[Tafsir Al-Quran] Berita Gembira bagi Rasulullah SAW [Tafsir Surah Al-A’la (87): 6-8]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
سَنُقْرِئُكَ فَلا تَنْسَى *إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ وَمَا يَخْفَى * وَنُيَسِّرُكَ لِلْيُسْرَى *
“Kami akan membacakan (al-Quran) kepada kamu (Muhammad) hingga kamu tidak akan lupa, kecuali jika Allah menghendaki. Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi. Kami pun akan memberi kamu taufik ke jalan yang mudah.” [TMQ al-A’la [87]: 6-8].
Dalam ayat sebelumnya, dijelaskan tentang perintah menyucikan nama Allah SWT, kerana, Dialah yang menciptakan dan menyempurnakan semua makhlukNya; menetapkan setiap kadar masing-masing dan memberi mereka petunjuk. Dia juga Yang menumbuhkan rumput hijau, kemudian menjadikan rumput itu kering dan kehitam-hitaman.
Setelah pemberitaan tentang pemberian petunjuk kepada makhlukNya secara umum, ayat seterusnya menjelaskan petunjuk khusus yang diberikan kepada Rasulullah SAW.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, “Sanuqri’uka falâ tansâ (Kami akan membacakan [al-Quran] kepadamu [Muhammad] sehingga kamu tidak akan lupa).” Seperti ayat sebelumnya, seruan ayat ini juga ditujukan kepada Rasulullah SAW. Kâf al-khithâb (kata pengganti orang kedua: kamu) merujuk kepadanya.
Perkataan nuqri‘uka bermaksud nu’allimuka qirâ‘ah (Kami mengajar kamu membaca). Bacaan yang dibacakan kepadanya tidak lain adalah al-Quran. Seperti yang dijelaskan oleh As-Samarqandi, frasa sanuqri’uka bermaksud sanu’allimuka al-Qur’ân wa yanzilu ‘alayka (Kami akan mengajarkan kepada kamu al-Quran dan turun kepada kamu).[1] Fakhruddin ar-Razi juga menafsirkan frasa ini sebagai, “sanu’allimuka hazâ al-Qur’ân hattâ tahfazhu (Kami akan mengajarkan al-Quran ini sehingga kamu menghafalnya).”[2]
Dalam frasa nuqri’u (Kami membaca) mengandungi dhamîr al-mutakallim yang bermaksud nahnu (Kami). Ini boleh memberi makna li ta’zhîm (untuk mengagungkan); ia juga boleh menunjukkan penglibatan pihak lain selain Allah SWT. Pihak lain tersebut ialah Malaikat Jibril, kerana telah maklum bahawa Allah SWT mengutus Malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu kepada Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman,
وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ * نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأمِينُ * عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ *
“Dan sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh Ruh al-Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) supaya engkau menjadi seorang dari orang-orang yang memberi peringatan (kepada umat manusia).” [TMQ As-Syu’ara (26): 192-194].
Huruf as-sîn menjadi tanda untuk menunjukkan istiqbâl (masa yang akan datang) untuk perbuatan yang disebutkan selepas itu. Huruf tersebut juga berguna sebagai ta’kîd (mengukuhkan) perbuatan. Sekiranya ia digunakan untuk perbuatan yang telah berlaku semasa ia sedang dibicarakan, maka perbuatan itu terus berlangsung dan akan berlaku lagi.[3]
Makna ini juga yang terkandung dalam ayat ini. Ketika ayat ini turun, sudah banyak ayat diturunkan dan dibacakan kepada beliau sebelumnya. Dengan demikian, huruf as-sîn tersebut menunjukkan pembacaan tersebut terus berlangsung dan akan berlaku lagi.[4]
Ditegaskan dalam ayat ini bahawa al-Quran yang telah dibacakan kepada Nabi SAW itu tidak akan dilupakan oleh Beliau. Disebutkan: Falâ tansâ (sehingga kamu tidak akan lupa). Perkataan tansâ berasal daripada perkataan an-nisyân. Perkataan tersebut bermaksud tidak mengingati pengetahuan sebelumnya dalam ingatan manusia, sama ada sebentar ataupun lama.[5] Hal ini boleh berlaku kerana kelemahan hati, kelalaian, atau kerana kesengajaan sehingga ingatan itu boleh hilang daripada dirinya.[6]
Imam Al-Qurthubi menjelaskan bahawa ini adalah berita gembira dari Allah SWT, bahawa Dia memberikan ayat yang jelas kepada Rasulullah SAW, iaitu dibacakan oleh Jibril, padahal baginda seorang yang ummi (buta huruf), yang tidak menulis dan tidak membaca. Baginda menghafal dan tidak lupa dengan hafalannya.[7]
Tidak jauh berbeza, Abu Hayyan al-Andalusi juga menjelaskan ayat ini dengan ungkapan: Allah telah berjanji kepada RasulNya untuk membacakan al-Quran dan memberitahu bahawa baginda tidak akan lupa. Ini adalah salah satu ayat yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, bahawa baginda adalah buta huruf, kemudian Allah SWT menjaga wahyuNya dan memelihara baginda daripada lupa terhadapnya.[8]
Dikatakan oleh Mujahid, Muqatil, dan Al-Kalbi, bahawa jika al-Quran turun kepada Rasulullah SAW, baginda cepat-cepat menggerakkan lisannya (untuk menirunya) kerana takut lupa, padahal Jibril belum berhenti membaca sehingga akhir wahyu. Ini dilakukan kerana baginda takut lupa. Kemudian turunlah ayat ini, “Sanuqri‘uka falâ tansâ.” Maksudnya, Kami akan mengajarkan al-Quran kepadamu sehingga kamu menghafalnya.[9] Perhatikan firman Allah SWT,
وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآَنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ
“Janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu.” [TMQ Taha (20): 114].
Menurut Al-Hasan, Qatadah, dan Malik, maksud tersebut juga selari dengan firman Allah SWT (yang bermaksud), “Janganlah engkau (wahai Muhamamd) gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat menguasainya.”[TMQ Al-Qiyamah (75): 16].[10]
Kemudian dinyatakan, “illâ mâ syâ‘al-Lâh (kecuali jika Allah menghendaki).” Huruf illâ memberi makna istithnâ‘ (pengecualian). Ayat ini menegaskan bahawa Rasulullah SAW tidak akan lupa sedikit pun ayat al-Quran yang telah dibacakan kepadanya kecuali apa yang dikehendaki Allah untuk dilupakan.
Namun menurut ulama, Allah SWT tidak menghendaki Nabi SAW melupakan sedikit pun ayat yang telah dibacakan kepadanya. Maka, mistithnâ‘ dalam ayat ini ghayru hâshil fî al-haqîqah (tidak berlaku secara realiti). Al-Kalbi berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW tidak lupa sedikit pun setelah turunnya ayat.”[11]
Tujuan menyebut istithnâ‘ tersebut adalah untuk menjelaskan bahawa jika Allah SWT menghendaki baginda lupa terhadap sesuatu yang telah diajarkan, Dia pasti mampu. Ini sebagaimana firman Allah SWT,
وَلَئِنْ شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ
“Sesungguhnya jika Kami menghendaki, nescaya Kami melenyapkan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu.” [TMQ Al-Isra‘(17): 86]
Kemudian Allah SWT memastikan bahawa Dia tidak menghendaki hal itu. Begitu juga firman Allah SWT,
لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan terhapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi.” [TMQ Az-Zumar (39): 65].
Faktanya, baginda sekali-kali tidak pernah menyekutukan Allah SWT. Justeru, kalimat pengecualian dalam ayat ini memberi makna bahawa Allah SWT memberitahu Nabi SAW tentang kekuasaanNya sehingga baginda mengetahui bahawa tidak lupanya baginda itu adalah kurnia dan kebaikan daripada Allah SWT, bukan berasal daripada kekuatannya.[13]
Seterusnya Allah SWT berfirman, “Innahu ya’lamu al-jahra wamâ yakhfâ (Sesungguhnya Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi).” Perkataan al-jahr digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang boleh ditangkap oleh pancaindera penglihatan dan pendengaran.[14]
Perkataan yakhfâ bermaksud istatara (tertutup). Justeru, ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT mengetahui al-jahr, iaitu al-i’lân (yang ditampakkan), baik dalam ucapan mahupun perbuatan; manakala mâ yakhfâ, apa yang disembunyikan. Ibnu ‘Abbas menyatakan, “Apa yang ada dalam hati dan jiwamu.”[15]
Ibnu Jarir at-Thabari, memaknai kalimat,“Innahu ya’lamu al-jahr,” sebagai, “Dia mengetahui apa yang nampak dalam perbuatanmu, wahai Muhammad, apa yang engkau lahirkan dan perlihatkan; tersembunyi atau terang-terangan.” Adapun frasa “wa mâ yakhfâ,” iaitu apa yang tidak kamu perlihatkan dari apa yang kamu sembunyikan. Dia berfirman: Dia mengetahui segala perbuatanmu, yang tersembunyi mahupun yang nyata kelihatan.[16]
Menurut At-Tunisi, kalimat Innahu ya’lamu al-jahr wa mâ yakhfâ adalah jumlah mu’taradhah (kalimat sisipan), yang merupakan ta’lîl (alasan) bagi kalimat sebelumnya: Falâ tansâ illâ mâ syâ‘al-Lâh. Ini kerana, kalimat tersebut adalah jaminan Allah SWT terhadap RasulNya untuk menjaga al-Quran dari kekurangan sementara.[17]
Kemudian Allah SWT berfirman, “wa nuyassiruka li al-yusrâ (Kami juga akan memberi kamu taufik ke jalan yang mudah).” Kalimat ini ma’thûf dengan kalimat: sanuqri‘uka. Adapun kalimat Innahu ya’lamu al-jahr wa mâ yakhfâ ialah i’tirâdh (kalimat sisipan).[18]
Perkataan nuyassir berasal daripada perkataan al-yusr. Begitu juga dengan al-yusrâ. Perkataan tersebut merupakan bentuk al-fu’lâ daripada perkataan al-yusr. Menurut ar-Raghib, perkataan tersebut bermaksud dhid al-‘usr (lawan daripada perkataan kesukaran).[19]
Dalam konteks ayat ini, ada beberapa penjelasan yang dikemukakan oleh ulama. Menurut as-Samarqandi, Allah SWT akan memudahkan Nabi SAW untuk menghafal al-Quran dan menyampaikan wahyu.[20] Al-Qurthubi berkata, li al-yusrâ bermaksud li at-tharîqah al-yusrâ (ke jalan yang mudah), iaitu perbuatan baik. Ibnu ‘Abbas menafsirkan ayat ini sebagai nuyassirka li an ta’mala khayr[an] (Kami memudahkan kamu untuk mengamalkan kebaikan). Manakala Ibnu Mas’ud pula memaknai li al-yusrâ sebagai li al-jannah (ke syurga).[21]
Ibnu Kathir juga menjelaskan bahawa maksud wa nuyassiruka li al-yusrâ ialah, “Kami memudahkan kamu perbuatan dan perkataan baik; Kami mensyariatkan kepada kamu syariat yang mudah, lurus, dan adil yang tidak ada padanya kebengkokan, keberatan, dan kesukaran.”[22]
Menurut as-Syaukani, pendapat yang tepat ialah yang memaknai kalimat ini secara umum, iaitu: Kami memberi taufik kepadamu ke jalan yang mudah dalam agama dan dunia dalam semua urusan yang engkau tuju.[23]
Berita Gembira bagi Rasulullah SAW
Dalam ayat ini Rasulullah SAW mendapat dua khabar gembira. Pertama: Baginda tidak akan lupa terhadap semua ayat yang dibacakan kepadanya. Baginda dapat menghafalnya, kecuali apa yang Allah SWT kehendaki. Namun, Allah SWT tidak menghendaki baginda lupa sedikit pun selepas turunnya ayat ini. Sudah tentu ini adalah berita gembira untuknya. Ini kerana, seperti yang telah dijelaskan, baginda amat takut lupa terhadap ayat-ayat yang telah dibacakan kepadanya.
Realiti ini sekaligus memberikan jaminan keaslian al-Quran. Tidak ada penambahan, pengurangan, apatah lagi perubahan. Jaminan tersebut juga disebut dalam firman Allah SWT,
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” [TMQ Al-Hijr (15): 9].
Kedua: Baginda diberi taufik ke jalan yang mudah. Seperti yang telah dijelaskan, terdapat beberapa tafsiran tentang maksud al-yusrâ (kemudahan). Ada yang menafsirkannya sebagai perbuatan yang baik. Ada juga yang mentafsirkannya sebagai syurga. Ayat ini memberi berita gembira kepadanya bahawa baginda akan diberi taufik dan kemudahan untuk itu. Baginda akan diberi taufik dan kemudahan dalam melakukan perbuatan baik dan mendapatkan syurga.
Satu lagi perkara penting dalam ayat ini ialah tentang pengetahuan Allah SWT. Dia mengetahui dengan sempurna semua perbuatan dan perkataan yang diungkapkan oleh manusia. Dia juga mengetahui dengan sempurna semua yang disembunyikan oleh manusia. Tiada yang luput dari pengetahuanNya walaupun manusia berusaha keras untuk merahsiakannya.
Pemahaman ini amat penting untuk dimiliki oleh setiap manusia. Dengan pemahaman ini, pelaku akan berhati-hati dalam langkahnya. Dalam apa jua keadaan, mudah baginya untuk beramal soleh. Sebaliknya, dia tidak akan berani melakukan perbuatan yang menimbulkan kemurkaanNya.
Wallahua’lam bissawab.
Nota Kaki:
1 As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 470.
2 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31 (Beirut: Dar Ihya at-Turath al-‘Arabi, 142 H), 130.
3 At-Tunisi, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 30 (Tunisia: Dar at-Tunisiyyah, 1984), 280.
4 At-Tunisi, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 30, 280.
5 At-Tunisi, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 30, 280.
6 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), 803.
7 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 20, 18.
8 Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth fî at-Tafsîr, vol. 10 (Beirut: Dar al-Fikr, 1420), 456,
9 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 130.
10 Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10, 456.
11 Menurut sebagian pendapat sebagaimana dikutip oleh ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 130.
12 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 130.
13 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 130.
14 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân, 208.
15 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 20, 19.
16 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24 (tt: Muassasah ar-Risalah, 2000), 371-372.
17 At-Tunisi, At-Tahrîr wa at-Tanwîr, vol. 30, 281.
18 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiy, 1987), 739; as-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994), 515; Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10, 457.
19 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân, 892.
20 As-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3, 471.
21 Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 20, 19.
22 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 8 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999), 372.
23 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5.