(Merealisasikan autoriti Hukum Syarak, menentukan tolok ukur perbuatan dalam kehidupan)
Tidak diragukan lagi bahawa keterikatan pada hukum-hukum syarak akan mewujudkan autoriti hukum syarak dan mampu menentukan tolok ukur perbuatan dalam kehidupan. Terwujudnya autoriti hukum syarak akan menjamin kestabilan dalam masyarakat, serta menjamin ketenteraman hidup, hak-hak, dan kepentingan manusia (anggota masyarakat).
Negara-negara maju penganut materialisme seperti Eropah dan Amerika sentiasa berjuang demi tegaknya autoriti hukum perundangan dan menjadikannya sebagai tujuan paling utama. Demi merealisasikan hal itu, mereka memberikan pengorbanan yang paling maksima. Autoriti hukum perundangan mampu menjadikan seseorang tidak akan melanggar undang-undang dari segi material perundangan itu sendiri. Sebabnya, individu tersebut akan tunduk terhadap undang-undang dan tingkah lakunya diatur sesuai dengan undang-undang.
Selain itu juga, akan mewujudkan interaksi antara individu menjadi begitu mudah yang diraih dengan sedikit jerih-payah dan pengorbanan. Ianya akan menjadikan negara sebagai ‘pemelihara’ kepentingan rakyat, bukan sebagai penguasa yang berkuasa ke atas mereka. Sebab, autoriti hukum bukan di tangan penguasa, melainkan hanya di tangan undang-undang bahawa yang memimpin manusia bukan hukum penguasa melainkan hukum undang-undang. Di mana kekuasaan penguasa itu sendiri tunduk di bawah autoriti undang-undang (hukum). Inilah yang terjadi di Barat. Sedangkan yang ada dalam diri mereka hanyalah kekuatan moral, yang mereka akui kehormatannya. Maka mereka kemudian bangga dan hormat terhadap autoriti hukum tersebut.
Adapun autoriti hukum syarak bagi kaum Muslimin, telah memiliki kekuatan moral bahkan lebih daripada itu telah melampaui kekuatan tersebut. Mereka telah memiliki kekuatan ruh (yang dibangun dengan adanya kesedaran terhadap hubungan manusia dengan Allah). Itulah hukum syarak sebagai hukum Allah yang disampaikan melalui wahyu. Lebih daripada perasaan mulia mereka lantaran memiliki Islam serta rasa kebanggaan mereka atas dunia dengan memeluk Islam, kaum Muslimin memiliki rasa takut terhadap siksa neraka jahanam kalau menyimpang daripada Islam. Mereka sentiasa berharap mendapatkan syurga dan kenikmatannya, dengan mengikuti dan terikat dengan ajaran Islam. Bahkan di antara mereka berharap lebih daripada sekadar itu, iaitu memperoleh redha Allah SWT.
Oleh itu, autoriti hukum syarak akan menjadikan seorang Muslim terikat dengan undang-undang dengan dorongan akidahnya. Dan akan mengambil sikap sebagai pengawal keterikatan terhadap hukum tersebut dengan dorongan akidahnya.
Seorang Muslim akan mendisiplinkan perbuatannya dengan keterikatan tersebut dan menjadikan dirinya sebagai pengawas bagi orang lain agar mengawasi tingkah laku mereka sesuai dengan undang-undang tersebut.
Firman Allah, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.” [TMQ Ali Imran (3): 110].
Maknanya, ia menjadi pengawal keterikatan pada hukum syarak. Begitu juga autoriti hukum syarak tidak akan menjadikan interaksi antara individu begitu mudah. Malah, ia dijamin dapat mengikis konflik dalam pelbagai interaksi antara manusia.
Maka dengan mudah dapat dijamin tidak akan terjerumus dalam pertentangan selama mana autoriti hukum syarak masih terpatri pada diri (individu-individu) tersebut. Di samping kesemuanya itu, kekuasaan pemerintah sebagai pemelihara urusannya bukan sebagai kekuatan diktator yang mencengkam mereka. Kerana sandaran utama bagi manusia bukanlah penguasa melainkan semata-mata hukum syarak. Hukum syaraklah yang menjadi sandaran rakyat sekaligus penguasa. Dan penguasa hanyalah sebagai pemelihara yang mengurusi urusan-urusan rakyatnya dengan hukum syarak.
Kerana itulah, syarak menyebutnya dengan ra’iyan (pemelihara), “Al Imamu Ra’in (Imam adalah pemelihara/pemimpin).” Al-Quran sebenarnya telah mengukuhkan autoriti hukum syarak tersebut dengan menidakkan keimanan seseorang yang tidak mengambil hukum syarak. Iaitu orang-orang yang tidak menjadikan autoriti hukum syarak sebagai kekuatan yang berlaku dalam interaksi antara individu. Firman Allah, “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan.” [TMQ An Nisa’ (4): 65]
Bahkan itu pun belum cukup. Namun disyaratkan, di samping menghukumi dengan syarak, juga tidak ada sedikit pun rasa berat dalam dirinya serta secara mutlak menerima. Firman Allah, “Kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” [TMQ An-Nisa’ (4): 65]
Ini adalah lukisan yang paling jelas untuk mendorong merealisasikan autoriti hukum syarak.
Di samping itu, Al-Quran memerintah agar autoriti hukum syarak diterapkan dalam pelbagai interaksi antara penguasa dengan rakyatnya. Firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah, taatilah RasulNya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” [TMQ An Nisa’(4): 59]
Apabila rakyat dan penguasa bersengketa dalam persoalan tertentu, maka Al-Quran memerintahkan agar mereka mengembalikannya kepada hukum syarak dan itu menjadi tanda bagi keimanan. Allah menyatakan, “Farudduhu Ilallah War Rasuli (Maka kembalikanlah persoalan itu kepada Allah dan Rasul).” Kemudian melanjutkan dengan pernyataanNya, “Dzalika Khairu Wa Ahsanu Ta’wila (Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya).” Ini membuktikan adanya penekanan serta kewajipannya untuk mengembalikan persoalan tersebut kepada hukum syarak. Ini merupakan dorongan yang amat jelas demi merealisasikan autoriti hukum syarak.
Dengan ini semua, akan nampak betapa pentingnya merealisasikan autoriti hukum syarak dalam pandangan Islam. Adapun penetapan tolok ukur aktiviti (miqyasul amal) dalam kehidupan seseorang ditentukan oleh gambaran hidupnya. Dengan gambaran hidup yang dilukiskan manusia akan melaksanakan suatu perbuatan atau menolaknya sesuai dengan gambarannya.
Kerana gambaran inilah yang akan menetapkan pandangan hidupnya. Maka dia akan memandang kehidupan dengan satu pandangan yang khas sesuai dengan gambarannya tentang kehidupan. Dalam pandangan seorang Muslim, kehidupan bukanlah kemanfaatan, yang kalau dia memandangnya sebagai kemanfaatan akibatnya dia akan menghadkan pandangan hidupnya dengan kemanfaatan. Tentu juga bukan kemaslahatan, yang kalau dia memandangnya sebagai kemaslahatan dia akan membatasi pandangan hidupnya dengan kemaslahatan tersebut.
Namun kehidupan dunia hanyalah tiket ke akhirat. Dan manusia hanya akan mengharungi kehidupan dunia untuk beribadah kepada Allah, “Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia ini dan tidaklah kehidupan dunia ini (dibanding dengan) kehidupan akhirat melainkan hanyalah kesenangan (yang sedikit).”
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaku.” “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi.” [TMQ Al Baqarah (2): 77]
“Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) akhirat hanyalah sedikit.” [TMQ At Taubah (9): 38]
Maka gambaran kehidupan dunia ini adalah perhiasan (kenikmatan). Jika diukur dengan kehidupan akhirat, kenikmatan dunia hanya kecil. Maka dunia bukan tujuan. Kemanfaatan serta kemaslahatan juga bukan tujuan kehidupan, melainkan hanya perkara yang mesti ada dalam kehidupan.
Tujuan seorang Muslim semata-mata hanya akhirat. Kehidupan dunia hanyalah jalan menuju akhirat. “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah yang sebenar-benarnya kehidupan”. Maksudnya adalah kehidupan yang hakiki. Oleh itu, perkara-perkara duniawi bukanlah sesuatu yang tepat untuk dijadikan sebagai tolok ukur perbuatan serta pandangan hidup.
Namun, tolok ukur perbuatan hanyalah suatu yang halal dan haram. Jika halal, maka kita akan melakukannya. Dan jika haram, maka kita akan meninggalkannya.
Firman Allah Taala, “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.” [TMQ At-Taubah (9): 29)
Mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah dan RasulNya adalah bertentangan dengan keimanan. Perbuatan tersebut dikategorikan sebagai tindakan penjenayah, yang pelakunya layak diperangi. Ini membuktikan betapa pentingnya masalah halal dan haram tersebut. Halal adalah apa yang dihalalkan Allah. Sedangkan haram adalah apa yang diharamkan oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda, “Apa sahaja yang dihalalkan Allah dalam KitabNya adalah halal. Dan apa yang diharamkanNya adalah haram.”
Diriwayatkan daripada Salman al-Farisi, beliau berkata: Rasulullah ditanya tentang mentega, keju, dan fira‘ (kulit binatang yang berbulu). Baginda menjawab: “Yang halal adalah apa yang dihalalkan Allah dalam kitab-Nya dan yang haram adalah apa yang diharamkan Allah dalam kitab-Nya”. Begitu juga yang halal adalah apa saja yang dihalalkan Rasulullah dalam sunnahnya, dan yang haram adalah apa yang diharamkan Rasulullah dalam sunnahnya.