[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Mengenali Potensi: Memahami Hakikat Diri (Bahagian 1/6)
Penulis: MR Kurnia, dkk
Seorang muslim sudah sepatutnya memahami hakikat hidupnya di dunia. Dari mana dia berasal? Untuk apa dia hidup dan bagaimana dia perlu menjalani hidupnya? Akan ke mana setelah mati? Pemahaman akan hakikat hidup sangatlah penting kerana akan menentukan corak atau gaya hidup seseorang. Sedemikian pentingnya persoalan ini, sehinggakan mungkin boleh dikatakan “janganlah kita hidup sebelum memahami hakikat hidup kita sebenarnya.”
Namun demikian, tidak sedikit umat Islam yang tidak memahami, bahkan kehilangan makna hidupnya yang hakiki. Ada yang terhanyut oleh pola hidup sekular. Ada pula yang acuh tak acuh menjalani hidupnya. Padahal, memahami hakikat hidup bukanlah hal yang sukar bagi seorang muslim. Allah SWT telah memberikan bekal dan potensi pada diri manusia berupa daya fikir (akal) dan fitrah yang melekat pada manusia sejak ia diciptakan oleh Allah Taala.
Allah SWT telah memberi panca indera sebagai salah satu unsur penting untuk proses berfikir. Allah SWT berfirman, “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (TMQ An-Nahl: 78).
Semua bekal ini semestinya boleh digunakan dengan sebaik-baiknya agar manusia dapat memahami hakikat hidupnya di dunia. Kegagalan manusia dalam memahami hakikat hidupnya, tiada lain adalah disebabkan oleh kelalaian dan keengganannya menggunakan bekal-bekal tersebut. Akibatnya arah dan orientasi hidupnya menjadi tidak jelas atau menyimpang dari jalan yang sepatutnya.
Akhirnya, hawa nafsu atau syaitanlah yang dijadikan “tuhan”, yakni menjadi sumber penentu sikap dan tujuan hidupnya. Orang sesat seperti ini dicap oleh Allah SWT bagaikan binatang ternak, bahkan lebih rendah lagi daripada itu.
Allah SWT berfirman, “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (TMQ Al-A’raf: 179).
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak. Bahkan, mereka lebih sesat lagi jalannya (dari binatang ternak itu).” (TMQ Al-Furqân: 43—44).
Jelaslah, memahami hakikat hidup merupakan suatu hal yang sangat fundamental. Kegagalan memahami hakikat hidup akan membuat seseorang menjalani hidup bagaikan layang-layang putus yang bergerak mengikuti ke mana saja angin berhembus atau dihempaskan ombak ke mana saja tanpa tujuan. Maskudnya, seorang muslim mudah sekali tersesat. Bahkan tidak mustahil dia menjadi murtad tanpa disedari sehingga amalnya di dunia menjadi sia-sia bagaikan debu yang berterbangan.
“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang beterbangan.” (TMQ Al-Furqân: 24).
Dalam pandangan Islam, manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya. Makna ibadah secara bahasa (lughah) disebutkan oleh Imam Al Fairuz Abadi dalam kamus Al Muhith sebagai taat, yakni menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan. Sedangkan menurut istilah ada dua pengertian, yakni khusus (khaas) dan umum (‘aam).
Muhammad Husein Abdullah dalam kitab Dirasaat Fil Fikri al Islamiy memberikan definisi khusus. Ibadah adalah mentaati perintah dan larangan Allah SWT yang mengatur hubungan antara Allah SWT dengan hamba-Nya, misalnya solat, puasa, doa, dan lain-lain. Dalam deifnisi umum, ibadah bermakna mengikatkan diri dengan seluruh hukum-hukum Allah Taala.
“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” (TMQ Adz-Dzáriyat: 56).
Manusia juga disebut sebagai Khalifah. “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’” (TMQ Al-Baqarah: 30).
Syeikh Muhammad Ali Ash-Shobuni dalam kitab Shofatut Tafasir, Juz 1, menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Khalifah pada ayat di atas adalah manusia yang bertugas mengelola dan memakmurkan bumi dengan hukum-hukum Allah Taala. Oleh kerana itu, apabila manusia tidak memahami hukum-hukum Allah SWT, pasti akan sukar untuk melakukan tugas-tugasnya sebagai khalifah sebagaimana yang telah ditetapkan Allah Taala.
Pandangan dan pemahaman manusia bahawa misi penciptaannya hanyalah untuk beribadah kepada Allah SWT terbentuk sejalan dengan kesimpulan yang diperolehinya berkenaan dengan keberadaan dirinya di dunia. Ketika manusia menginjak usia dewasa (baligh), yang dicirikan oleh kesempurnaan fungsi akalnya, mulailah dia berfikir tentang beberapa hal yang sangat mendasar. Hal-hal mendasar tersebut menuntut jawapan tuntas yang memuaskan akal sihat, mententeramkan jiwa, dan sesuai dengan fitrahnya. Jawapan itu pula yang akan menjadi landasan dan tujuan kehidupannya.
Selagi masalah mendasar ini belum terjawab secara tuntas, selagi itulah pula orientasi hidup manusia tidak akan pernah tetap. Manusia cenderung mudah terumbang-ambing sehingga membuatnya tidak pernah merasa tenang. Apabila hal itu yang terjadi, sebenarnya manusia telah melakukan pengingkaran terhadap hakikat fitrah manusia itu sendiri.
Mengingat sifatnya sangat mendasar dan substantif, pertanyan tersebut disebut pula sebagai Al-‘Uqdatu al-Kubra atau simpul yang sangat besar. Disebut demikian kerana mengandungi penjelasan bahawa apabila pertanyaan ini telah terjawab, dengan sendirinya akan terhurailah berbagai pertanyaan/permasalahan cabang berikutnya yang dihadapi manusia dalam kehidupannya di dunia.
Persoalan mendasar tersebut berupa tiga bentuk pertanyaan:
1. Min aina ataytu?
Dari manakah manusia, kehidupan, dan alam semesta ini berasal?
2. Limadza ji’tu?
Untuk apa manusia dan kehidupan ini ada?
3. Ila ayna al-mashir?
Akan ke mana manusia dan kehidupan setelah di dunia ini?
Sumber: MR Kurnia, dkk, Merentas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.
(Bersambung ke “Mengenali Potensi” Bahagian 2/6.)