[Menjadi Ahli PolitikTransformatif] Parti Politik Islam dan Peranannya (Bahagian 2/2)
Penulis: MR Kurnia, dkk.
(Sambungan dari “Parti Politik Islam” Bahagian 1/2.)
Amar makruf nahi mungkar terhadap penguasa merupakan aktiviti amar makruf dan nahi mungkar yang paling utama serta paling besar pahalanya. Berkaitan dengan persoalan ini, Rasulullah SAW bersabda, “Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.” (HR Abu Daud dan At-Tirmidzi).
“Daripada Abu Abdillah Thariq bin Syihab Al Bajaly Al Ahmasy RA bahawa ada seseorang bertanya kepada Nabi SAW padahal dia sudah meletakkan kakinya di atas pelana, ‘Manakah jihad (perjuangan) yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Mengatakan kebenaran kepada penguasa yang menyeleweng (daripada Islam).’” (HR An-Nasa’i).
Dengan demikian, perintah dominan dalam ayat tersebut ialah pembentukan jamaah yang beraktiviti mendakwahkan Islam dan memuhasabah penguasa melalui jalan amar makruf dan nahi mungkar. Jamaah dengan karakteristik demikian tidak lain ialah sebuah parti politik. Ini kerana, kelompok yang berterusan melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap penguasa hanyalah parti politik.
Apabila kelompok yang dimaksudkan bukan bersifat politik, ini bererti kelompok tersebut tidak melakukan amar makruf nahi mungkar kepada penguasa. Sedangkan perkara itu diperintahkan, malah merupakan amar makruf nahi mungkar yang paling utama. Mungkin ada juga yang melakukannya, tetapi bukan sebagai jamaah (yang mempunyai ikatan dan kepimpinan), melainkan secara individu atau dalam bentuk himpunan sementara. Sedangkan, kewajipan tersebut merupakan kewajipan untuk mewujudkan sebuah jamaah yang melakukan aktiviti tersebut, bukannya sekadar menegaskan kewajipan aktiviti itu sendiri. Jelaslah bahawa perintah itu merupakan kewajipan untuk mendirikan parti politik (Taqiyyuddin An Nabhani, Muqaddimatud Dustur, hlm. 98, materi 19).
Selain itu, kewajipan untuk melanjutkan kehidupan Islam melalui tegaknya Al-Jamaah (Khilafah Islamiah) tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa kewujudan parti sedemikian. Ini berdasarkan kaedah usul fikh yang telah disepakati oleh para ulama, ma la yatimmul wajibu illa bihi fa huwa wajib (sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu juga menjadi wajib). Dengan demikian, kewujudan parti politik Islam adalah wajib.
Sudah tentu, parti yang dimaksudkan sebagaimana kandungan ayat tersebut ialah parti politik Islam yang dasar dan idea-ideanya Islam (termasuk tidak menyeru kepada demokrasi, HAM, sinkretisme, dan menentang semua idea yang bertentangan dengan Islam). Begitu juga dengan metodenya Islam (termasuk tidak turut serta dalam pemerintahan dan parlimen kufur), serta bertujuan menegakkan hukum Islam. Parti politik Islam tersebut berideologi Islam, anggotanya Muslim, serta dalam setiap pemikiran dan gerak langkahnya terikat dengan al-Quran dan sunnah.
Adapun penamaan kelompok yang dimaksud dengan parti (hizb) merupakan perkara yang alami. Allah SWT sendiri menggunakan nama sedemikian dalam al-Quran. Dia Zat Yang Maha Mengetahui menamakan orang-orang yang menjadikan-Nya sebagai wali dengan nama hizb (parti). Firman-Nya, “Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi walinya, maka sesungguhnya parti Allah (hizbullah) itulah yang pasti menang.” (TMQ Al-Maidah [5]: 56).
“Allah redha akan mereka dan mereka juga redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Al-Mujadilah [58]: 22).
Selain parti Allah, ada juga parti syaitan. Allah SWT menegaskan, “Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa ajaran dan amaran Allah. Mereka itulah puak syaitan (hizbusy syaithan). Ketahuilah bahawa sesungguhnya puak syaitan itulah golongan yang rugi.” (TMQ Al-Mujadilah [58]: 19).
Parti syaitan inilah yang digambarkan oleh Allah SWT sebagai “tiap-tiap parti bangga dengan apa yang ada pada mereka” dalam al-Quran surah Ar-Rum ayat 32.
Hukum-hukum syarak, pendapat, dan pemikiran yang menjelaskan tentang institusi negara, strukturnya, sistem yang akan dilaksanakannya (sistem pemerintahan, ekonomi dan sosial), serta hubungan antarabangsa dan negara. Semua ini digali daripada contoh Rasulullah SAW ketika mendirikan Negara Madinah.
Parti politik dalam Islam bukanlah untuk merebut kekuasaan, walaupun ia boleh dijadikan sebagai salah satu jalan untuk meraih kekuasaan. Berikut ialah peranan parti politik dalam Islam.
- Membangun tubuh parti. Rasulullah SAW terus-menerus melakukan pembinaan sehingga terbentuk barisan pejuang Islam yang kukuh. Mereka memiliki akidah, cara berfikir, dan sikap jiwa Islam. Mereka berakhlak mulia, rajin beribadah, memiliki roh jihad, perjuangan yang berkobar-kobar, semangat dakwah yang sentiasa menyala, serta pemahaman dan kepekaan politik yang tinggi.
Hasilnya, putera-puteri umat Islam dididik dengan Islam sehingga terbentuk peribadi yang soleh dan muslih. Soleh bererti baik bagi dirinya, sedangkan muslih bererti dapat menjadikan orang lain juga soleh.
- Mempersiapkan umat untuk turut serta membangun kehidupan Islam. Caranya adalah dengan melakukan pembinaan umum (tatsqif jama’i) untuk membentuk opini umum terhadap pemahaman-pemahaman Islam yang akan ditegakkan oleh parti, tujuan-tujuannya, dan keimanan kepada Islam, serta keyakinan akan nilai-nilainya. Apabila ini berlaku, terwujudlah kesatuan visi antara parti dengan umat secara keseluruhan.
Akhirnya, umat akan bersama-sama berjuang bersama parti tersebut, meskipun mungkin ada di antara umat yang bukan sebahagian daripada parti itu, namun bervisi dan misi yang sama. Begitulah Nabi SAW melakukan pembinaan umum melalui lisan baginda berserta para sahabat yang dibinanya sebelum tertegaknya daulah di Madinah.
- Melakukan pergolakan pemikiran (shira’ul fikriy). Maksudnya, menentang segala pemikiran, pemahaman, dan hubungan-hubungan yang bertentangan dengan hukum syarak. Rasulullah SAW sentiasa membantah akidah kaum musyrikin, Yahudi dan Nasrani, hukum-hakam yang rosak yang diterapkan dalam masyarakat pada waktu itu, muamalah yang batil, jual beli yang penuh spekulasi dan eksploitasi, riba yang berleluasa, hubungan yang rosak antara lelaki dengan perempuan, dan perkara-perkara lain. Setelah jelas keburukan semua itu, baginda menjelaskan bagaimana Islam memandang perkara tersebut.
- Melakukan perjuangan politik (kifah siyasiy). Parti politik Islam merupakan sebuah institusi politik yang berusaha untuk menjatuhkan institusi negara kufur yang menerapkan hukum kufur, kemudian mengubah dan menggantinya dengan hukum-hukum Islam. Parti Islam sentiasa membongkar aktiviti-aktiviti rosak pemerintah, pengaturan yang zalim terhadap masyarakat yang dilakukannya, persekongkolannya untuk membawa umat kepada kemurkaan Allah SWT, serta mendedahkan rancangan-rancangan jahat negara-negara asing kafir terhadap Islam dan kaum Muslim. Semua ini dilakukan tanpa kekerasan kerana Nabi SAW menunjukkan contoh sedemikian.
Sumber: MR Kurnia, dkk, Merentas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.
#AhliPolitikTransformatif #JomDakwahIslamKaffah #TegakKhilafah