Tafsir [TMQ Al-Hujurat (49): 14]
Oleh: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah SWT berfirman,
“Orang-orang Arab Badwi berkata: “Kami telah beriman.” Katakanlah (kepada mereka), “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah, “Kami telah tunduk (Islam),” kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” [TMQ Al-Hujurat (49): 14]
Beriman adalah meyakini secara menyeluruh terhadap semua perkara yang wajib diimani. Oleh kerana letaknya iman di dalam hati, maka orang lain hanya mengetahui dari pernyataan yang disampaikan oleh pelakunya. Namun tidak ada yang tersembunyi bagi Allah SWT, apakah pernyataan tersebut benar atau dusta. Maka Allah berhak menerima pengakuan keimanan seseorang atau tidak. Ayat ini adalah di antara yang memberitakan penolakan Allah SWT terhadap pengakuan iman seseorang atau suatu kaum.
Tunduk Belum Tentu Beriman
Allah SWT berfirman, “Qâlat al-A’râb âmannâ (orang-orang Arab Badwi itu berkata, ‘Kami telah beriman’).” Kata “al-A’rab” menunjukkan kepada orang Arab Badwi. Kebanyakan mereka tinggal di gurun-gurun dan padang rumput. Menurut Mujahid, al-Qurthubi, al-Alusi, al-Syaukani, dan lain-lain, ayat ini turun berkenaan dengan Bani Asad bin Khuzaimah. Sedangkan menurut al-Sudi, sebagaimana dipetik al-Baghawi, ayat ini turun berkenaan dengan Juhainah, Muzainah, Asyja’, dan Ghifar.
Walaupun ada perbezaan siapa mereka, tetapi yang pasti Arab Badwi yang dimaksudkan oleh ayat ini adalah sebahagian daripada mereka. Tidak semuanya. Ini disebabkan oleh, sebagaimana dikatakan al-Qurthubi dalam tafsirnya, ada di antara orang Arab Badwi yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhir seperti yang digambarkan oleh Allah.
Dalam ayat ini diberitakan bahawa ada sekelompok orang Arab Badwi mengatakan, “âmannâ (kami beriman).” Secara bahasa, kata al-îmân berarti al-tashdîq (pembenaran). Sedangkan secara syar’i, maknanya adalah al-tashdîq al-jâzim al-muthâbiq li al-wâqi’ ‘an dalîl (membenarkan dengan pasti, sesuai dengan fakta, bersumber dari dalil). Dengan demikian, keyakinan tersebut pasti; perkara yang diimani juga mesti dibangun dengan dalil yang qath’i. Sebagaimana telah maklum, perkara yang wajib diimani tersebut adalah tentang Allah SWT, Malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, serta qada dan qadar. Mengingkari sebahagian atau semuanya, dapat mengeluarkan pelakunya dari keimanan.
Dengan demikian, ketika beberapa orang Arab Badwi mengatakan bahawa mereka telah beriman, bererti mereka menyatakan bahawa diri mereka telah membenarkan dengan pasti terhadap semua perkara yang wajib diimani tersebut. Akan tetapi, pernyataan keimanan mereka tersebut ternyata ditolak oleh Allah SWT dalam kalimat selanjutnya, “Qul lam tu`minû (katakanlah [kepada mereka], ‘Kamu belum beriman.’)”
Ayat ini memerintahkan rasul-Nya untuk menyampaikan kepada orang-orang Arab Badwi bahawa, “lam tu`minû (kamu belum beriman).” Ertinya, kamu belum membenarkannya dengan pembenaran yang benar, yang terlahir dari keyakinan hati, niat yang ikhlas, dan thuma`nînah (ketenangan, kepercayaan). Demikian penjelasan al-Syaukani dalam tafsirnya. Menurut al-Zamakhsyari, frasa “lam tu`minû” bererti mendustakan pengakuan iman mereka.
Kemudian ditegaskan kepada mereka, “walâkin qûlû aslamnâ (tetapi katakanlah: ‘Kami telah tunduk’).” Secara bahasa, kata al-islâm bererti al-istislâm wa al-inqiyâd (penyerahan diri dan ketundukan). Sehingga kata aslamnâ bererti istalamnâ (kami tunduk atau menyerah).
Sedangkan secara syar’i, kata al-Islâm menunjuk kepada agama yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, seperti disebutkan dalam surah Ali-Imran ayat 19. Dengan demikian al-islâm dalam pengertian ini bersifat umum, mencakup iman dan amal, akidah, dan syariah. Pengertian tersebut juga terdapat dalam semua kata yang terbentuk darinya, baik al-ism, seperti kata muslim (orang yang beragama Islam), atau al-fi’l, seperti aslam (telah masuk Islam), aslim (masuklah ke dalam Islam), dan lain-lain. Sehingga, kata aslamnâ bererti masuk Islam.
Dalam konteks ayat ini, kata “aslamnâ” bermakna bahasa. Ertinya, mereka tersebut telah tunduk dan menyerah. Menurut al-Zajjaj, al-islâm di sini bermakna izh-hâr al-khudhû’ wa qabûl mâ atâ bihi al-nabiyy (menampakkan ketundukan dan menerima apa yang dibawa Nabi SAW). Tidak jauh berbeza, al-Qurthubi dan al-Syaukani juga menafsirkan “aslamnâ” di sini dengan ungkapan, “Kami tunduk dan menyerah kerana kami takut diperangi dan ditawan.” Ibnu ‘Athiyah juga memaknakannya dengan al-istislâm wa al-izh-hâr (ketundukan dan penampakan) yang membuat mereka dan darah mereka dilindungi.
Atau, kalaupun dimaknakan secara syar’i, iaitu masuk Islam, maka keputusan untuk masuk Islam tersebut tidak didasarkan pada niat yang benar dan ikhlas. Menurut al-Syaukani, ini merupakan sifat orang munafik. Sebab, mereka masuk Islam secara zahir, namun hati mereka tidak beriman. Pengertian ini diperkuat dengan firman Allah SWT berikutnya, “Walammâ yadkhul al-îmân fî qulûbikum (kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu).” Ertinya, “Apa yang kalian nyatakan oleh lisanmu tidak sesuai dengan hatimu. Namun hanya sekadar ucapan dengan lisan tanpa didasarkan keyakinan yang sahih dan niat yang ikhlas.” Demikian penjelasan al-Syaukani dalam tafsirnya.
Pahala Beriman Tidak Dikurangi
Setelah dijelaskan mengenai penolakan atas pengakuan keimanan mereka serta penjelasan hakikat mereka, kemudian dinyatakan, “Wain tuthî’ûl-Lâh wa Rasûlahu lâ yalitkum min a’mâlikum syay`a (dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tiada akan mengurangi sedikit pun [pahala] amalanmu).” Ketaatan yang dimaksudkan adalah ketaatan yang dilakukan secara zahir mahupun batin, dalam keadaan ramai mahupun sendirian. Ibnu ‘Abbas berkata, “Kamu memurnikan keimanan.” Demikian dikatakan al-Baghawi dalam tafsirnya.
Tidak jauh berbeza, menurut al-Syaukani, pengertian ayat ini adalah, “Jika kamu mentaati Allah SWT dan rasul-Nya dengan ketaatan yang sahih dan bersumber dari niat yang ikhlas dan hati yang membenarkan tanpa kemunafikan.” Al-Zamakhsyari juga mengatakan bahawa pengertian taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya adalah mereka bertaubat dari kemunafikan yang mereka lakukan, mengikat hati mereka dengan keimanan, dan mengamalkan konsekuensinya. Apabila mereka melakukan demikian, maka Allah SWT menerima taubat mereka dan memberikan pengampunan-Nya kepada mereka, dan mengurniakan pahala yang besar atas mereka.
Terhadap orang yang melakukan demikian, dijanjikan, “lâ yalitkum min a’mâlikum syay`a.” Dikatakan lâta yalitu ketika naqasha (berkurang). Sehingga, sebagaimana dijelaskan Ibnu Katsir, pengertian ayat ini adalah Allah SWT tidak mengurangi pahala dari amal yang dikerjakan sedikit pun. Ini sebagaimana diberitakan dalam TMQ Al-Thur [52]: 21.
Ayat ini pun diakhiri dengan firman-Nya, “Innal-Lâha Ghafûr[un] Rahîm[un] (sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang).” Ghafûr bererti pengampun terhadap orang yang bertaubat kepada-Nya, dan Rahîm (penyayang) terhadapnya, ketika menerima taubatnya. Demikian penjelasan Abdurahaman al-Sa’di. Ungkapan ini memberikan dorongan kepada mereka untuk segera bertaubat dan memperbaiki diri dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Wajar dicatat, sekalipun ayat ini turun berkenaan dengan sekelompok orang Arab Badwi, dan mereka pula yang disebutkan secara jelas dalam ayat ini, tetapi ayat ini berlaku umum, mencakupi siapa sahaja yang memiliki sikap dan ciri seperti mereka. Iaitu mereka yang mengaku beriman, tetapi keimanan yang sebenarnya belum merasuk dalam hati dan jiwa. Maka pengakuan keimanan mereka dinafikan Allah SWT. Oleh kerana itu bagi sesiapa pun yang menginginkan pengakuan iman mereka diakui Allah SWT, maka keimanannya mesti yang benar. Iaitu, membenarkan semua perkara yang wajib diimani dengan pembenaran yang pasti. Tidak disertai dengan kebimbangan atau keraguan sedikit pun.
Atas dasar keimanan yang benar inilah ketaatan Allah SWT dan Rasul-Nya dilakukan. Ketika ketaatan tersebut dilandasi dengan keimanan, kita boleh berharap mendapatkan pahala dari-Nya. Tidak akan dikurangi, bahkan akan dilipatgandakan. Siapa yang tertarik dengannya? Wal-Lâh a’lam bi al-shawâb.
Ikhtisar:
- Pengakuan keimanan dari seseorang tidak serta diterima Allah SWT
- Ketaatan kepada Allah SWT mesti dilandasi dengan keimanan yang benar.
- Pahala orang yang beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya tidak akan dikurangi sedikit pun.