[Nafsiyah] Hisab
Satu perkara yang pasti akan kita temui setelah kematian ialah hari hisab. Hari ketika Allah SWT. meminta pertanggungjawaban dari manusia akan setiap amal yang dilakukan selama hidup di dunia. Hisab ialah peristiwa Allah Taala menampakkan kepada manusia amalan mereka di dunia dan menetapkannya (Muqarrar at Tauhid Lishaf ats Tsabi al ‘Ali fil Ma’ahid al Islamiyah).
Sementara itu, pengertian yang sama tentang hisab iaitu mengingatkan dan memberitahu kepada manusia tentang amalan kebaikan dan keburukan yang telah mereka lakukan. (Syarh al ‘Aqidah al Wasithiyah).
Hisab terbahagi kepada dua. Pertama, Al ‘Aradh (penampakan dosa dan pengakuan). Iaitu memaparkan amalan maksiat orang mukmin kepada mereka, penetapannya, merahsiakan (tidak dibuka di hadapan orang lain), dan pengampunan Allah terhadap mereka. Hisab ini dinamakan hisab yang ringan (hisab yasir). (Mukhtashar Ma’arij al Qabul Hafizh al Hakami).
Kedua, munaqasyah (diperiksa secara teliti) dan inilah yang dinamakan hisab (perhitungan) antara kebaikan dan keburukan.
Saudari, ketahuilah bahawa seseorang boleh terlepas dari pengadilan dunia dan keluarga tetapi dia tidak boleh terlepas dari pengadilan akhirat. Allah akan mengadilinya. Firman Allah Taala, “Pada hari itu didedahkan segala rahsia.” [TMQ At-Tariq (86): 9]
Dalam tafsir Al-Wajiz, Syeikh Wahbah az-Zuhaili mengatakan, “Allah mengembalikan mereka pada hari ketika semua rahsia diperlihatkan. Maksud dari as-sarair ialah segala yang terkandung dalam hati seperti iman, keyakinan, niat baik/buruk, dan sebagainya.
Manusia akan dihadapkan kepada Allah di pengadilan-Nya. Hisab Allah itu hisab yang sangat berat, kita tidak boleh bandingkan dengan hisab manusia. Sabda Rasulullah SAW., “Barang siapa yang dihisab, dia terseksa.” Aisyah bertanya, “Bukankah Allah telah berfirman, ‘Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah.’” Maka Rasulullah SAW. menjawab, “Hal itu adalah al ‘aradh. Namun, barang siapa yang dimunaqasyah hisabnya, dia akan binasa.”(Muttafaqun ‘alaihi)
Firman-Nya, “Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, dia akan dihisab dengan pemeriksaan yang mudah.” [TMQ al-Insyiqaq (84): 7-8].
Kemudian Allah meneruskan firman-Nya, “Adapun orang yang diberikan kitabnya dari belakang, dia akan berteriak, ‘Celakalah aku.’ Dan dia akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).” [TMQ al-Insyiqaq (84): 10-12]
Saudariku, orang-orang yang mendapatkan hisab berat ialah pelaku kezaliman, melakukan kejahatan sesama manusia, tidak memenuhi kewajipan sesama manusia, dan orang yang beramal tidak ikhlas kerana-Nya. Kita mesti berhati-hati dengan perkara-perkara tersebut agar tidak menjadi sebahagian daripada orang yang berat hisabnya.
Oleh itu, konsep orang yang beriman ialah dia akan mengurangkan bilangan orang yang akan mendakwanya di akhirat. Hal ini akan memudahkan dia melangkah ke pengadilan Allah.
Sementara itu, orang yang rugi ialah ketika dia datang di pengadilan Allah dengan pelbagai kebaikannya, tetapi semua amalan itu sia-sia kerana dia pernah menuduh fulan, mencaci, atau mengambil harta fulan. Berdirilah mereka yang pernah dilukai, disakiti, difitnah, diambil hartanya, mereka menuntut atas perlakuan buruknya di hadapan Allah Taala.
Dalam tempoh yang sekejap sahaja segala kebaikannya hilang tidak tertinggal sedikit pun, kerana semua kebaikan diberikan kepada orang-orang yang dizaliminya. Dengan demikian, kita hendaklah memastikan bahawa kita benar-benar membawa kebaikan kepada sesama umat Islam.
Sofyan bin Dinar pernah bertanya kepada Abu Bishr (salah seorang murid Ali bin Abi Tahlib ra.), “Apakah amalan yang menjadikan sahabat dicintai Allah SWT.?” Abu Bishr menjawab, “Para sahabat sedikit beramal, tetapi mendapat pahala yang banyak.” Dia bertanya lagi, “Tetapi, mengapa demikian?” Abu Bishr menjawab, “Kerana selamatnya hati mereka terhadap urusan umat Islam.”
Fudhail bin Iyad juga pernah mengatakan, “Orang lain tidak dapat mengejar amal kami (para sahabat dan dirinya) dengan solat dan puasa. Tetapi boleh mengejar amal kami dengan bermurah hati (kasih sayang) kepada orang beriman.”
Adalah penting untuk kita mengetahui bahawa amalan zahir yang dihisab pertama kali oleh Allah ialah solat. Amalan hati yang pertama kali dihisab oleh Allah ialah ikhlas. Niat yang salah sangat membahayakan setiap muslim. Sebagaimana Rasulullah SAW. pernah bersabda,
“Orang yang pertama kali dihisab dan merasai neraka ada tiga orang. Pertama, seorang lelaki yang sepanjang hidupnya berjihad dalam peperangan. Kemudian, dipanggil oleh Allah untuk memperlihatkannya syurga. Allah bertanya kepadanya, ‘Apa yang telah kamu lakukan sepanjang hidupmu?’ Dia menjawab, ‘Aku berperang kerana-Mu, Ya Rabb.’ Allah berkata, ‘Kamu dusta, kerana sebenarnya kamu berjuang untuk disebut sebagai pemberani, bukan kerana-Ku.’ Kemudian Allah melemparkannya ke dalam neraka. Kedua, orang yang sepanjang hidupnya sentiasa belajar, mengajar dan membaca Al-Quran. Kemudian diperlihatkan kepadanya nikmat syurga. Allah bertanya kepadanya, ‘Apa yang kamu lakukan semasa hidup?’ Dia menjawab, ‘Aku belajar al-Quran kerana-Mu.’ Allah berkata, ‘Kamu dusta, kamu belajar dan mengajar al-Quran agar disebut alim dan indah dalam bacaan al-Quranmu.’ Kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka. Ketiga, orang yang sepanjang hidupnya berinfak. Lalu dihadapkan kepada Allah. Allah bertanya, ‘Apa yang dahulu kamu kerjakan?’ Dia menjawab, ‘Aku berinfak kerana-Mu.’ Allah berkata, ‘Kamu berdusta, kamu berinfak kerana ingin mendapat pujian sebagai dermawan, bukan kerana-Ku.’ Kemudian Allah mencampakkan dia ke dalam neraka.”
Saudariku, sesungguhnya dalam berdakwah, perkara yang paling berat ialah menjaga niat. Kerana tidak sedikit para aktivis dakwah dan alim ulama yang tergelincir hatinya kerana niat yang salah. Padahal, keselamatan manusia ada pada dua perkara, iaitu ketaatannya kerana keikhlasan dan bermurah hati kepada sesama manusia.
Hendaklah kita berhati-hati dalam perkara yang akan dihisab oleh Allah SWT.. Kerana tidak ada seorang pun dari kita kecuali akan diajak dibicarakan oleh Allah tanpa ada penterjemah. Kemudian, kita akan melihat ke sebelah kanan, hanya melihat amalan yang telah dilakukan dan kita melihat ke kiri, hanya melihat amalan yang telah dilakukan. Lalu melihat di hadapan, hanya melihat neraka yang ada di hadapan. Astaghfirullah.
Firman Allah Taala, “Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, ‘Aduhai celakanya kami. Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar. Melainkan ia mencatat semuanya?’ Dan mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Rabb-mu tidak menganiaya seseorang pun.’” [TMQ al-Kahfi (18): 49)
Oleh itu, kita mesti bersiap sedia menghadapi hari penghisaban dengan menyiapkan bekalan ilmu yang bermanfaat dan amal soleh. Juga memperbanyak mengingati hari perhitungan dan melihat amalan yang telah dilakukan. Semoga Allah memberi kita taufik untuk memperbanyakkan bekalan. Bekalan yang cukup untuk menghadap-Nya kelak dan mendapat keredhaan-Nya. Amin.
Sumber:
#Nafsiyah #Hisab #HariPerhitungan #harikiamat