Hj Siti Rofida: Hasad Dengki Mengganggu Ukhuwah Islamiyah
Pendidik BKI Ma’had Wakaf Syaraful Haramain, Ustazah Hjh. Siti Rofida menyatakan bahawa hasad atau dengki adalah penyakit hati yang memberi kesan terhadap ukhuwah sesama umat Islam.
“Hasad ini sangat mengganggu ukhuwah Islamiyah,” ujarnya di saluran Youtube Sultan Channel dalam slot Tazkiyatun Nafs: Cahaya Muslimah, (Isnin) 27/7/2026.
Tambah beliau, Nabi SAW pernah mengingatkan bahaya hasad dengki kerana ia dapat membuka ruang kepada berlakunya permusuhan dan keretakan dalam ukhuwah Islamiyah.
“Nabi SAW menghubungkan larangan hasad dengan ukhuwah Islamiyah kerana sifat ini memang akan mengganggu hubungan sesama Muslim. Kalau kita berteman dengan orang yang memiliki penyakit hati seperti ini, kita sendiri tidak akan merasa nyaman,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa rasa iri hati pada awalnya berupa perasaan tidak senang melihat orang lain memperoleh kenikmatan, tanpa disertai keinginan agar nikmat tersebut hilang.
“Memang iri itu sebenarnya tidak sampai menginginkan nikmat hilang dari orang lain. Orang lain dapat nikmat, aku tidak, itu iri,” ujarnya.
Namun menurutnya, apa yang dibimbangi, jika perasaan iri hati tersebut tidak dikelola dengan baik, ia akan berkembang menjadi hasad atau dengki sehingga berharap nikmat tersebut hilang dari orang lain.
“Ketika sudah naik kelas, iri itu menjadi hasad atau dengki. Apa yang terjadi? Dia berharap nikmat itu hilang dari orang tersebut,” katanya.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa persaingan dan individualisme yang kuat dalam sistem kapitalisme turut memberi kesan kepada cara manusia melihat nikmat orang lain. Menurutnya, manusia semakin mudah terdorong untuk membandingkan diri, mengejar kelebihan material dan melihat kejayaan orang lain sebagai ukuran kebahagian dan kesejahteraan hidup.
“Kita sudah terlanjur hidup dalam sistem kapitalis. Di situ ada individualis dan materialis yang mendominasi. Media sosial juga sangat mengganggu. Begitu melihat kehidupan orang lain, muncul perasaan ‘senang betul dia’, lalu rasa iri itu semakin bertambah,” katanya.
Beliau turut mengungkapkan pentingnya setiap pendakwah untuk membersihkan hati daripada sifat hasad kerana penyakit hati itu boleh menjejaskan kekuatan dan kesatuan gerakan dakwah.
“Walaupun manusia itu kita anggap sudah memahami Islam atau kuat akidahnya, mereka tetap manusia. Sifat hasad boleh menghinggapi siapa sahaja,” katanya.
Menurut beliau, dakwah akan menjadi lebih kukuh apabila ahlinya bergaul dengan penuh keikhlasan, husnu zhon dan saling mendoakan setiap saudaranya serta sentiasa bermuhasabah dan mengawal perasaan tersebut.
“Kumpullah bersama orang-orang yang bersih hati. Orang yang bersih akan berhubung dengan orang yang bersih. Dari situlah dakwah akan menjadi mudah dan ukhuwah Islamiyah semakin kuat,” pesannya.
Sebelum mengakhiri bicara, beliau berkongsi bagaimana seseorang dapat mengawal rasa hasad agar tidak merosakkan hubungan sesama Muslim dan kekuatan umat Islam. Di antaranya adalah selalu berusaha untuk memperkukuh keimanan dan mengurus perasaan iri hati ketika ia muncul serta mendoakan kebaikan untuk orang lain.
“Apabila rasa dengki itu muncul, kita perlu menguruskannya. Doakan orang yang kita dengki, sebutkan kebaikannya dan muhasabah diri supaya perasaan itu tidak berkembang menjadi hasad,” pesannya.
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=kLburoutSJg&t=2439s
#hasaddengki #penyakithati #virusukhwah