[Syarah Hadis] Meletakkan Hadis “Aku Diutus untuk Menyempurnakan Akhlak yang Mulia”
Penulis: Irfan Abu Naveed, M.Pd.I.
[A. Mukadimah]
Pada zaman ini, umat Islam sering berhadapan dengan pelbagai syubhat yang cukup membimbangkan kerana ia menjejaskan kefahaman dan lebih-lebih lagi amal perbuatan.
Antara syubhat yang berbahaya dan jelas bahayanya ialah kesalahan memahami hadis-hadis yang mulia untuk membenarkan fahaman yang salah sehinggakan bercanggah dengan maksud hadis-hadis itu sendiri, menjauhkan umat daripada perjuangan menegakkan syariat Islam kaffah dalam kehidupan.
Antaranya ialah hadis-hadis berkaitan pengutusan Rasulullah SAW untuk menyempurnakan akhlak yang mulia,
إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”
Suatu ketika dahulu, dalam perbincangan mengenai kitab Nizham al-Islam salah seorang panelis menggunakan hadis tentang akhlak sebagai dalil menolak kewajipan menegakkan Negara Islam, Khilafah Islamiyah. Bagaimana untuk meletakkan pemahaman yang benar?
- Huraian Hadis
Pertama, hadis dengan teks “sâlih al-akhlâq“.
Hadis daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kesolehan akhlak.” [HR Ahmad dalam Musnad-nya (no. 8952), Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (no. 273), Al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Îmân (no. 7609), Al-Khara’ith dalam Makârim al-Akhlâq (no. 1), dan lain-lain].
Mengulas hadis daripada Imam Ahmad di atas, Imam Al-Haithami (w. 807 H) menjelaskan,
رواه أحمد ورجاله رجال الصحيح
“Imam Ahmad meriwayatkannya, dan para perawinya adalah perawi sahih.” [Nuruddin ‘Ali al-Haithami, Majma’ al-Zawâ’id wa Manba’ al-Fawâ’id, Beirut: Dar al-Fikr, 1412 H, juz VIII, hal. 343]
Kedua, hadis dengan teks “makârim al-akhlâq”.
Hadis daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kesolehan akhlak.”[HR Al-Bayhaqi dalam Al-Sunan al-Kubrâ’ (no. 20782), Al-Bazzar dalam Musnad-nya (no. 8949)].
Al-Hafiz Ibnu Abd Al-Barr al-Andalusi, seperti yang dipetik oleh Al-Zurqani,
وَهُوَ حَدِيثٌ مَدَنِيٌّ صَحِيحٌ مُتَّصِلٌ مِنْ وُجُوهٍ صِحَاحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَغَيْرِهِ
“Dan ini adalah hadis sahih muttashil dari banyak jalurnya, sahih dari Abi Hurairah dan selainnya.” Muhammad bin ‘Abdul Baqi al-Zurqani, Syarh al-Zurqaniy ‘alâ Muwaththa’ al-Imâm Mâlik, Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah, cet. I, 1424 H, juz IV, hal. 404]
Selepas memetik kata-kata Ibn Abd al-Barr, Al-Sakhawi (w. 902 H) menjelaskan bahawa di antaranya apa yang dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnad-nya, dan Al-Khara’ithi pada permulaan kitab Al-Makârim-nya, dari hadis Muhammad bin ‘Ajlan, dari Al-Qa’qa’ bin Hakim, dari Abi Soleh, dari Abu Hurairah RA secara marfu’, dengan lafaz “soleh al-akhlâq”, dan para perawinya adalah perawi sahih [Syamsuddin as-Sakhawi, Al-Maqâsid al-Hasanah fî Bayân Kathîr min al-Ahâdîth al-Musytahirah ‘alâ Alsinah, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, cet. I, 1405 H, hal. 180].
- Penjelasan Mufradat
Pertama, makna “sâlih” dan “makârim”.
Perkataan “sâlih” dan perkataan “makârim” yang melekat dengan kata “al-akhlâq” dalam hadis-hadis di atas jelas mengkhususkan akhlak dan mengaitkannya dengan sifat khusus dan tidak dapat dipisahkan daripadanya, iaitu kebaikan, kesolehan, dan kemuliaan itu sendiri, yang tentunya mengikut piawaian Islam.
Perkataan “al-makârim” itu sendiri adalah jamak daripada perkataan al-makrumah. Hal ini disebutkan oleh ulama bahasa dan adab, seperti Imam Al-Jawhari (w. 393 H) dalam kitab As-Sihâh [Abu Nasr Isma’il al-Jawhari, Al-Sihâh Tâj al-Lughah wa Sihâh al-‘Arabiyyah, Beirut: Dar al-‘Ilm, cet. IV, 1407 H, juz V, hal. 2020), dan Nisywan al-Hamiri al-Yamani (w. 573 H) dalam kitab Syams al-‘Ulûm (Nisywan bin Sa’id al-Hamiri, Syams al-‘Ulûm wa Dawâ’u Kalâm al-‘Arab Min al-Kulûm, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir, cet. I, 1420 H, juz IX, hal. 5801].
Apakah maksudnya? Maksudnya ialah perbuatan yang mulia (fi’l al-karam) sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibnu Manzhur dalam Lisân al-‘Arab [Ibnu Manzhur, Lisân al-’Arab, Kaherah: Dar al-Ma’arif, juz V, hal. 3862]
Kedua, makna perkataan “akhlâq”.
Akhlak (الأخلاق) adalah jamak dari khuluq (الخُلُقُ). Khuluq sendiri seperti yang dijelaskan oleh ulama ahli bahasa.
Ini seperti yang dinyatakan oleh Al-Azhari (w. 370 H):
والخُلُقُ: الدِّينُ، والخُلُقُ: المروءةُ.
“Al-Khuluq: din, dan Al-khuluq: muru’ah.” [Muhammad bin Ahmad Al-Azhariy, Tahzîb Al-Lughah, Beirut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabi, cet. I, 2001, juz VII, hal. 18.]
Al-Qadhi ‘Iyadh (w. 544 H) menyebut perkataan Ibnu Al-‘Arabi,
قَالَ ابْن الْأَعرَابِي الْخلق الطَّبْع والخلق الدّين والخلق الْمُرُوءَة
“Ibnu Al-‘Arabi berkata: Al-khuluq itu tabiat, Al-khuluq itu Al-dîn, Al-khuluq itu muru’ah.” [‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh, Masyâriq Al-Anwâr ‘Alâ Sihâh Al-Âthâr, Dar Al-Turath, juz I, hal. 239]
Al-Hafiz Ibnu Al-Athir (w. 606 H) juga menekankan perkara yang sama dalam Al-Nihâyah fî Gharîb Al-Hadîth [Majduddin Abu Al-Sa’adat Ibnu Al-Athir, Al-Nihâyah fî Gharîb Al-Hadîth wa Al-Athar, Beirut: Al-Maktabah Al-‘Ilmiyyah, 1399 H, juz II, hal. 70].
Ibn Manzhur (w. 711 H) dalam Lisân Al-‘Arab juga menjelaskan,
الخُلُقُ: وهو الدِّين والطبْع والسجية
“Al-Khuluq: iaitu din (agama), tabiat dan watak semulajadi.” Ibnu Manzhur, Lisân Al-’Arab, Kaherah: Dar Al-Ma’arif, juz II, hal. 1245]
Justeru, dapat disimpulkan bahawa makna akhlak dalam hadis ini tidak boleh dipisahkan daripada konotasi Dinul Islam itu sendiri.
- Membetulkan Tafsiran Hadis yang Salah
Perlu difahami bahawa hadis di atas tidak membicarakan tentang proses dakwah, tetapi tujuan Nabi Muhammad SAW diutuskan, yang tidak menunjukkan bahawa dakwah mesti tertumpu semata-mata kepada akhlak dan mengabaikan dakwah menyeru kepada pengamalan syariat Islam secara umum, seperti menegakkan Khilafah dan menegakkan hukum-hukum syariat Islam. Seandainya difahami seperti itu, jelas bertentangan dengan teladan dakwah Rasulullah SAW sendiri yang menegakkan Islam secara keseluruhan dan mendakwahkannya.
Manakala gambaran proses menuju kemuliaan dan keluhuran akhlak itu sendiri tergambar dalam as-Sunnah, sirah. Rasulullah SAW tidak menumpukan dakwahnya semata-mata kepada perbincangan akhlak dan mengabaikan yang lain, tetapi menjadikan akidah Islam sebagai asas peradabannya dan penegakan syariat Islam kaffah sebagai bangunannya sehingga melahirkan sebuah masyarakat yang berakhlak al-karîmah. Lebih-lebih lagi makna akhlak itu sendiri mempunyai konotasi Din. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh para ulama,
Imam Abu Ja’far Al-Thahawiy (w. 321 H) meriwayatkan hadis ini no. 4432 dan menjelaskan maksudnya,
فَكَانَ مَعْنَى ذَلِكَ عِنْدَنَا – وَاللهُ أَعْلَمُ – أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّمَا بَعَثَهُ لِيُكْمِلَ لِلنَّاسِ دِينَهُمْ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ مِمَّا يَدْخُلُ فِي هَذَا الْمَعْنَى، وَهُوَ قَوْلُهُ عَزَّ وَجَلَّ: {الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ} [المائدة: 3] ، فَكَانَتْ بعْثَتُهُ إِيَّاهُ عَزَّ وَجَلَّ لِيُكْمِلَ لِلنَّاسِ أَدْيَانَهُمُ الَّتِي قَدْ كَانَ تَعَبَّدَ مَنْ تَقَدَّمَهُ مِنْ أَنْبِيَائِهِ بِمَا تَعَبَّدَهُ بِهِ مِنْهَا، ثُمَّ كَمَّلَهَا عَزَّ وَجَلَّ لَهُ بِقَوْلِهِ: {الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ} [المائدة: 3] وَالْإِكْمَالُ: هُوَ الْإِتْمَامُ، فَهُوَ مَعْنَى قَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ “، أَيْ: صَالِحَ الْأَدْيَانِ، وَهُوَ الْإِسْلَامُ، وَبِاللهِ التَّوْفِيقُ.
“Dan makna hadis ini menurut kami, wallahualam, adalah bahawa Allah ‘Azza wa Jalla mengutusnya SAW untuk menyempurnakan bagi manusia Din mereka, dan Allah menurunkan kepadanya dari apa yang termasuk dalam makna ini, iaitu firman-Nya ‘Azza wa Jalla,
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُم
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu Din-mu.” [TMQ al-Mâ’idah (5): 3].
Maka pengutusannya oleh Allah ‘Azza wa Jalla adalah untuk menyempurnakan bagi manusia syariat–syariat agama mereka yang sebenarnya telah ada syariat beribadah nabi sebelum Rasulullah SAW, para nabi dengan syariat peribadatan mereka, kemudian Allah ‘Azza wa Jalla menyempurnakannya berdasarkan penjelasan firmanNya,
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu Din-mu.” [TMQ al-Mâ’idah (5): 3].
Dan perkataan al-ikmâl adalah sinonim dengan al-itmâm, dan ini adalah makna dari sabda Rasulullah SAW,
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kesolehan akhlak.”
Frasa ‘sâlih al-akhlâq’ ialah sâlih al-adyân, iaitu Dinul Islam, wa billâhi al-tawfîq.” [Abu Ja’far Ahmad bin Muhammad Al-Thahawi, Syarh Musykil Al-Âthâr, Beirut: Mu’assasat Al-Risalah, cet. I, 1415 H, juz XI, hal. 262]
Imam Al-Baji, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Abdul Baqi Al-Zurqani (w. 1122 H) berkata,
كَانَتِ الْعَرَبُ أَحْسَنَ النَّاسِ أَخْلَاقًا بِمَا بَقِيَ عِنْدَهُمْ مِنْ شَرِيعَةِ إِبْرَاهِيمَ، وَكَانُوا ضَلُّوا بِالْكُفْرِ عَنْ كَثِيرٍ مِنْهَا فَبُعِثَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيُتَمِّمَ مَحَاسِنَ الْأَخْلَاقِ بِبَيَانِ مَا ضَلُّوا عَنْهُ وَبِمَا خُصَّ بِهِ فِي شَرْعِهِ.
“Dahulu orang Arab dikenali sebagai sebaik-baik manusia dari segi akhlaknya kerana apa yang tersisa di sisi mereka dari syariat ajaran Nabi Ibrahim AS, mereka juga tersesat daripada kebanyakan mereka, maka Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan mahâsin al-akhlâq dengan menjelaskan kesesatannya dan dengan pengkhususan dalam syariatnya.” [Muhammad bin ‘Abdul Baqi Al-Zurqani, Syarh Al-Zurqaniy ‘Alâ Muwaththa’ Al-Imâm Mâlik, Kaherah: Maktabah Al-Thaqafah Al-Diniyyah, cet. I, 1424 H, juz IV, hal. 404].
Al-Hafiz Ibnu Abdil Barr Al-Andalusi seperti yang dinukilkan oleh Al-Zurqani menjelaskan bahawa termasuk di dalamnya kesolehan, dan seluruh kebaikan, Din ini, keutamaan, kehormatan, kebaikan (al-ihsân) dan keadilan, dan kerana itulah Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakannya [Muhammad bin ‘Abdul Baqi Al-Zurqani, Syarh Al-Zurqaniy ‘Alâ Muwaththa’ Al-Imâm Mâlik, juz IV, hal. 404].
Dengan begitu, dapat disimpulkan bahawa memahami makna akhlak dalam hadis di atas tidak dapat dipisahskan daripada konotasi Dinul Islam itu sendiri, dan ini diperkuatkan lagi dengan tafsiran terhadap frasa khuluq ‘azhiim dalam firman Allah ‘Azza wa Jalla,
وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
“Dan sesungguhnya engkau benar-benar memiliki khuluq yang agung.” [TMQ al-Qalam (68): 4].
- Akhlak dalam Islam
Islam adalah din, minhaj kehidupan yang mengatur semua aspek kehidupan manusia. Al-Qadhi Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan, “Islam ditakrifkan sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya, dirinya, dan sesama manusia.
Hubungan manusia dengan Penciptanya merangkumi soal akidah dan ibadah. Hubungan antara manusia dengan dirinya meliputi akhlak, makanan/minuman, dan pakaian. Sedangkan hubungan sesama manusia meliputi muamalah dan uqubat/hukuman.”
Al-‘Allamah al-Qadhi Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa akhlak adalah sebahagian daripada syariat Islam, ia terikat dengan perintah dan larangan Allah SWT. Jika akhlak tidak difahami sebagai sesuatu yang terikat dengan hukum syarak, mungkin ada yang akan memuliakan dan menghormati penguasa kafir muharriban fi’lan iaitu pemerintah kafir yang memerangi Islam dan umat Islam secara nyata.
Contoh kes apabila Obama, dan sekutunya la’natullaahi ‘alayhim! melawat Indonesia. Tidakkah mereka dihormati seolah-olah mereka tetamu kehormat, padahal tangan mereka masih basah dengan lumuran darah umat Islam di Iraq dan Afghanistan khususnya?!
Rasulullah SAW diutus ke muka bumi dengan membawa risalah yang agung, iaitu din Islam yang menjadi minhaj kehidupan. Rasulullah Muhammad SAW sebelum menerima wahyu sudah dikenali sebagai seorang pemuda yang jujur dan amanah, maka baginda SAW digelar dengan Al-Amin.
Namun, ketika berdakwah di tengah-tengah masyarakat jahiliah Quraisy, baginda menghadapi pelbagai cabaran, mengapa? Ini kerana dakwah yang baginda sampaikan menyeru kepada akidah tauhid, penegakan Islam di muka bumi, tidak tertumpu untuk memperbaiki moral seperti syubhat yang dikumandangkan yang di dalamnya terdapat pengabaian terhadap akidah dan penegakan Islam kaffah.
Seandainya baginda hanya menumpukan perhatian untuk memperbaiki moral seperti yang dikempenkan dalam syubhat-syubhat tersebut, nescaya orang-orang kafir Quraisy tidak akan memerangi dakwah bagind, kerana sebelum diutus untuk membawa risalah dakwah pun, Muhammad SAW sudah dipercayai sebagai seorang yang jujur seperti yang diungkapkan dalam banyak kitab Sirah.
Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhani (w. 1977) dalam kitab Nizhâm al-Islâm menjelaskan, “Islam menyelesaikan masalah kehidupan manusia secara keseluruhan dan menumpukan perhatiannya kepada umat manusia sebagai bahagian yang tidak terpisahkan, bukan kepada individu-individu atau umat tertentu. Oleh itu, Islam menyelesaikan masalah manusia dengan cara yang sama dan tetap. Peraturan Islam dibina atas asas ruhiyah, iaitu akidah. Maka, aspek ruhiyah dijadikan sebagai asas peradaban Islam, asas negara, dan asas syariatnya.”
Akhlak dalam Islam juga bukan sekadar simbol, dan masyarakat yang berakhlak terwujud daripada masyarakat yang perasaan dan pemikirannya islami, ini dimanifestasikan dengan penegakan syariat Islam kaffah di tengah-tengah masyarakat.
Bagaimana boleh dikatakan berakhlak? Sedangkan riba berleluasa, pergaulan bebas dan kadar jenayah lain tinggi dalam masyarakat. Oleh yang demikian, akhlak tidak boleh dipisahkan daripada syariat dan ia merupakan sebahagian daripada syariat Islam yang agung.