[Perjanjian Antarabangsa] Pengertian Jihad dalam Islam (Bahagian 4/5)
Penulis: Iyad Hilal
(Sambungan daripada “Pengertian Jihad” Bahagian 3/5.)
Sesungguhnya setiap mabda’ (ideologi) mempunyai fikrah (pemikiran) dan thariqah (metod) untuk menerapkan fikrah tersebut. Setiap mabda’ berbeza antara satu sama lain dalam aspek ini. Komunisme berbeza daripada kapitalisme dari segi fikrah dan thariqahnya. Demikian juga Islam, yang berbeza secara asas dan bertentangan dengan kedua-dua mabda’ tersebut. Islam mempunyai fikrah dan thariqah yang wajib dipelihara kedua-duanya.
Tidak boleh mencampuradukkan mabda’-mabda’ tersebut. Islam wajib diemban bersama fikrah dan thariqahnya, tanpa memisahkan antara kedua-duanya. Ini kerana pemisahan antara fikrah dan thariqahnya, serta usaha untuk menampalnya di sana-sini merupakan sesuatu yang berbahaya. Malah, ia boleh membawa kepada mengikuti jalan-jalan selain jalan Allah serta berpaling daripada mengingati Allah SWT.
Oleh itu, menjadi kewajipan bagi kita untuk mengemban Islam ke seluruh dunia dengan thariqah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk kita, yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh para sahabat selepas Baginda. Kaum Muslimin terus berpegang teguh dengan thariqah tersebut sehinggalah mereka meninggalkannya.
Thariqah untuk mengemban Islam ke seluruh dunia ialah melalui jihad fi sabilillah, iaitu Negara Islam mengambil inisiatif untuk menghancurkan kekuatan fizikal yang berada di hadapannya dan yang menghalang sampainya Islam kepada bangsa-bangsa lain.
Setelah proses penghancuran tersebut selesai, Islam membiarkan individu-individu untuk menganut apa yang mereka yakini tanpa sebarang paksaan, di bawah payung penerapan Islam ke atas mereka. Inilah yang telah menyebabkan, atau akan menyebabkan, mereka memeluk agama Islam secara beramai-ramai. Sesungguhnya mereka telah memeluk Islam apabila mereka menyaksikan sendiri penerapan Islam dalam realiti kehidupan.
Sesungguhnya pandangan yang menyatakan bahawa jihad hanya terhad kepada jihad untuk mempertahankan diri membawa dua implikasi.
Pertama, pemisahan antara fikrah Islam dan thariqah Islamiah. Salah satu maksudnya ialah mengemban Islam dengan metod atau thariqah yang berbeza daripada thariqah yang bersumberkan wahyu. Antaranya ialah metod yang hanya bergantung kepada nasihat, bimbingan serta pengutusan para mursyid dan utusan (pendakwah). Metod seperti ini tidak berbeza dengan usaha tabsyir (mubaligh Kristian) yang dilakukan oleh golongan Nasrani. Semua ini adalah proses untuk menghapuskan dan membunuh Islam, serta suatu bentuk berpaling daripada mengingati Allah SWT.
Kedua, mengecilkan peranan Negara Islam, seterusnya melemahkan dan akhirnya melenyapkannya. Ini kerana Negara Islam tidak akan menjadi sebuah negara yang dinamik melainkan dengan terus mengemban Islam ke seluruh dunia serta menghancurkan segala kekuatan yang menghalang sampainya Islam kepada bangsa-bangsa di dunia. Meninggalkan jihad atau membataskannya hanya kepada peperangan yang bersifat defensif akan menyebabkan Negara Islam kehilangan sifat dan ciri khasnya sebagai sebuah negara Islam. Malah, keadaan itu akhirnya akan membawa kepada lenyapnya negara tersebut. Jika hal itu berlaku, keadaannya seumpama sebuah negara yang menganut mabda’ (ideologi), tetapi berdiam diri daripada mendakwahkan dan menyebarkan risalahnya ke seluruh dunia. Keadaan status quo seperti itulah yang menjadi pintu kepada kehancurannya.
Pada awalnya, jihad diharamkan ketika Rasulullah SAW tinggal dan berdakwah di Makkah al-Mukarramah. Kemudian, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan mendirikan Negara Islam di sana, jihad diwajibkan. Selepas itu, Rasulullah SAW mula memerangi orang-orang musyrik sebagaimana yang ditunjukkan dalam kitab-kitab sirah. Baginda memulakannya dengan menghantar perisik dan pasukan rahsia untuk mendapatkan maklumat mengenai Quraisy. Rasulullah SAW tidak meletakkan diri Baginda semata-mata dalam kedudukan mempertahankan diri.
Apabila sebahagian peperangan memang bertujuan mempertahankan diri, seperti Perang Uhud dan Perang Khandaq, hal itu berlaku kerana Quraisy yang memulakan serangan terlebih dahulu, bukan kerana jihad hanya bermaksud mempertahankan diri semata-mata. Dalam Perang Badar, Rasulullah SAW sendiri yang mengambil inisiatif untuk berperang. Dengan kata lain, keadaan mempertahankan diri itu merupakan situasi yang ditentukan oleh keadaan peperangan, bukan suatu tahap khusus yang dilalui oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, ia bukanlah perpindahan Baginda daripada fasa mempertahankan diri kepada fasa memulakan peperangan.
Asal Hubungan Dar al-Islam dengan Dar al-Kufr
Telah jelas bagi kita bahawa Negara Islam wajib mengemban dakwah Islam ke seluruh dunia dengan thariqah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, iaitu jihad fi sabilillah. Perkara ini tidak boleh diabaikan. Mengabaikannya bererti mengabaikan tugas mengemban dakwah Islam serta melepaskan diri daripada kewajipan mengembann dakwah tersebut.
Inisiatif Negara Islam dalam mengemban dakwah melalui jihad ini bererti bahawa asas hubungan luar antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr ialah al-harb (perang). Keadaan perang, sama ada muhāriban ḥukman (secara hukum) mahupun muhāriban fi‘lan (secara nyata), merupakan asas hubungan tersebut sehingga Dar al-Kufr tunduk kepada pemerintahan Islam. Setelah itu, manusia dibiarkan menganut apa sahaja yang mereka yakini tanpa sebarang paksaan atau tekanan.
Pemahaman ini merupakan pemahaman para fuqaha dan kaum Muslimin terdahulu. Namun, pembatasan makna jihad kepada peperangan mempertahankan diri semata-mata sejak kemunculan Muhammad Abduh telah membawa kepada lahirnya pandangan baharu yang menyatakan bahawa al-salam (perdamaian) merupakan asas hubungan antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr.
Pandangan yang dianggap benar ialah bahawa asas hubungan antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr adalah perang. Ini kerana pengertian jihad tidak terbatas kepada mempertahankan diri semata-mata. Perkara ini membawa implikasi bahawa asas hubungan tersebut adalah perang. Tambahan pula, kita telah melihat bahawa makna jihad tidak terhad kepada keadaan mempertahankan diri sahaja.
Berikut ialah kami bahaskan dalil-dalil yang dikemukakan oleh golongan kedua yang berpendapat bahawa perdamaian merupakan asas hubungan antara Dar al-Islam dan Dar al-Kufr. Hujah-hujah mereka dapat kami ringkaskan seperti berikut:
- Mereka menggunakan dalil dari beberapa ayat al-Quran, seperti firman Allah SWT:
“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya.” [TMQ al-Anfal: 61]
“Sehingga peperangan berakhir.” [TMQ Muhammad: 4]
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [TMQ al-Baqarah: 208]
“Dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepada kamu: ‘Engkau bukan seorang mukmin’, lalu kamu membunuhnya kerana menginginkan harta benda kehidupan dunia.” [TMQ al-Nisa’: 94]
“Tetapi jika mereka mebiarkan kamu, tidak memerangi kamu dan menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak memberikan jalan kepada kamu untuk menawan dan membunuh mereka.” [TMQ al-Nisa’: 90]
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-Perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
Bersambung ke “Pengertian Jihad” Bahagian 5/5.
#PerjanjianAntarabangsa #Jihad #DarulIslam #DarulKufur