa tersebut ialah perang.
- Golongan ini juga menggunakan dalil bahawa jihad tidak disyariatkan kecuali untuk mempertahankan diri. Dari sinilah, menurut mereka, al-silm (perdamaian) merupakan asas hubungan (antarabangsa). Istidlal seperti ini tidak benar kerana pengertian jihad tidak terbatas kepada mempertahankan diri semata-mata.
- Sebahagian daripada mereka berdalil dengan pandangan al-Syafi‘i bahawa pada asasnya seluruh dunia merupakan satu dar (wilayah). Pembahagian dunia kepada Dar al-Islam dan Dar al-Kufr hanyalah suatu keadaan yang bersifat sementara. Namun, hakikatnya perkara ini tidak boleh dianggap sebagai dalil sama sekali. Tambahan pula, pandangan al-Syafi‘i bukanlah dalil syarak, itu pun jika penisbahan pandangan tersebut kepada al-Syafi‘i memang benar. Sesungguhnya kami berpandangan bahawa pendapat ini bukanlah pendapat al-Syafi‘i.
Pandangan dan istidlal seperti ini merupakan sesuatu yang ganjil. Dikatakan bahawa manusia berasal daripada Nabi Adam, kemudian mereka berpecah kepada beberapa kelompok. Dalam kalangan mereka ada yang beriman dan ada yang kafir. Setelah itu, negara-negara mereka juga berpecah-belah. Kemudian apabila Islam muncul, pembahagian tersebut mengambil bentuk yang lain, iaitu wujudnya Negara Islam dan selainnya ialah negara-negara kafir.
Jadi, apakah hubungan perbahasan tersebut dengan keadaan kita pada hari ini? Apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan bahawa manusia berasal daripada Nabi Adam? Sejauh manakah kaitannya dengan pandangan yang menyatakan bahawa al-salam (perdamaian) merupakan asas hubungan tersebut?
Sesungguhnya perbahasan kita berkaitan dengan hubungan antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr setelah wujudnya kedua-dua dar tersebut. Perkara ini tidak mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku kepada manusia sejak zaman Nabi Adam AS atau dengan keadaan yang wujud sebelum munculnya Negara Islam dan Dar al-Islam.
Berdasarkan perbahasan di atas, telah jelas bagi kita bahawa dalil-dalil yang digunakan tidak sesuai dijadikan dalil dalam isu ini. Dalil yang benar ialah bahawa asas hubungan antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr adalah perang.
Telah jelas juga kepada kita bahawa dunia ini terbahagi kepada Dar al-Islam dan Dar al-Kufr. Negara Islam merupakan sebuah negara yang satu dan wajib mengemban dakwah Islam ke seluruh dunia. Mengemban dakwah Islam merupakan asas kepada politik luar negara bagi Negara Islam. Inilah landasan yang menjadi asas pembinaan hubungan antara Negara Islam dengan negara-negara lain, kerana sebuah negara yang menerapkan Islam tidak mungkin mampu hidup dalam keadaan terasing daripada masyarakat antarabangsa.
Titik tolak Negara Islam dalam mengemban risalah Islam ke seluruh dunia melalui jihad bermaksud bahawa negara menjadikan peperangan sebagai asas dalam menjalin hubungan dengan negara-negara lain. Namun demikian, hal ini tidak bererti bahawa Negara Islam mesti sentiasa menyalakan api peperangan secara berterusan terhadap seluruh negara di dunia, meskipun negara-negara tersebut memusuhi Islam dan melakukan konspirasi terhadapnya.
Ini kerana adakalanya Negara Islam tidak mempunyai kemampuan untuk berperang disebabkan faktor-faktor tertentu, seperti ketiadaan keadaan yang sesuai untuk berperang atau kerana Negara Islam sedang menumpukan peperangannya di medan perang yang lain.
Malah, kadangkala negara terpaksa menghentikan peperangan disebabkan oleh satu atau beberapa faktor. Sesungguhnya pengaturan perkara-perkara yang telah kami sebutkan sebelum ini dilaksanakan melalui perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh Negara Islam dengan negara-negara lain. Oleh itu, Negara Islam tidak hanya mencukupkan diri terikat dengan perjanjian-perjanjian tertentu dengan negara-negara lain dalam keadaan-keadaan tertentu.
Semua ini menuntut kita untuk mengetahui hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perkara tersebut. Ini kerana hukum syarak ialah khitab (seruan) al-Syari‘ (Allah SWT) yang berkaitan dengan perbuatan hamba. Perkara ini termasuk dalam kategori perbuatan hamba, maka hukum syarak mengenainya wajib diketahui agar dapat berpegang teguh dan istiqamah dengannya. Hal ini kerana keterikatan kepada hukum syarak merupakan asas bagi kehidupan individu, umat dan juga negara.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulKufur #DarulIslam