Pemilikan adalah penguasaan atas sesuatu dengan berbagai-bagai cara yang dibolehkan syarak untuk menguasai harta tersebut. Jika hal itu dilakukan, maka harta itu menjadi miliknya. Dan jika hal itu tidak dilakukan, harta itu tidak menjadi miliknya. Sedangkan rezeki adalah segala sesuatu yang sampai kepada manusia. Baik sampai kepadanya itu melalui cara-cara yang dibolehkan oleh syarak mahupun bukan. Tetap itu adalah rezeki. Kerana rezeki itu boleh halal, boleh juga haram. Semuanya tetap disebut sebagai rezeki. Harta yang diperoleh daripada berjudi, mencuri, merompak, atau sesuatu yang lain, itu juga dinamakan rezeki. Dari sini jelas, bahawa rezeki adalah apa yang dikuasai manusia, baik dengan hasil usahanya ataupun bukan, baik itu menjadi miliknya ataupun bukan. Sementara itu terdapat perbezaan antara keadaan yang mampu mendatangkan rezeki dengan penyebab yang pasti mendatangkan rezeki. Keadaan yang mampu mendatangkan rezeki adalah kondisi yang boleh mendatangkan rezeki, namun datangnya rezeki tidak boleh dipastikan. Kadang-kadang kondisi tersebut sudah dilakukan, tetapi rezeki tidak datang. Mungkin pula rezeki datang tanpa melalui kondisi yang biasanya mampu mendatangkan rezeki. Contohnya, seorang pekerja yang bekerja keras selama sebulan, tetapi satu jam setelah ia menerima gajinya wangnya dicuri, hilang, atau disekat gajinya kerana didenda atau dililit hutang yang sangat banyak. Contoh tersebut menunjukkan bahawa keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki, tetapi rezeki tidak diperolehnya.
Contoh lainnya adalah orang yang menerima warisan yang sangat banyak, padahal ia tidak pernah berusaha, tidak pernah pula memikirkannya, bahkan tidak pernah ia membayangkannya sedikit pun. Ia tidak pernah melalui keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki. Semua ini menunjukkan bahawa kondisi-kondisi yang diduga menjadi penyebab datangnya rezeki (secara pasti-peny.), ternyata hanyalah keadaan (al-hal), bukan penyebab. Alasannya banyak fenomena yang menunjukkan kondisi tersebut sudah dilakukan tetapi tetap saja rezeki tidak dapat diraih. Adakalanya tiba-tiba rezeki datang tanpa melalui kondisi yang biasanya mampu mendatangkan rezeki. Seandainya hal itu menjadi penyebab, maka rezeki pasti dapat diraih. Kerana sudah menjadi sesuatu yang pasti jika penyebab itu tidak muncul maka rezeki juga tidak akan datang. Sebab selalu terkait secara pasti dengan musabab. Musabab tidak akan dihasilkan tanpa didahului oleh sebab. Dengan demikian jelaslah bahawa kondisi-kondisi yang diduga menjadi penyebab datangnya rezeki, kemudian berusaha agar rezeki dapat diraih, pada saat yang sama ia meyakini bahawa usahanya itu pasti mendatangkan rezeki, ternyata hal itu adalah keadaan (al-hal) saja, yang mungkin boleh mendatangkan rezeki, tetapi bukan penyebab pasti yang mendatangkan rezeki.
Islam datang dengan mendorong manusia secara langsung untuk berupaya meraih rezeki dengan menjalani keadaan (al-hal) tadi. Disertai dengan keyakinan bahawa keadaan tersebut bukanlah penyebab datangnya rezeki. Sebab, rezeki ada di tangan Allah SWT sahaja, bukan kerana melalui keadaan tersebut. Allah SWT berfirman, “Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebagian dari rezeki-Nya.” [TMQ al-Mulk (670: 15]
Sabda Rasulullah SAW, “Tidak akan memberatkan bagi siapa saja yang bekerja keras.” Juga sabda Rasulullah, “Sesungguhnya (harta) orang-orang kaya yang warisannya dibahagi-bahagikan kepadamu itu lebih baik daripada (harta)-mu yang digunakan untuk mencukupi manusia sekadarnya saja.” Sabdanya yang lain, “Sebaik-baik pemberian adalah (harta) yang benar-benar (berasal) dari orang kaya.” Sabda Rasulullah, “Benar, harta yang baik/layak diperuntukkan bagi orang-orang yang baik/layak (pula).”
Ditegaskan juga bahawa Rasulullah pernah memberi makan keluarganya dengan cara meminjam wang daripada orang Yahudi, dengan menggadaikan baju besinya. Semuanya menunjukkan wajibnya berusaha untuk memperoleh rezeki. Allah mewajibkan bekerja bagi laki-laki dan diharamkan untuk berdiam diri (menganggur) dan tidak bekerja dalam rangka meraih rezeki. Meskipun demikian, perlu diingat bahawa tatkala seseorang bekerja, ia harus menganggapnya sebagai keadaan saja dari pelbagai keadaan yang biasanya mampu mendatangkan rezeki. Jadi bukan sebagai sebab (yang pasti) menghasilkan rezeki.
Bekerja itu adalah jawapan kita terhadap perintah Allah SWT disertai keyakinan bahawa rezeki itu ada di tangan Allah sahaja. Allah-lah Yang Maha Pemberi Rezeki. Hal ini telah dijelaskan dengan jelas dalam pelbagai nas yang menisbahkan dan menyandarkan rezeki hanya kepada Allah. Tidak ada nas yang menyandarkan dan menisbahkan rezeki selain kepada Allah. Dengan demikian kaum muslimin wajib berusaha untuk meraih rezeki dengan sungguh-sungguh. Dan memberi perhatian terhadap setiap keadaan yang memungkinkannya mampu mendatangkan rezeki, dan tetap wajib disertai keyakinan bahawa rezeki itu ada di tangan Allah saja, kerana Dialah Yang Maha Pemberi Rezeki. Firman Allah Swt., “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi Rezeki, Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” [TMQ adz-Adzariyat (51): 56-58]
Sumber: Haditsu Al Shiyam