[Menjadi Ahli Politik Transformatif] Mengenali Potensi: Memahami Hakikat Diri (Bahagian 2/6)
Penulis: MR Kurnia, dkk
(Sambungan dari “Mengenali Potensi” Bahagian 1/6.)
Pertanyaan pertama, “Dari manakah manusia, kehidupan, dan alam semesta ini berasal?” Apakah ketiga-tiganya ini ada dengan sendirinya ataukah ada yang mengadakannya? Pertanyaan ini berkaitan erat dengan fakta bahawa manusia itu hidup di alam semesta (li anna al-insaana yahya fi al-kaun). Dengan demikian, wajar apabila manusia bertanyakan tentang dirinya, tentang hidup (dalam makna biologi) yang ada pada dirinya dan makhluk lainnya, serta tentang alam semesta yang merupakan tempat hidupnya. Pertanyaan pertama ini bertanyakan tentang hakikat apa yang ada sebelum kehidupan dunia (qabla al-hayati al-dunya).
Pertanyaan kedua, “Untuk apa manusia dan kehidupan ini ada?” Pertanyaan ini berkaitan dengan fakta bahawa manusia telah lahir dan wujud di dalam kehidupan dunia ini (al-hayatu al-dunya). Dengan demikian, wajar apabila dalam pemikirannya muncul pertanyaan mengenai tujuan dia hidup dan cara dia perlu menjalani kehidupan (dalam makna sosiologi). Dalam bahasa Hafizh Shalih dalam kitabnya An Nahdhah, pertanyaan ini berhubungan dengan makna keberadaan manusia dalam kehidupan (ma’na wujudi al- insaan fi al-hayah).
Pertanyaaan ketiga, “Akan ke mana manusia dan kehidupan ini setelah di dunia ini?” Pertanyaan ini juga sangat wajar kerana setiap manusia pasti akan berjumpa dengan kematian. Dalam pemikirannya pasti terbit pertanyaan, apakah setelah kematian bermakna segala sesuatunya juga akan berakhir? Ataukah sebaliknya kematian itu merupakan suatu pintu untuk memasuki fasa kehidupan baru selanjutnya? Pertanyaan ini berkaitan dengan hakikat apa yang ada setelah kehidupan dunia (ba’da al-hayati al-dunya).
Di samping ketiga-tiga pertanyaan utama tersebut, hal penting lain yang juga menjadi pertanyaan adalah adakah ketiga-tiganya mempunyai hubung kait? Inilah pertanyaan-pertanyaan utama yang tercakup dalam apa yang disebut dengan Al-Uqdatu al-Kubra .’
Tak diragukan lagi, semua pertanyaan dalam simpul besar itu memang merupakan pertanyaan-pertanyaan fundamental yang memerlukan jawapan tuntas sebagaimana halnya simpul-simpul besar pada tali yang perlu dihuraikan terlebih dahulu agar tali itu dapat digunakan. Apabila simpul besar ini berjaya terurai, nescaya simpul-simpul cabang berikutnya akan dengan mudah dihuraikan.
Simpul-simpul ini adalah pertanyaan-pertanyaan praktikal yang berkaitan langsung dengan kehidupan sehari-hari, misalnya mengapa dan bagaimana kita perlu bekerja mencari nafkah? Bagaimana kita perlu membina sebuah keluarga yang bahagia? Bagaimana kita perlu berpolitik dalam kehidupan bernegara? Begitulah juga dengan pertanyaan lainnya.
Dalam menghadapi persoalan-persoalan asas dalam Al-‘Uqdatu al-Kubra, manusia menunjukkan pelbagai sikap. Ada yang menghindar atau tidak mempedulikan persoalan-persoalan tersebut sehingga akhirnya mereka menjalani kehidupan sekadar seadanya, tanpa makna, visi dan misi. Kehidupan mereka menjadi kosong dan melampaui batas. Namun, ada juga yang berjaya menjawab persoalan-persoalan tersebut setelah berusaha mencari jawapannya dengan serius, tanpa mengira sama ada jawapan itu benar ataupun tidak.
Jawapan-jawapan terhadap Al-Uqdatu al-Kubra ini menurut Muhammad Husain Abdullah dalam kitabnya Dirasat fi al-Fikri al-Islami disebut dengan fikrah kulliyah (pemikiran menyeluruh) kerana jawapannya mencakup segala sesuatu yang maujud (alam semesta, manusia, dan kehidupan), di samping mencakup ketiga-tiga fasa kehidupan yang dilalui manusia, berserta hubungan-hubungan di antara ketiganya.
Jawapan itu disebutnya juga sebagai akidah (pemikiran mendasar) dan qa’idah fikriyah (landasan pemikiran). Disebut akidah kerana memang jawapan terhadap Al-Uqdatu al-Kubra merupakan pemikiran yang mendasar. Sedangkan disebut qa’idah fikriyah kerana jawapan tersebut merupakan asas pemikiran yang di atasnya dapat dibangun pemikiran-pemikiran cabang tentang kehidupan.
Oleh sebab itu, jawapan terhadap Al-Uqdatu al-Kubra boleh jadi beraneka macam, bergantung kepada akidah (keyakinan) yang dianut seseorang. Di sini akan dihuraikan jawapan dari sudut pandang keyakinan Islam dan sekularisme, memandangkan fahaman sekularisme inilah yang sedang merajalela di dunia, termasuk di dunia Islam, setelah sosialisme runtuh di penghujung 1980-an.
Jawapan yang memuaskan akal dan menenteramkan jiwa yang bermakna sesuai dengan fitrah penciptaan manusia atas ketiga pertanyaan di atas akan menjadi landasan dan pemahaman manusia terhadap berbagai persoalan kehidupan berikutnya.
Jawapan Islam terhadap Al-Uqdatu Al-Kubra
Jawapan Islam terhadap Al-Uqdatu al-Kubra bersumber dari Al-Quran dan sunnah. Kedua-duanya merupakan wahyu yang diturunkan Allah SWT melalui Rasulullah Muhammad SAW sebagai petunjuk hidup.
Jawapan atas Pertanyaan “Dari Mana Manusia, Kehidupan, dan Alam Semesta Berasal?”
Terhadap pertanyaan “Dari manakah manusia, kehidupan, dan alam semesta berasal?”, Islam memberikan jawapan bahawa ketiga-tiga hal tersebut diciptakan oleh Allah SWT, tidak maujud dengan sendirinya. Dengan kata lain, apa yang ada sebelum kehidupan dunia (qabla al-hayati al-dunya) adalah Allah Taala. Jawapan ini diterangkan dalam banyak nas.
Allah SWT berfirman, “Wahai manusia sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakan kalian dan orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa.” (TMQ Al-Baqarah: 21).
“Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;.” (TMQ Al-Infithår: 6—7).
“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (TMQ Al-Baqarah: 28).
Ayat-ayat di atas menegaskan bahawa asal manusia adalah kerana diciptakan oleh Allah, bukan ada dengan sendirinya, juga bukan tercipta semata-mata kerana proses-proses alam, atau tercipta melalui evolusi dari organisma lain yang lebih sederhana. Allahlah yang telah menciptakan manusia dan membuatnya hidup di dunia sampai batas waktu tertentu, lalu dikembalikan lagi kepada-Nya.
Jawapan atas Pertanyaan “Untuk Apa Manusia dan Kehidupan Ini Ada?”
Terhadap pertanyaan “Untuk apa manusia hidup?” Islam menjawab bahawa manusia hidup di dunia untuk beribadah kepada-Nya. Ini bermakna untuk mentaati Allah SWT dengan menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya dalam segala aspek kehidupan. Misi hidup manusia ini dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadah) kepada-Ku.” (TMQ Adz-Dzariyat: 56).
“Padahal mereka tidak diperintah, kecuali supaya mereka beribadah (menyembah) Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. …” (TMQ Al-Bayyinah: 5).
Ibadah sebagaimana telah dijelaskan di muka, ini pula yang dimaksud dengan ibadah dalam kedua ayat di atas, adalah mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah Taala. Adapun makna ibadah secara khusus adalah ketaatan kepada hukum syarak yang mengatur hubungan antara manusia dengan Rabb-nya, seperti solat, zakat, haji, doa, dan sebagainya.
Mengaktualisasikan ibadah dalam makna umum inilah yang secara konkrit merupakan misi hidup manusia di dunia menurut Islam. Inilah hakikat hidup manusia di dunia dan ini pula yang wajib menjadi landasan segala kiprahnya. Aktualisasi ibadah terwujud ketika seorang muslim mengikatkan dirinya dengan hukum-hukum syarak dalam segala aktivitinya, baik ketika berhubungan dengan Rabb-nya dalam bidang akidah dan ibadah, berhubungan dengan dirinya sendiri dalam bidang akhlak, makanan, minuman, dan pakaian, mahupun ketika berinteraksi dengan sesamanya dalam bidang muamalah dan uqubat (hukuman dan sanksi).
Ketika seorang muslim menjalankan solat lima waktu, mengeluarkan zakat setiap tahun, berpuasa ketika Ramadhan, beribadah haji, bertaubat, atau membaca Al-Quran, semua ini disebut sedang melaksanakan ibadah (dalam makna khusus). Begitu juga apabila seseorang bekerja secara profesional dengan etika kerja yang tinggi, disokong oleh kemahiran serta sikap amanah; mendidik anak-anak menurut ajaran Islam; menepati janji; mengkaji ajaran Islam; mengambil berat tentang keadaan umat Islam yang lain; aktif berdakwah atau menyertai kegiatan keIslaman; bersabar ketika ditimpa musibah; meminta isteri atau anak perempuannya memakai tudung; menziarahi rakan yang sakit; bermusyawarah; menjaga kesihatan dan kebersihan; dan sebagainya. Semua ini menunjukkan bahawa dia juga sedang melaksanakan misi ibadah.
Sebaliknya, apabila seseorang mengabaikan tanggungjawab, melakukan rasuah dan penyelewengan, memberi atau menerima suapan, berbohong, berzina, meminum arak, mengambil dadah, mengunjungi pub atau disko, membantu berlakunya perzinaan, menzalimi orang lain, dan sebagainya, maka dia dianggap telah melakukan maksiat terhadap Allah Taala. Hal ini bermakna bahawa dia telah melupakan hakikat kewujudannya di dunia.
Demikian juga apabila seseorang menentang dakwah Islam, berjudi, menyatakan bahawa hukum Islam tidak sesuai kerana dianggap kejam, turut merayakan Hari Krismas, melakukan gangguan seksual, berhutang tetapi enggan membayarnya, meninggalkan solat lima waktu atau solat Jumaat, serta tidak memakai tudung. Hal ini bermakna bahawa dia telah lalai daripada memahami hakikat kehidupannya di dunia, iaitu untuk beribadah kepada Allah Taala.
Sumber: MR Kurnia, dkk, Merentas Jalan Menjadi Politisi Transformatif.
(Bersambung ke “Mengenali Potensi” Bahagian 3/6.)
#MenjadiAhliPolitikTransformatif #PolitikIslam #PotensiManusia #HakikatManusia #UqdatulKubra