Agama Bukan Warisan
Penulis: Syafinaz Safar
“Islam itu agama keturunan.” Ungkapan ini sering menggambarkan bagaimana sebahagian umat memahami agama pada hari ini. Mereka dilahirkan sebagai Muslim, membesar dalam keluarga Muslim dan meninggal dunia sebagai Muslim. Namun, hakikatnya, ramai yang tidak benar-benar memahami mengapa mereka memilih Islam. Akidah yang sepatutnya dibina atas keyakinan yang lahir daripada proses berfikir dan penelitian terhadap dalil akhirnya sekadar menjadi warisan turun-temurun.
Sedangkan Islam tidak pernah mengajar manusia menerima sesuatu kepercayaan secara membuta tuli. Sebaliknya, Islam menyeru manusia supaya menggunakan akal untuk memerhatikan penciptaan langit dan bumi, meneliti kejadian manusia serta merenungi hakikat kehidupan sehingga lahir keyakinan bahawa Allah SWT sahajalah satu-satunya Pencipta yang berhak disembah dan ditaati. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pada pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 190]
Atas dasar inilah seseorang menjadi Muslim, bukan kerana ibu bapanya beragama Islam, tetapi kerana dia meyakini bahawa Islamlah agama yang benar berdasarkan hujah dan dalil. Keturunan mungkin menjadi sebab seseorang mengenali Islam, namun ia bukan dalil yang membuktikan kebenaran Islam.
Akidah dalam Islam bukanlah kepercayaan yang diwarisi tanpa berfikir, tetapi simpulan keyakinan yang lahir daripada proses berfikir yang benar terhadap bukti-bukti kewujudan Allah SWT, kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kebenaran al-Quran sebagai wahyu daripada-Nya. Apabila akidah dibina atas asas yang kukuh, seseorang akan menerima seluruh ajaran Islam dengan penuh kesedaran dan kerelaan, bukan sekadar mengikut adat atau tradisi keluarga.
Malangnya, apabila Islam hanya diwarisi tanpa difahami intipati sebenar agama ini, lahirlah generasi yang menganggap agama sekadar ibadah ritual seperti agama-agama lain. Solat dilakukan sebagai kebiasaan, puasa menjadi adat tahunan, manakala al-Quran hanya dibaca pada majlis-majlis tertentu. Dalam urusan ekonomi, politik, pendidikan, perundangan dan sosial pula, penyelesaian dicari daripada ideologi ciptaan manusia kerana Islam dianggap hanya ibadah ritual, bukannya sebagai sistem hidup yang menyeluruh.
Hakikatnya, apabila akidah tidak lagi menjadi asas kehidupan, seseorang akan mudah menerima sistem selain Islam sebagai penyelesaian kepada pelbagai masalah. Sedikit demi sedikit, hukum Allah SWT diketepikan, manakala sistem ciptaan manusia dijadikan rujukan utama. Sedangkan Allah SWT telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]
Ayat ini menuntut umat Islam supaya menerima dan menerapkan Islam secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, bukan hanya memilih hukum yang selari dengan kehendak diri dan hawa nafsu lalu meninggalkan sebahagian yang lain.
Realiti dunia hari ini memperlihatkan bahawa pelbagai sistem ciptaan manusia terbukti gagal menyelesaikan masalah kehidupan. Peperangan yang berpanjangan di Gaza dan wilayah lain, jurang kekayaan yang semakin melebar, krisis hutang negara, keruntuhan institusi keluarga, peningkatan jenayah serta krisis moral yang semakin membarah menunjukkan bahawa penyelesaian berasaskan kepentingan manusia tidak mampu mewujudkan keamanan dan keadilan yang sebenar.
Dalam masa yang sama, fahaman liberalisme dan sekularisme terus mempengaruhi umat Islam. Ada yang mempersoalkan hukum syarak atas nama hak asasi manusia dan kebebasan individu.
Keadaan ini berpunca daripada hilangnya asas pemikiran Islam dalam kalangan umat. Mereka berbangga dengan identiti sebagai Muslim, namun menjadikan pemikiran Barat sebagai ukuran dalam menilai agama. Akibatnya, hukum Allah SWT dipersoalkan, sedangkan hukum ciptaan manusia diterima tanpa banyak bantahan. Allah SWT mengingatkan: “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (wahai Muhammad) sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusanmu dan mereka menerimanya dengan penuh kepatuhan.” [TMQ an-Nisa’ (4): 65]
Rasulullah SAW juga bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.” [HR Imam Malik]
Hadis ini memberikan jalan penyelesaian yang jelas. Kebangkitan umat tidak akan lahir melalui slogan perpaduan semata-mata, pembangunan ekonomi semata-mata atau kemajuan teknologi semata-mata. Semua itu penting, namun tanpa akidah yang benar dan ketaatan kepada wahyu, umat akan terus mengulangi krisis yang sama tanpa menemui penyelesaian yang hakiki.
Oleh itu, tugas dakwah pada hari ini bukan sekadar mengajak manusia memeluk Islam, tetapi mengembalikan kefahaman bahawa Islam ialah akidah yang menjadi asas kepada seluruh sistem kehidupan. Umat mesti dididik supaya menerima Islam berdasarkan hujah dan dalil, bukan semata-mata kerana dilahirkan dalam keluarga Muslim. Apabila akidah dibina atas keyakinan yang kukuh, umat tidak akan mudah digoyahkan oleh serangan pemikiran, propaganda media Barat mahupun pelbagai ideologi asing.
Kesimpulannya, agama bukanlah warisan yang diterima tanpa berfikir, tetapi pilihan yang lahir daripada keyakinan terhadap kebenaran wahyu Allah SWT. Menjadi Muslim bukan sekadar memiliki nama Islam pada kad pengenalan atau melaksanakan ibadah ritual semata-mata, sebaliknya tunduk sepenuhnya kepada seluruh syariat Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Hanya apabila umat kembali memahami Islam sebagai akidah dan sistem hidup yang sempurna, mereka akan mampu bangkit semula sebagai umat yang memimpin manusia menuju keadilan dan rahmat yang diredhai Allah SWT. Insya-Allah.
#Islam #Iman