[Keluarga] Mencontohi Rasulullah SAW, Percintaan Terindah dalam Kehidupan Berumah Tangga
Penulis: Najmah Saiidah
Sepanjang Rabiulawal, keluarga Islam sentiasa mengingati figura uswahtun hasanah, suri teladan terbaik umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW. Di bulan ini baginda dilahirkan. Di bulan ini juga baginda kembali kepadaNya. Wajib bagi setiap umat Islam untuk mencontohinya. dalam semua urusan kehidupan, termasuk tentang kehidupan berkeluarga. Semuanya dilakukan sebagai bukti kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya.
Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita bahawa kehidupan rumah tangga akan sentiasa dipenuhi dengan kebahagiaan apabila pasangan menjadikan Islam sebagai panduan hidup. Ini adalah resepi paling penting yang mesti difahami oleh pasangan. Kebahagiaan rumah tangga bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal dan material, seperti pakaian, makanan dan tempat tinggal. Perkara ini memang perlu, tetapi ada perkara penting lain yang sering dilupakan pasangan iaitu ketenangan jiwa, keakraban emosi dan aspek kerohanian. Tiga perkara ini sebenarnya adalah khasiat utama untuk melahirkan percintaan terindah yang diperlukan pasangan dalam kehidupan rumah tangga.
Dalam koridor Islam, percintaan terindah ini jelas tergambar dalam kehidupan berumah tangga baginda, Nabi Muhammad SAW yang menawan di setiap sisi dan masa kehidupan mulianya. Mari kita kongsikan hadis-hadis yang menunjukkan betapa baginda seorang yang sangat romantik dan sangat prihatin terhadap isterinya.
- Memanggil isteri dengan panggilan istimewa.
Rasulullah SAW tidak memanggil isterinya dengan nama. Kalaupun memanggil namanya, dengan panggilan sayang atau dengan gelaran. Baginda biasa memanggil Siti Khadijah dengan panggilan ya habibi, wahai kekasihku. Begitu juga kepada Aisyah yang disapa dengan Humairah, wahai wanita yang pipinya kemerahan atau dipanggil dengan Uwaisy. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW tidak memanggil isteri-isterinya, kecuali dengan panggilan mesra dan hangat.
Panggilan yang mesra dan hangat ini akan mempengaruhi psikologi pasangan, selanjutnya akan mempengaruhi keharmonian hubungan pasangan suami isteri. Selain itu, Rasulullah SAW berpesan kepada para suami agar tetap bersabar menghadapi sikap para isteri yang kurang disukai. “Janganlah marah (lelaki muslim/suami) kepada seorang wanita muslimah (isteri). Jika tidak menyukai suatu perangai darinya, maka sukailah perangai dia yang lain.”
- Mesra dengan para isterinya.
Aisyah berkata, “Rasulullah SAW tidak mendahulukan sebahagian kaum di antara kami (isteri-isteri baginda) dan baginda selalu mengelilingi kami seluruhnya (satu per satu) kecuali sangat jarang sekali baginda tidak melakukan demikian. Baginda pun mendekat (mencium) setiap isterinya tanpa menjimak hingga sampai pada isteri yang merupakan giliran bermalam, lalu baginda bermalam di tempat tersebut.” [HR Abu Dawud, Al-Hakim].
Masyaallah, sungguh sangat elok akhlak baginda SAW dalam bermuamalah dengan pasangannya. Baginda SAW mampu menjadi figura suami yang sangat peka terhadap keperluan emosi isterinya. Sesungguhnya, setiap wanita ingin diberi perhatian lebih. Wanita juga akan merasa aman dan nyaman ketika suaminya sentiasa berada di sisinya. Wanita memerlukan sentuhan mesra, dia sangat suka ketika perkataannya didengar. Sungguh sebuah episod perjalanan hidup yang penuh cahaya hikmah, mencerminkan keberkatan, dan penuh pesona.
Ibnu Katsir rahimahullah berkata, “Dan isteri-isteri baginda SAW berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran bermalamnya, maka baginda pun terkadang makan malam bersama mereka, kemudian masing-masing kembali ke tempat tinggalnya.” [Tafsir Ibnu Katsir, I/467].
- Menjaga perasaan isteri.
Sebagai seorang isteri solehah, Aisyah RA sentiasa menyediakan segelas air minum untuk Rasulullah SAW. Biasanya baginda Rasulullah SAW hanya minum setengah darinya kerana Aisyah RA sangat suka dan gembira minum sisa air dari gelas Rasulullah. Suatu ketika, Rasulullah SAW baru pulang ke rumah dan langsung meminum habis air yang disediakan Aisyah. Tiba-tiba rasa keliru, hairan, dan sedih menyelimuti diri Aisyah RA kerana Rasulullah SAW tidak menyisakan air minum untuknya.
Kemudian, Aisyah RA melihat gelas itu belum dicuci dan masih ada setitis air di dalamnya. Aisyah RA lalu meminumnya. Tahukah apa yang terjadi? Tiba-tiba mukanya menjadi merah kerana rasa air itu masin. Rupanya Aisyah RA salah, dia bukan memasukkan gula, tetapi memasukkan garam ke dalam air tersebut.
Aisyah RA lalu pergi menuju baginda Nabi SAW untuk meminta maaf. Namun reaksi Rasulullah SAW luar biasa. Baginda tersenyum bahagia dan mengatakan bahawa air minuman itu rasanya enak sekali. Baginda dilihat menikmati air minuman tersebut. Rasulullah SAW menghargai setiap hasil usaha dan pelayanan dari isterinya tercinta. Baginda SAW tidak ingin menyakiti perasaan isterinya.
- Memeluk isteri ketika marah.
Diceritakan dalam sebuah hadis, suatu ketika Rasullullah SAW sedang bermasalah dengan Aisyah. Rasulullah SAW marah kerana Aisyah RA tetap menyimpan rasa cemburunya kepada Siti Khadijah RA yang sudah wafat. Di tengah-tengah kemarahannya, Rasulullah berkata, “Pejamkanlah matamu!” Kemudian Rasulullah SAW mendekat ke arah Aisyah dan memeluknya seraya berucap, ”Ya, Humairaku, rasa marah telah pergi usai aku memelukmu.” [HR Muslim].
Di antara para isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA memang dikenal paling memiliki sifat pencemburu. Usai memeluknya, Rasulullah SAW lalu memicit hidung isterinya tersebut, seraya berkata, “Ya Humaira, bacalah doa, ‘Wahai Rabbku, ampuni dosa-dosaku, hilangkan kerasnya hatiku, dan lindungi aku dari fitnah yang menyesatkan.‘ [HR Ibnu Sunni].
- Bersikap lembut dan kerap bersenda gurau dengan isterinya.
Banyak pula periwayatan yang menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan sangat baik kepada keluarganya. Baginda SAW juga bersenda gurau dan lemah lembut terhadap mereka. Selepas Isya’ dan sebelum tidur, Rasulullah SAW kerap kali bercakap sebentar dengan keluarganya dengan percakapan yang menyenangkan.
Dari Aisyah RA, dia berkata, “Pada suatu hari raya, orang-orang berkulit hitam mempertontonkan permainan perisai dan lembing. Aku tidak ingat apakah aku yang meminta atau Nabi SAW yang berkata padaku, ‘Adakah engkau ingin melihatnya?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Lalu baginda menyuruhku berdiri di belakangnya. Pipiku merapat ke pipi baginda. Baginda berkata, ‘Teruskan permainan kalian, wahai Bani Arfidah!’ Hingga ketika aku merasa bosan, baginda bertanya, ‘Adakah kamu sudah puas?‘ Aku jawab, ‘Ya.’ Baginda berkata, ‘Kalau begitu, pergilah!‘” [HR Bukhari dan Muslim]
Dalam hadis lain dikisahkan bahawa Nabi SAW mengajak Aisyah RA untuk berlumba lari. Aisyah berkata bahawa saat itu baginda menemani Nabi SAW beserta sahabat dalam perjalanan tertentu. Pada saat itu, Aisyah RA tidaklah gemuk atau besar. Nabi SAW meminta para sahabatnya meneruskan perjalanan lebih dahulu, kemudian berkata kepada Aisyah RA, “Ayuh, mari kita berlumba.” Hasilnya, Aisyah RA berlari cukup tangkas dan mengalahkan Nabi.
Suatu ketika, Aisyah RA kembali menemani Nabi SAW dalam suatu perjalanan. Nabi pun kembali mengajaknya berlumba lari. Namun, kali ini Aisyah RA gagal mengalahkan Nabi SAW kerana badannya sudah mulai gemuk. Nabi SAW kemudian tertawa dan berkata bahawa itulah balasan dari yang sebelumnya.
- Makan sepiring berdua dan minum segelas berdua
Terkadang Baginda Nabi SAW makan sepiring yang sama dengan Saidatina Aisyah RA, kemudian minum segelas berdua. Nabi SAW mencari bekas bibir Aisyah RA pada gelas, di situ Nabi minum. Itu adalah akhlak yang Nabi SAW tunjukkan.
Dikhabarkan dalam sebuah hadis, “Terkadang Rasulullah SAW dihidangkan sebuah bekas (air) kepadanya, kemudian aku minum dari bekas itu sedangkan aku dalam keadaan haid. Lantas Rasulullah SAW mengambil bekas tersebut dan meletakkan mulutnya di bekas tempat minumku. Terkadang aku mengambil tulang (yang ada sedikit dagingnya) kemudian memakan bahagian darinya, lantas Rasulullah SAW mengambilnya dan meletakkan mulutnya di bekas mulutku.” [HR Ahmad]
- Mengusap air mata isteri.
Dalam sebuah hadis yang diriwiyatkan oleh Anas bin Malik RA, dijelaskan bahawa Rasulullah SAW dilihat mengusap air mata isterinya.
“Suatu ketika, Safiyah bersama Rasulullah SAW dalam perjalanan, sedangkan hari itu adalah gilirannya. Safiyah sangat lambat berjalan sehingga Rasulullah SAW menghadap kepadanya, sedangkan dia menangis dan berkata, ‘Engkau membawaku di atas unta yang lambat.’ Kemudian Rasulullah SAW menghapus air mata Safiyah dengan kedua-dua tangannya.” [HR Nasa’i].
- Melayani isteri dengan baik.
Diriwayatkan dari Ali bin Husein RA, dia berkata, “Suatu ketika Nabi SAW berada di masjid (Nabawi), sedangkan isteri-isterinya ada berhampirannya, kemudian mereka pulang. Rasulullah SAW bersabda kepada Safiyah binti Huyay, ‘Jangan tergesa-gesa agar aku dapat pulang bersamamu.’” [HR Bukhari].
Dalam riwayat lain disebutkan, “Safiyah, isteri Rasulullah SAW menceritakan bahawa beliau pernah datang mengunjungi Nabi SAW ketika sedang melakukan i’tikaf di sepuluh hari terakhir Ramadhan. Safiyah berbicara berhampiran baginda beberapa saat, kemudian berdiri untuk kembali. Nabi SAW juga ikut berdiri untuk menghantarkannya.“ [HR Bukhari dan Muslim]
Selain itu, cara istimewa Rasulullah SAW memanjakan isterinya adalah dengan melayaninya saat sakit. Diriwayatkan oleh Aisyah RA, “Rasulullah SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda orang yang paling lembut dan banyak menemani isterinya yang sedang mengadu atau sakit.” [Muttafaq ‘alaih].
Demikian sekelumit gambaran kehidupan pernikahan Rasulullah SAW dengan para isterinya. Kehidupan pernikahan yang penuh cinta dan kasih sayang. Rasulullah SAW sebagai suami sangat memahami isteri-isterinya dan bergaul romantis dengan mereka. Sungguh tidak ada tandingannya kebaikan baginda SAW dalam berinteraksi dengan isteri-isterinya. Menjalin keakraban dengan pasangan akan membuat cinta makin mekar dan kasih sayang menjadi lebih besar. Ini adalah modal yang sangat penting agar pasangan suami isteri mampu mendekat pada tujuan dan visi pernikahan, iaitu kehidupan rumah tangga yang sakinah mawaddah dan penuh rahmat Allah SWT. Wallahu’alam bissawab.