[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Parti Politik Islam dan Peranannya (Bahagian 1/2)
Penulis: MR Kurnia, dkk.
Dalam praktiknya, aktiviti politik dilakukan oleh negara dan masyarakat. Negara melaksanakan pelbagai aturan demi kebaikan masyarakat. Sementara itu, masyarakat melakukan aktiviti mengawal terhadap dasar penguasa, mempersiapkan kader pemimpin, dan turut membina masyarakat demi melestarikan penegakan aturan Islam oleh negara.
Aktiviti masyarakat dapat dilakukan secara individu mahupun kolektif. Secara kolektif, ia dilakukan oleh parti yang mengemban Islam. Itulah parti politik Islam. Di dalam Al-Quran yang mulia, Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh (agar membuat) yang makruf, serta mencegah daripada yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (TMQ Ali Imran [3]: 104)
Imam Ath Thabary menafsirkan kata ummatun dalam ayat tersebut sebagai ‘jama’atun yang bermaksud kelompok (Tafsir Ath Thabary, juz 4, hlm. 38). Tugas kelompok ini ialah menyeru kepada Islam, serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar (Sayyid Quthb, Fi Zhilalil Quran, juz 4, hlm. 27).
Ertinya, kelompok tersebut melakukan dakwah Islam, baik dari segi pemikiran mahupun perbuatan. Pernyataan, “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (minkum unmatun)” merupakan perintah daripada Allah SWT untuk mendirikan jamaah minal Muslimin, iaitu jamaah/kelompok yang terdiri daripada sebahagian kalangan kaum Muslim yang terorganisasi dengan rapi, serta mempunyai ciri-ciri yang benar sebagai sebuah jamaah.
Inilah makna minkum dalam ayat tersebut. Imam Jalaluddin Muhammad dan Imam Jalaluddin Abdur Rahman menjelaskan dalam tafsirnya bahawa min dalam ayat ini adalah untuk sebahagian (lit tab’idh). Sebabnya, menurut mereka, perintah dalam ayat ini adalah fardhu kifayah yang tidak dapat dilakukan oleh setiap individu seperti orang yang kurang pengetahuannya (Tafsir Jalalain, juz 1, hlm. 57).
Jadi, ayat ini merupakan perintah untuk menegakkan suatu jamaah daripada sebahagian kaum Muslim. Walaupun begitu, beliau mengakui ada pendapat yang menyatakan bahawa min di sini ialah min tambahan (za ‘idah) sehingga maksudnya merujuk kepada umat Islam secara keseluruhan. Namun, pendapat yang lebih kuat dan lebih hampir kepada kebenaran ialah min dalam ayat ini bermaksud “sebahagian”, sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat itu sendiri (Muhammad Abdul Majid Al Khalidi, Qawa’id Nizhom al-Hukmi fil Islam, hlm. 205).
Selain itu, umat Islam sememangnya merupakan satu umat tersendiri (misalnya disebutkan dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 110). Dengan demikian, dengan menganut akidah Islam, setiap orang telah menjadi sebahagian daripada umat Islam, walaupun mereka mungkin belum menjadi sebahagian daripada masyarakat Islam yang hidup di bawah sebuah jama’atul Muslimin, yakni Khilafah Islamiah.
Dalam memaknai ayat ini, Imam Ibnu Katsir menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini ialah, hendaklah ada satu kelompok (firqah) daripada kalangan umat Islam untuk melakukan perkara yang dituntut tadi, walaupun melaksanakan perbuatan tersebut wajib ke atas setiap individu dari umat mengikut kemampuannya (Imam Ibnu Katsir, Tafsirul Qur`anil ‘Azhim, juz 1, hlm. 478).
Senada dengan ini, Syeikh Muhammad Abduh dalam Al Manar menyatakan bahawa ummat dalam ayat ini lebih khusus dibandingkan dengan kata al jamaah. Umat di sini adalah jamaah yang terdiri daripada individu-individu yang mempunyai ikatan yang menyatukan mereka. Dengan adanya ikatan tersebut, mereka menjadi satu kesatuan kutlah (kelompok) yang lestari.
Jelaslah bahawa makna ayat tadi ialah, hendaklah ada suatu jamaah dari kalangan kaum Muslim, bukan hendaklah kaum Muslim menjadi suatu jamaah. Perintah untuk mendirikan ummatun (yakni jama’atun) dalam ayat ini memang menggunakan kata waltakun (hendaklah ada). Akan tetapi, terdapat banyak indikasi (qarinah) yang menunjukkan bahawa tuntutan dan perintah tersebut bersifat tegas.
Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti yang perlu dilakukan oleh jamaah tersebut ialah aktiviti yang hukumnya wajib (ini pendapat jumhur ulama, Syarhu Al Asnawi, juz 2, hlm. 18 dan 19) separti dijelaskan dalam banyak ayat yang lain (seperti surah Ali Imran: 110, At-Taubah: 71 dan 112, Al-Hajj: 41). Berdasarkan penjelasan tersebut, Allah SWT dengan tegas mewajibkan kaum Muslim untuk mendirikan kelompok sedemikian.
Perkara kedua, jamaah yang diperintahkan untuk didirikan dalam ayat itu ialah sebuah parti politik. Dalam ayat itu (Ali Imran: 104) dijelaskan bahawa jamaah yang mesti dibentuk mempunyai dua tugas, iaitu menyerukan kepada al khair dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Imam Ibnu Katsir menafsirkan menyeru kepada al khair sebagai mengajak manusia mengikuti Al-Quran dan sunnah (Imam Ibnu Katsir, Tafsirul Qur anil ‘Azhim, juz 1, hlm. 478). Sementara itu, Imam Jalaluddin menafsirkan al khair dalam ayat tersebut sebagai Islam (Tafsir Jalalain, juz 1, hlm. 57).
Dengan demikian, menyeru kepada al khair bererti menyeru atau mendakwahkan Islam secara menyeluruh. Sementara itu, memerintahkan perkara makruf bererti memerintahkan segala perkara yang sesuai dengan Islam. Adapun mencegah perkara mungkar bererti mencegah segala perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi, dalam ayat tersebut, Allah SWT mewajibkan kaum Muslim untuk memiliki kelompok-kelompok yang mengajak manusia untuk menerapkan Islam secara menyeluruh serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar.
Dengan kata lain, ayat tersebut memerintahkan agar adanya kelompok yang mengemban dakwah Islam dan berusaha mengembalikan kehidupan Islam, iaitu dengan memerangi hukum kufur berserta kekuasaannya dan mewujudkan hukum Islam berserta kekuasaannya.
Satu perkara yang penting yang perlu difahami ialah teks perintah dalam surah Ali Imran: 104 tersebut, sesiapa sekalipun yang mengetahui bahasa Arab, hanya sedikit sahaja yang akan memahami perkara ini bukanlah perintah untuk melakukan dua aktiviti tersebut, tetapi perintah untuk mendirikan sebuah kelompok yang melakukan dua kewajipan itu.
Perintah amar makruf dan nahi mungkar dalam ayat tersebut bersifat umum, baik terhadap rakyat biasa mahupun penguasa. Hal ini disebabkan adanya alif dan lam pada kata makruf dan mungkar (Al Baidhawi, Minhajul Wushul fi ‘Ilmil Ushul, juz 2, hlm. 6163). Sedangkan, kejahatan yang berlaku dalam masyarakat sering kali berpunca daripada kejahatan dan kezaliman penguasanya. Oleh sebab itu, tidak menghairankan banyak hadis yang menyentuh persoalan penguasa, antaranya, “Sesungguhnya pemimpin yang paling jahat adalah pemimpin yang lalai, maka jangan sampai kamu termasuk golongan mereka.” (HR Bukhari dan Muslim).
Sesungguhnya, kemungkaran yang dilakukan oleh penguasa tidak dapat dibandingkan dengan kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang secara individu. Musibah yang ditimbulkan akibat kemungkaran penguasa amat besar terhadap kehidupan Islam.
Sumber: MR Kurnia, dkk, Merentas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.
Bersambung ke “Parti Politik Islam” (Bahagian 2/2).
#AhliPolitikIslam #AhliPolitikTransformatif #PejuangKhilafah #JomDakwahIslamKaffah