(Merealisasikan autoriti Hukum Syarak, menentukan tolok ukur perbuatan dalam kehidupan)
Berdasarkan sabda Nabi SAW., “Aku diberi Al-Quran serta sesuatu yang sama dengan Al-Quran itu.” Seorang muslim tidak boleh menghalalkan sesuatu dengan tolok ukur manfaat atau maslahat, atau pun dengan akal serta yang lainnya.
Namun, yang halal adalah apa saja yang dihalalkan Allah, dan yang haram adalah apa saja yang diharamkan Allah. Banyak nas telah menyebutkan adanya larangan bagi seseorang untuk menghalalkan atau mengharamkan sesuatu.
Firman Allah,
وَلَا تَقُوْلُوْا لِمَا تَصِفُ اَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هٰذَا حَلٰلٌ وَّهٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوْا عَلَى اللّٰهِ الْكَذِبَۗ
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “Ini halal dan ini haram” untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.” [TMQ An Nahl (16): 116]
قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَاماً وَحَلاَلاً قُلْ آللّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللّهِ تَفْتَرُونَ
“Katakan, ‘(Terangkanlah kepadamu) tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebahagiannya) halal’. Katakanlah, ‘Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?” [TMQ Yunus (10): 59]
إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُواْ يُحِلِّونَهُ عَاماً وَيُحَرِّمُونَهُ عَاماً لِّيُوَاطِؤُواْ عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللّهُ فَيُحِلُّواْ مَا حَرَّمَ اللّهُ زُيِّنَ لَهُمْ سُوءُ أَعْمَالِهِمْ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
“Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-undurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah telah mengharamkannya, maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang baik perbuatan yang buruk itu.” [TMQ At Taubat (39): 37]
Parameternya kemudian adalah apa yang dihalalkan Allah serta apa yang diharamkanNya, dan semata-mata bukan yang lain. Maka, (semuanya) akan bergantung menurut batasan halal dan haram tersebut. Jika masalahnya masih kabur, dan belum diketahui halal atau haramnya, maka aktiviti tersebut mesti dihentikan dahulu sehingga benar-benar tahu hukumnya. Sebabnya, kebanyakan mereka masih banyak perbuatan yang belum diketahui kerana ketidakjelasan persoalan tersebut. Oleh kerana itu, tidak boleh untuk mentarjih sebagai yang halal dengan pertimbangan manfaat, maslahat, atau pun pertimbangan akal. Juga tidak boleh mentarjih sebagai yang haram dengan pertimbangan berbahaya atau menimbulkan kerosakan atau pun pertimbangan akal. Namun tetap mesti menghentikan perbuatan tersebut sehingga persoalannya menjadi jelas bagi mereka. Apabila jelas-jelas halal, maka mereka boleh mengerjakannya tanpa sedikit pun keberatan. Apabila haram, maka dengan rela dan puas mereka mesti menjauhinya, sekalipun amat bererti bagi hidupnya.
Selama persoalan tersebut masih kabur, apakah halal atau haram, sebaiknya mereka menjauhinya hingga benar-benar tahu. Apabila ternyata belum tahu, maka menjauhinya lebih baik. Diriwayatkan oleh Bukhari daripada Amir. Dia mengatakan, “Aku mendengar Nu’man bin Basyir mengatakan, ‘Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Halal itu amat jelas dan haram pun amat jelas, di antara keduanya ada kesamar-samaran (musytabihat) yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Barang siapa yang menghindarinya maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Barang siapa yang jatuh dalam kesamar-samaran itu, maka bimbang dia akan jatuh dalam keharaman. Seperti gembala yang menggembalakan ternaknya dikhuatirkan terjatuh di dalamnya. Ingatlah bahawa dalam setiap kepemilikan ada yang menjaga. Bahawa perlindungan Allah di muka bumiNya adalah keharamanNya. Sesungguhnya dalam tubuh (manusia) ada segumpal daging. Apabila (daging) itu baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, itulah hati.” Dengan cara itu, sebenarnya orang telah melewati jalan yang lebih dekat pada keselamatan. Ini menunjukkan status penjelasan Rasulullah tentang terperinci parameter perbuatan tersebut. Bahkan baginda menambah adanya kewajipan untuk berdiam pada batas antara halal dan haram berupa dorongan untuk menjauhi perbuatan tersebut, ketika perbuatan tersebut masih kabur antara kehalalan dan keharamannya. Ini merupakan penekanan dan penjelasan yang paling teliti dalam masalah halal dan haram.
Inilah dalil-dalil yang menunjukkan bahawa autoriti hukum syarak ini wajib direalisasikan dan bahawa pandangan hidup itu semata-mata halal dan haram. Inilah satu-satunya tolok ukur perbuatan dalam kehidupan. Ini cukup memuaskan seorang muslim, apabila beriman kepada Al-Quran dan kenabian Muhammad SAW, menerima bahawa ia wajib mengatur perilakunya dalam kehidupan ini berdasarkan apa yang dibawa Al-Quran dan hadis Rasul. Dengan demikian seorang muslim telah merealisasikan autoriti hukum syarak pada dirinya dan menjadikan halal dan haram sebagai tolok ukur kehidupannya, bukan maslahat, manfaat, atau pun akal. Dengan itu ia mengembalikan nilai keterikatan pada hukum syarak tersebut menjadi landasan dalam kehidupan individu sehari-hari. Juga menjadi landasan dalam interaksi antara individu. Dengan demikian, hukum syarak kembali diperhitungkan dan perilaku yang berdisiplin dengan segala keteraturan yang dapat mewujudkan kestabilan dan ketenteraman masyarakat akan terwujud.
Sumber: https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/1947485708762568/