Sabar dalam Berjuang
Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed
Sabar: Tuntutan Iman dan Ketakwaan
Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jâmi’ al-‘Ulûm wa al-Hikam (II/25) menjelaskan bahawa sifat sabar (as-sabr) secara bahasa bermaksud al-habs (menahan diri). Sifat ini wajib menghiasi orang beriman. Allah SWT telah memasangkan sabar dengan takwa, sebagaimana firman-Nya,
إِنَّهُۥ مَن يَتَّقِ وَيَصۡبِرۡ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
“Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menhilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”[TMQ Yusuf (12): 90]
Dalam ayat yang agung ini, Allah SWT memulakan firman-Nya dengan penegasan (tawkîd). Lafal “inna” berfungsi untuk menekankan perkaitan takwa dengan kesabaran yang disambungkan oleh wâw al-’athf (huruf sambung) yang menunjukkan hubungan rapat antara kedua-duanya, tidak dapat dipisahkan. Allah SWT menghubungkan kesabaran ini dengan keimanan, ketakwaan, dan ganjaran yang besar untuk hamba-Nya yang sabar,
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٖ
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” [TMQ az-Zumar (39): 10]
Lafaz innama adalah alat khusus (qashr) yang menguatkan tanda keutamaan sabar sehingga dibalas dengan pahala yang tidak terbatas. Sebabnya, kerana sifat sabar itu menopang tegaknya kebaikan seseorang yang beriman. Bersabarlah dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya serta bersabar atas musibah yang menimpa.
Ini disokong dengan pujian atas keutamaan sabar dalam hadis nabawi dan atsar salaf saleh. Antara lain seperti yang dinyatakan oleh Abu Said al-Khudri RA,
مَا أُعْطِيَ أَحَدٌ شَيْئًا أَفْضَلَ مِنَ الصَّبْرِ
“Tidaklah seseorang dianugerahi (oleh Allah) sesuatu yang lebih utama daripada kesabaran.” [HR Abu Ya’la al-Maushuli]
Sufyan bin Uyainah RA juga menekankan keutamaan sabar, “Tidaklah hambanya dianugerahkan sesuatu yang lebih utama daripada kesabaran kerana dengan kesabaran mereka masuk syurga.” [Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (VII/305), Ibn Abi al-Dunya dalam Ash-Shabr [hlm. 50].
Sabar Menempuh Jalan Perjuangan
Sifat sabar inilah yang menghiasi sejarah kegemilangan tamadun Islam. Hal ini sebagaimana yang tergambar dalam lembaran kisah-kisah para nabi menghadapi kezaliman [TMQ Ali Imran (3): 146]. Juga sebagaimana yang tertulis dalam lembaran Sirah Nabiyullah al-Mushthafa Muhammad SAW dan para sahabatnya ketika menghadapi penindasan kaum kafir Quraisy,
ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَٰنٗا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِيلُ
“ Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka, ‘ Bahawa Kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu. Oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya’’ Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata,”Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami.’” [TMQ Ali Imran (3): 173]
Begitu juga keteladanan salaf soleh seperti Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241 H). Beliau bersabar mempertahankan kebenaran ketika menghadapi kuasa zalim kaum muktazilah dalam fitnah khalq al-Quran.
Mereka semua teguh mempertahankan kebenaran dan bersabar menghadapi ujian sehingga mereka mendapati antara dua kebaikan: meraih kemuliaan di dunia dengan berpegang teguh kepada kebenaran, atau meraih kemuliaan di akhirat dengan diwafatkan sebagai syahid dengan membawa iman.
Oleh itu, wajib bagi orang beriman khususnya pengemban dakwah untuk menghiasi dirinya dengan sifat sabar ini, sebagaimana yang dipuji oleh Rasulullah SAW,
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاء شَكَرَ، فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Setiap urusannya baik. Hal ini tidak berlaku melainkan kepada orang-orang yang beriman. Jika meraih kebahagiaan, ia bersyukur. Itu adalah kebaikan untuknya. Jika dia dalam kesusahan, dia bersabar. Itu pun kebaikan untuk dia juga.” [HR Muslim dan ath-Thabarani]
Para pengemban dakwah pada akhir zaman menyaksikan apa yang disabdakan baginda Rasulullah SAW zaman inilah mereka hidup seperti menggenggam bara api. Anas bin Malik RA menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ
“Akan datang suatu zaman bagi manusia, orang-orang yang bersabar (berpegang teguh) dengan agamanya di antara mereka seperti orang yang memegang bara api.” [HR at-Tirmidzi dan Ibn Asakir]
Pengemban dakwah dianiaya. Khilafah dan pendapat untuk mendakwahkannya mendapat stigma negatif. Dituduh radikal (dalam konotasi buruk), berbahaya, memecah-belahkan bangsa. Juga pelbagai lagi tuduhan kezaliman lainnya, Allah al-Musta’ân.
Adakah mereka layak untuk mundur? Tidak! Mereka wajib bersabar hingga Allah anugerahkan mereka kemenangan hakiki kepada mereka. Jika tidak, mereka termasuk orang-orang yang rugi (la fî khusr[in]), kecuali mereka yang saling berpesan-pesan dalam kesabaran,
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[TMQ al-‘Ashr (103): 3]
Al-Hafiz Ibn Katsir (w. 774 H) dalam Tafsîr Al-Qur’ân al-’Azhîm (VIII/480), menjelaskan bahawa Allah SWT bersumpah dengan masa bahawa manusia berada dalam kerugian dan kebinasaan (khasârat wa halâk). Di antara yang terkecuali adalah orang-orang yang menegakkan firman-Nya: wa tawâshau bi al-shabr, iaitu saling menasihati dalam menghadapi pelbagai musibah, takdir, kezaliman orang yang diperintahkan berbuat kebaikan dan dia melarang dari kemungkaran.
Dalam tafsiran di atas digambarkan bahawa sifat sabar wajib melekat ketika menghadapi kezaliman orang yang didakwahi. Kalimat tawashau bi al-shabr, iaitu saling menasihati dalam kesabaran, disebutkan selepas perintah saling menasihati dalam kebenaran. Kedua-dua kalimah ini digabungkan dengan wâw al-‘athf. Ini menunjukkan pesanan agung untuk konsisten dalam kebenaran (al–haq), bersabar dalam menegakkannya dan tetap teguh walaupun ditempa ditiup angin kencang.
Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ah Ji (w. 1435 H) juga dalam Mu’jam Lughat al-Fuqahâ’ (hlm. 270) menekankan pengertian sabar: ats-tsabât (keteguhan hati) dalam menghadapi pelbagai kesulitan (asy-syadâ’id); termasuk kesukaran untuk menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan. Kesabaran seperti ini adalah wasilah untuk mendapatkan pertolongan-Nya,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan(untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” [TMQ al-Baqarah (2): 153]
Menjelaskan ayat ini, Atha bin Khalil Abu al-Rasytah menjelaskan bahawa kesabaran itu tercermin dalam usaha menyampaikan kebenaran, mengamalkannya, dan mampu menghadapi ujian di jalan Allah; berjaya menjalani semuanya berdasarkan petunjuk Allah dan Rasul-Nya, tanpa sebarang penyimpangan dan sikap lemah untuk menghadapi itu semua [lihat pula: TMQ al-Baqarah (2): 249]; [TMQ al-Anfal (8): 46].
Kesabaran ini termasuk keteguhan dalam menempuh kaedah dakwah Nabi, tidak berpaling walau sekelip mata melihat arus pragmatisme dari mereka yang tidak faham. Termasuk kesabaran dalam menegakkan dua kefardhuan iaitu saum (puasa) dan Khilafah yang kedua-duanya digelar oleh Rasulullah SAW sebagai junnah (perisai) umat. Saum (puasa) sebagai perisai individu mukmin daripada kemaksiatan. Khilafah sebagai penjaga penegak Islam termasuklah ibadah saum dalam kehidupan. Bersabarlah sehingga Allah SAW menyeru,
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَئِنَّةُ ٢٧ ٱرۡجِعِيٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةٗ مَّرۡضِيَّةٗ ٢٨
“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb-mu dengan hati yang puas lagi Dia redhai. [TMQ al-Fajr (89): 27-28].
Wallahualam.