[Perjanjian Antarabangsa] Kesahan Perjanjian (Bahagian 1/4)
Penulis: Iyad Hilal
Sesungguhnya perbahasan mengenai kesahan sesuatu perjanjian berkaitan dengan dua perkara. Pertama, pihak yang bertanggungjawab melaksanakan perjanjian. Kedua, peringkat-peringkat pelaksanaan perjanjian.
Pertama: Pihak yang Bertanggungjawab Melaksanakan Perjanjian dalam Islam
Pihak yang Bertanggungjawab terhadap Perjanjian Gencatan Senjata
Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha tentang pihak yang berhak menurut syarak untuk memeterai akad perjanjian gencatan senjata dalam Negara Islam. Sebahagian ulama Hanafiyyah dan Malikiyyah berpendapat bahawa perjanjian gencatan senjata boleh dilakukan oleh mana-mana kelompok kaum Muslim tanpa memerlukan keizinan imam, dengan syarat perjanjian gencatan senjata tersebut mengandungi maslahat.
Sebahagian ulama Syafieyyah pula berpendapat bahawa jika perjanjian gencatan senjata itu dilakukan dengan orang kafir secara mutlak atau dengan penduduk sesebuah wilayah, maka perjanjian tersebut tidak boleh dilakukan kecuali oleh imam atau orang yang diberi kuasa olehnya. Namun, jika perjanjian gencatan senjata itu dilakukan dengan sebahagian orang kafir yang berada di sesebuah wilayah, maka akad perjanjian tersebut boleh dilakukan oleh pihak selain imam.
Adapun kelompok ketiga berpendapat bahawa hanya khalifah dan wakilnya yang bertanggungjawab melaksanakan perjanjian. Oleh itu, tidak seorang pun selain kedua-duanya dibenarkan melaksanakan perkara tersebut.
Penelitian yang mendalam terhadap pendapat-pendapat tersebut serta dalil-dalil yang digunakan akan menunjukkan kepada kita bahawa pendapat pertama merupakan pendapat yang salah. Hal ini demikian kerana tidak terdapat dalil yang menunjukkan bahawa akad perjanjian gencatan senjata boleh dilakukan oleh pihak selain imam.
Pendapat kedua mengandungi bahaya yang besar kerana perjanjian tersebut boleh melalaikan jihad. Pendapat ini menggunakan dalil bahawa hanya khalifah atau wakilnya yang boleh melakukan perjanjian dengan sesebuah wilayah. Adapun perjanjian dengan sebahagian orang kafir di sesebuah wilayah atau negeri tertentu merupakan perkara yang berkaitan dengan wilayah tersebut. Oleh itu, wali di wilayah berkenaan dibenarkan untuk melakukan perjanjian.
Hal ini demikian kerana kepentingan wilayah tersebut disandarkan kepadanya. Keperluan telah menuntut agar perjanjian itu dilakukan. Selain itu, mafsadah dalam perjanjian gencatan senjata ini adalah kecil sekiranya wali melakukan sesuatu kesilapan. Oleh itu, kuasa tersebut selain diberikan kepada khalifah, boleh juga diserahkan kepada wali.
Kelompok ketiga telah berdalil dalam pendapatnya bahawa perjanjian-perjanjian mengandungi bahaya yang amat besar, antaranya ialah ditinggalkannya jihad. Oleh itu, perjanjian tersebut wajib dilakukan oleh khalifah atau orang yang mewakilinya. Selain itu, perjanjian gencatan senjata merupakan perjanjian keamanan terhadap sejumlah orang kafir, maka pihak selain imam tidak berhak melaksanakan akad-akad ini.
Pendapat yang benar ialah pendapat yang menyatakan bahawa hanya khalifah atau orang yang mewakilinya berhak membuat perjanjian gencatan senjata. Hal ini demikian kerana khalifah merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap segala urusan rakyat. Ini merupakan penerapan daripada sabda Rasulullah SAW: “Imam ialah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap urusan rakyatnya.”
Demikian juga, negara merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam penerapan Islam, sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Perjanjian gencatan senjata berkaitan dengan politik luar negeri Negara Islam. Ertinya, perjanjian tersebut berkaitan dengan penerapan Islam dan pengembangannya ke luar negeri. Oleh itu, perjanjian tersebut wajib dikaitkan dengan negara. Hal ini demikian kerana pengaturan urusan rakyat, sama ada di dalam mahupun di luar negeri, merupakan tugas negara. Oleh itu, tidak seorang pun boleh melaksanakannya kecuali setelah memperoleh mandat daripada negara.
Pihak yang Bertanggungjawab dalam Pelaksanaan Perjanjian Secara Umum
Sebelum ini telah dibincangkan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan perjanjian gencatan senjata, sedangkan perjanjian-perjanjian lain tidak dibincangkan. Para fuqaha, setakat pengetahuan saya, hanya membincangkan perjanjian gencatan senjata.
Hakikatnya, tidak terdapat perbezaan antara perjanjian gencatan senjata dengan perjanjian-perjanjian yang lain. Kesemuanya merupakan kesepakatan antara Negara Islam dengan negara-negara lain dan semuanya berkaitan dengan politik luar negeri. Oleh itu, hukum-hukum yang terpakai bagi perjanjian gencatan senjata turut terpakai bagi jenis-jenis perjanjian yang lain.
Dengan demikian, pihak yang bertanggungjawab melakukan akad perjanjian wajib dibataskan hanya kepada khalifah atau orang yang diwakilkan olehnya untuk melakukan sesuatu perjanjian. Islam telah mewajibkan kaum Muslim melantik seorang khalifah untuk menjadi pemimpin bagi seluruh urusan kaum Muslim serta memelihara segala kepentingan mereka. Khalifahlah yang dipilih untuk mengatur urusan umat, sama ada di dalam mahupun di luar negeri.
Tidak seorang pun dibenarkan melaksanakan tugas-tugas khalifah kecuali jika khalifah mewakilkan tugas tersebut kepadanya. Dalilnya ialah Rasulullah SAW merupakan orang yang secara langsung mengatur seluruh urusan negara dan memelihara segala kepentingannya, sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Baginda merupakan pihak yang bertanggungjawab terhadap penerapan hukum-hukum Islam dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan Negara Islam di dalam negeri serta pengembangannya ke luar negeri.
Rasulullah SAW sendiri mengatur segala perkara yang berkaitan dengan politik luar negeri. Bagindalah yang memutuskan pengisytiharan perang dan perjanjian gencatan senjata. Baginda juga yang menetapkan seluruh perjanjian, sama ada di Madinah mahupun perjanjian dengan penduduk Ailah. Dalam Perjanjian Hudaibiyah dengan Quraisy, Rasulullah SAW tidak menunggu persetujuan kaum Muslim atau keredhaan mereka terhadap perjanjian tersebut. Demikianlah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyah.
Ketika melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, Rasulullah SAW bertindak sebagai imam. Tidak seorang pun dibenarkan melakukannya kecuali jika imam mewakilkan atau memberikan izin kepadanya. Rasulullah SAW melakukan perkara ini adalah kerana kedudukan baginda sebagai imam (ketua negara) dan penyampai (mubaligh), bukan hanya sebagai penyampai (mubaligh).
Meneladani perbuatan Rasulullah SAW dilakukan dengan melaksanakan perbuatan tersebut berdasarkan kedudukan Rasulullah SAW ketika baginda melakukannya, bukan sekadar melakukan perbuatan itu.
Sumber: Iyad Hilal, Perjanjian-perjanjian Antarabangsa dalam Pandangan Islam.
Bersambung kepada “Kesahan Perjanjian” Bahagian 2/4.
#PerjanjianAntarabangsa #DarulIslam #DarulKufur