[Hadis Pilihan] Pensyariatan bolehnya Perdagangan Dan Peringatan Bagi para Pedagang
Oleh: Ustaz Yoyok Rudianto
عَنْ رِفَاعَةَ أَنَّهُ خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَرَأَى النَّاسَ يَتَبَايَعُوْنَ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ، فَاسْتَجَابُوا لِرَسُولِ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَفَعُوا أَعْنَاقَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ إِلَيْهِ، فَقَالَ: إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقى الله، وَبَرَّ، وَصَدَقَ
Dari Rifaah bahawa dia pernah keluar bersama Nabi SAW. menuju musalla (lapangan tempat solat hari raya). Beliau melihat ramai orang sedang berjual-beli. Beliau lalu bersabda, “Wahai para pedagang. ”Mereka kemudian menjawab panggilan Rasulullah SAW. sambil menoleh dan mengarahkan pandangan mereka kepada beliau. Lalu beliau bersabda, “Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan pada Hari Kiamat sebagai orang yang banyak melakukan dosa kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, beramal baik dan jujur.” (HR at-Tirmidzi, Ibnu Majah, ad-Darimi, Mu’ammar bin Rasyid, al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban).
Redaksi hadis di atas adalah menurut Riwayat Imam at-Tirmidzi. Dalam redaksi Mu’ammar bin Rasyid disebutkan bahawa lafaz musalla diganti dengan al-Baqî’. Maka maknanya adalah musalla, iaitu tanah lapang Baqi’ yang biasa digunakan untuk solat hari raya.
Hadis ini dikeluarkan oleh Imam at-Tirmidzi (w. 279 H) dalam Al-Jâmi’u al-Kabîr atau Sunan at-Tirmidzî hadis nombor 1210; Imam Ibnu Majah (w. 273 H) dalam Sunan Ibni Mâjah hadis no. 2146; Imam ad-Darimi di dalam Musnad ad-Dârimî yang dikenali sebagai Sunan ad-Dârimî hadis no. 2580; Mu’ammar bin Rasyid (w. 153 H) dalam Al-Jâmi’ hadis no. 20999; Imam al-Hakim (w. 406 H) dalam Al-Mustadrak ‘alâ ash-Shahîhayn hadis no. 2144; Imam al-Baihaqi (w. 458 H) di dalam Sunan al-Kubrâ hadis no. 10414 dan dalam Syu’ab al-خmân hadis no. 4507 dan 4508; Imam Ibnu Hibban dalam al-Ihsân fî Taqrîb Shahîh Ibni Hibbân atau Shahîh Ibni Hibbân hadis no. 4910.
Imam at-Tirmidzi berkata, “Ini adalah hadis hasan sahih.”
Imam al-Hakim berkata, “Ini adalah hadis sahîh al-isnâd, tetapi beliau berdua (al-Bukhari dan Muslim) tidak mengeluarkannya.”
Komentar Al-hafizh adz-Dzahabi dalam Talkhîsh adz-Dzahabî tentang hadis di atas, “(Ini hadis) sahîh.”
Dalam hadis ini terdapat taqrîr Rasulullah SAW. dalam aktiviti tijârah (perniagaan), iaitu jual-beli. Ini jelas dilihat dalam redaksi hadis. Rasulullah SAW. memanggil mereka dengan at-tujjâr (bentuk jamak dari at-tâjir), iaitu orang-orang yang melakukan perniagaan atau jual-beli atau para pedagang. Dalam redaksinya juga dinyatakan aktiviti mereka: yatabâya’ûn (mereka berjual-beli). Ini menunjukkan masyrû’ (sah @ dibenarkan)-nya aktiviti perdagangan iaitu jual beli. Ini juga menunjukkan bahawa profesion sebagai at-tâjir, iaitu pedagang adalah halal.
Namun demikian, meskipun perniagaan atau jual-beli adalah dibenarkan secara syarie, tidak bermakna pedagang bebas berniaga sesuka hati mereka dan melakukan segala cara untuk memasarkan barangan dagangan mereka. Rasulullah SAW. mengingatkan mereka bahawa at-tujjâr yub’atsûna yawma al-qiyâmati fujjâr[an] illâ man ittaqalLâh wa barra wa shadaqa.
Mula al-Qari (w. 1014 H) dalam Mirqâtu al-Mafâtîh Syarhu Misykâti al-Mashâbîh menjelaskan, “Fujjâran, jamak dari fâjir, yang berasal dari al-fujûr, iaitu menyimpang dari yang lurus. Orang yang berbohong adalah fâjir kerana menyimpang dari kejujuran.
“Illâ man atttaqâ”, iaitu bertakwa kepada Allah dengan tidak melakukan dosa besar dan kecil seperti menipu dan berkhianat. Maksudnya, dia berbuat baik kepada manusia dalam perniagaannya atau dia melakukan ketaatan kepada Allah dan beribadah kepada-Nya.
“Wa barra wa shadaqa”, iaitu dalam sumpahnya dan semua ucapannya. Al-Qadhi berkata, “Di antara kebiasaan para pedagang adalah at-tadlîs (penipuan/manipulasi) dalam muamalah dan berkisar kepada promosi barang dengan sumpah dusta dan seumpamanya yang mudah untuk mereka lakukan. Kerana itu beliau menghukum mereka dengan al-fujûr. Dikecualikan daripada mereka iaitu orang-orang yang menjaga diri daripada perkara yang haram, berlaku baik dalam sumpahnya dan jujur dalam ucapannya.
Para ulama berpendapat demikian. Mereka membawa maksud al-fujûr pada al-laghwu (berlebih-lebihan) dan al-halifu (sumpah)”.
Penyebutan para pedagang sebagai al-fujjâr dijelaskan alasannya dalam riwayat dari Abdurrahman bin Syiblin. Dia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda:
إِنَّ التُّجَّا رَهُمُ الْفُجَّارُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ الله، أَلَيْسَ قَدْ أَحَلَّ الله الْبَيْعَ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنَّهُمْ يَحْلِفُونَ فَيَأْثَمُونَ، وَيُحَدِّثُونَ فَيَكْذِبُونَ
“Para pedagang (at-tujjâr) adalah al-fujjâr (orang yang banyak melakukan dosa). ”Mereka berkata, “Ya Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual-beli?” Beliau bersabda, “Benar, tetapi mereka (para pedagang) bersumpah dan mereka berdosa, dan mereka berbicara dan berdusta.” (HR Ahmad, al-Hakim, al-Baihaqi dan ath-Thahawi).
Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Al-Musnad hadis no. 15530, 15666 dan 15669; Imam al-Hakim dalam Al-Mustadrak hadis no. 2145 dan 2146; al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubrâ hadis no. 10415 dan dalam Syu’ab al-Imân hadis no. 4503, 4504 dan 4505; dan ath-Thahawi (w. 321 H) dalam Syarhu Musykal al-آtsâr hadis no. 2077 dan 2078.
Al-Hakim berkata, “Ini adalah hadis sahîh al-isnâd tetapi beliau berdua (al-Bukhari dan Muslim) tidak mengeluarkannya.”
Komentar al-Hafizh adz-Dzahabi di dalam Talkhîsh adz-Dzahabî tentang hadis ini, “(Hadis ini) sahîh.”
Peringatan Rasulullah SAW. itu mengisyaratkan seolah-olah dibangkitkan sebagai fujjâr itu menjadi asal keadaan para pedagang pada Hari Kiamat. Penggunaan istitsnâ’ (pengecualian) mengisyaratkan bahawa keadaan yang dikecualikan itu merupakan keadaan sebahagian kecil. Dapat juga difahami bahawa ini merupakan peringatan keras daripada Rasulullah SAW. kepada para pedagang, bahawa perniagaan itu rentan terhadap perbuatan fâjir, seperti bersumpah dusta, ucapan bohong, berlebih-lebihan dalam berkata-kata dan menjelaskan hingga tahap fâjir, menyembunyikan aib barang, tidak jujur, tidak menjelaskan sepenuhnya keadaan barang, melakukan ghabn dan tadlîs dan yang lain. Semua itu boleh menghapuskan keberkatan.
Oleh itu, pedagang mestilah berhati-hati dalam perniagaan mereka. Para pedagang hendaklah mengetahui hukum-hukum syariah berkaitan dengan perniagaan mereka, mematuhi hukum-hukum tersebut, bersikap baik, jujur, ihsaan dan samhah (murah hati) agar tidak dibangkitkan sebagai fujjâr.
WalLâh a’lam wa ahkam.
Sumber:
#Perdagangan #PeringatanUntukParaPedagang #HalalJualBeli #HadisPilihan