Lima Formula Hidup Bahagia
Definisi kebahagiaan sering kali berat sebelah di tengah hiruk-piruk dunia moden yang serba mengukur segala perkara berdasarkan nilai material. Namun, jika kita menyelami kembali khazanah hikmah dalam Islam, kebahagiaan yang sebenar rupa-rupanya lahir daripada lingkungan yang sangat dekat dan membumi.
Dalam kitab al-Jawharah fî Nasab an-Nabiyy wa Ash-hâbihi al-‘Asyarah, Imam Muhammad bin Abu Bakr al-Burri menukilkan rumusan daripada Saidina Ali bin Abi Thalib ra yang menyentuh esensi kehidupan paling mendasar. Beliau menyatakan:
مَنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ خَمْسَةُ أَشْيَاءَ: أَنْ تَكُونَ زَوْجَتُهُ مُوَافِقَةً، وَأَوْلَادُهُ أَبْرَارًا، وَإِخْوَانُهُ أَتْقِيَاءَ، وَجِيرَانُهُ صَالِحِينَ، وَرِزْقُهُ فِي بَلَدِهِ
“Di antara kebahagiaan seseorang ada lima perkara: memiliki isteri yang sehaluan (seia sekata), anak-anak yang berbakti, saudara-saudara yang bertakwa, jiran-tetangga yang soleh, dan rezekinya berada di negerinya sendiri.”
Melalui untaian kalimat tersebut, Saidina Ali ra merujuk kepada lima perkara yang menghimpun kebahagiaan domestik, sosial, hingga ekonomi.
Pertama, isteri yang seia sekata (muwâfiqah). Rumah menjadi syurga bukan kerana kemegahan binaannya, tetapi kerana adanya frekuensi yang sama antara suami dan isteri dalam ketaatan kepada Allah ﷻ.
Kedua, kebahagiaan ini menjadi lebih sempurna dengan kehadiran anak-anak yang berbakti, yang menjadi simpanan pahala di akhirat serta penyejuk mata di dunia.
Ketiga dan keempat berkaitan dengan kehidupan sosial. Manusia akan bahagia jika dia mempunyai saudara-saudara yang bertakwa, serta jiran-jiran yang soleh, yang sentiasa mendukung dan mengingatkannya. Persekitaran tempat tinggalnya akan menjadi aman baik secara rohani mahupun emosi.
Akhir sekali, rezeki yang berada di negerinya sendiri. Ketika seseorang dapat menyara keluarganya tanpa perlu merantau dan meninggalkan orang-orang yang disayangi, dia telah menikmati nikmat masa bersama dan kedekatan yang tidak ternilai harganya.
Gabungan kelima-lima perkara ini membentuk kebahagiaan yang utuh. Semoga Allah ﷻ mempermudahkan usaha kita untuk memperoleh kelima-limanya. Aamiin.
Sumber: Al-Jawharah fî Nasab an-Nabiyy wa Ash-hâbihi al-‘Asyarah – Imam Muhammad al-Burri
#bahagia #KehidupanBahagia