[Tafsir Al-Quran] Memenangkan Islam atas Semua Agama [Tafsir Surah Al-Fath (48): 28]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدٗا ٢٨
“Dialah Tuhan yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar supaya Dia memenangkan semua agama. Cukuplah Allah sebagai saksi.” [TMQ Al-Fath (48): 28].
Dalam ayat sebelumnya telah diberitakan tentang kebenaran mimpi Rasulullah SAW. Dalam mimpinya, baginda melihat umat Islam dapat memasuki Masjidil Haram dengan selamat dan menyempurnakan ibadah umrah sehingga selesai tanpa rasa takut akan gangguan musuh. Mimpi itu masih belum terwujud ketika Rasulullah SAW dan umat Islam menunaikan umrah pada tahun Hudaibiyah. Sejarah membuktikan, tahun hadapannya, impian Rasulullah SAW menjadi realiti.
Kemudian ayat ini memberi khabar gembira kepada orang yang beriman dengan pertolongan kepada Rasulullah SAW ke atas musuh-musuhnya dan semua penduduk bumi.[1]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman,
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ ٢٨
“Dialah Tuhan Yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar.”
Dalam ayat ini diberitakan bahawa Allahlah Yang mengutus RasulNya. Perkataan rasûlahu (RasulNya) yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad SAW.[2] Baginda diutuskan dengan membawa « الهْدُى » (petunjuk) dan « دِيْنِ الحَقِّ » agama yang benar).
Dari segi bahasa, makna « الهدى » ialah « الرشاد والدلالة » (penjelasan dan petunjuk).[3] Menurut Syihabuddin al-Alusi yang dimaksudkan dengan « الهدى » di sini ialah [ الدليل الواضح والحجة الساطعة ] (dalil yang jelas dan hujah yang terang) atau al-Quran.[4]
Petunjuk dari Allah itulah sebenar-benar petunjuk. Malah satu-satunya petunjuk yang benar (Lihat: Surah Al-Baqarah [2]: 120).
Sementara frasa « دِيْنِ الْحَقِّ » (agama yang benar) merujuk kepada agama Islam.[5] Maksud al-haqq di sini adalah berlawanan dengan perkataan al-bâtil. Ia juga adalah salah satu dari nama Allah SWT.[6] Islam sememangnya agama dari Allah SWT dan satu-satunya agama yang Dia redhai sesudah Rasulullah SAW diutus [Lihat: Surah Ali Imran (3): 19].
Menurut Muhammad al-Amin al-Harari, maksud al-haqq di sini ialah at-thâbit (kekal, tetap) yang menasakh atau menghapuskan dan membatalkan semua agama.[7]
Maka, semua agama selain Islam adalah batil. Ini juga termasuk agama-agama yang diturunkan Allah SWT kepada nabi dan rasul terdahulu. Ini kerana walaupun agama-agama ini berasal dari Allah, semuanya sudah dinasakh dengan Islam. Oleh sebab itu, ahli kitab disebut dalam al-Quran sebagai orang yang tidak beragama dengan agama yang benar [Lihat: Surah At-Taubah (9): 2].
Dua perkara ini, iaitu hidayah dan Islam diberikan kepada Rasulullah SAW sebagai utusanNya untuk ditujukan kepada semua manusia, tanpa terkecuali. Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Dialah Tuhan yang mengutus RasulNya Muhammad SAW dengan membawa keterangan yang jelas dan agama yang benar, iaitu Islam. Dialah yang mengutusnya sebagai penyeru makhlukNya kepada diriNya.”[8]
Kemudian Allah SWT berfirman,
وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدٗا
“…untuk Dia menangkan atas semua agama.”
Dari segi bahasa perkataan « الظهر » bermaksud salah satu anggota tubuh manusia. Lebih tepatnya, bahagian belakang. Walau bagaimanapun, perkataan itu digunakan untuk pelbagai makna. Antaranya perkataan « ظهر عليه » bermaksud « غلبه » (mengalahkan).[9]
Pada asalnya, perkataan « الإظهار » bermaksud « جعل الشيء على الظهر » (menjadikan sesuatu di bahagian belakang, permukaan). Oleh itu, ia kemudian digunakan untuk merujuk kepada « الإعلاء » (meninggikan); atau « جعله باديا للرائي » (membuat sesuatu kelihatan kepada mereka yang melihat). Makna ini kemudiannya menjadi haqiqah ‘urfiyyah. Kalimat « إظهاره على الحق » bermaksud menasakh beberapa hukum yang diubah akibat perubahan zaman. Kalimat « على الباطل » bermaksud menjelaskan kebatilannya. Kalimat « إظهاره على الدين » adalah untuk memberi kuasa kepada umat Islam ke atas semua penganut agama.
Kemudian frasa ad-dîn kullihi bersifat umum, meliputi semua agama selain Islam. Ibnu Kathir berkata, “Frasa [ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ] bermaksud atas penganut semua agama di muka bumi ini, baik Arab mahupun bukan Arab, ahlul millah atau musyrik.”[10]
Az-Zamakhsyari juga berkata, “Yang dimaksudkan dengan frasa « الدِّينِ كُلِّهِ » adalah semua jenis agama dari pelbagai agama, baik agama orang musyrik mahupun orang yang ingkar dari kalangan ahli kitab. Sesungguhnya Allah SWT merealisasikannya. Oleh itu, sesungguhnya engkau tidak akan melihat agama lain, kecuali Islam, kejayaan dan kemenangan atas agama lain.”
Menjelaskan ayat ini, Imam Al-Qurthubi berkata, “Dia meninggikan agamaNya atas segala agama.”[11]
Ahli tafsir tersebut menyatakan ada yang berpendapat, “Supaya Dia memenangkan RasulNya atas semua agama, iaitu atas agama yang disyariatkanNya dengan hujah, kemudian dengan tangan dan pedang, dan menasakh (menghapuskan) semua agama lain. “[12]
Menurut Az-Zuhaili, maksud “Allah memenangkan Islam atas semua agama” ialah meninggikan agamaNya di atas semua jenis agama dengan menasakh apa yang sebelum ini benar, menjelaskan kerosakan semua yang sebelum ini batil. Ini adalah penegasan terhadap janji al-fat-h (kemenangan atau penaklukan).[13]
Jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya, ayat ini merupakan penjelasan dan penegasan tentang kebenaran mimpi Rasulullah SAW. Sebelum itu, Nabi SAW bermimpi bahawa umat Islam dapat memasuki Mekah dan Masjidil Haram serta menyempurnakan ibadah umrah sehingga selesai dengan aman dan tidak takut dengan ancaman musuh. Beliau juga menceritakan mimpi itu kepada kaum muslimin. Namun, setelah baginda dan kaum muslimin pergi ke Mekah pada tahun tersebut, mereka telah disekat oleh orang kafir Quraisy sehingga tidak dapat masuk ke tanah haram. Kemudian berlaku Perjanjian Huadibiyah yang antara isi kandungannya: Rasulullah SAW dan umat Islam perlu pulang semula tanpa dibenarkan masuk ke Mekah pada tahun itu. Mereka hanya akan dibenarkan pada tahun berikutnya. Sebahagian daripada mereka merasa kecewa.
Kekecewaan mereka reda apabila mendapat penjelasan Rasulullah SAW bahawa mimpinya tidak bermakna ia mesti berlaku pada tahun itu. Kemudian Allah mengesahkan kebenaran mimpi itu dan kejadian yang akan berlaku. Hal ini diberitakan dalam ayat sebelumnya:
لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡيَا بِٱلۡحَقِّۖ ٢٧
“Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada RasulNya kebenaran mimpinya dengan sebenarnya.” [TMQ al-Fath (48): 27].
Juga firmanNya dalam ayat ini:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ
“Dialah Tuhan yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar.”
Dalam ayat ini, ia bukan sekadar dapat masuk ke Mekah, Masjidil Haram dan menunaikan ibadah umrah, tetapi ia jauh lebih besar daripada itu. Mengenai ayat ini, Al-Khazin berkata, “Di dalamnya terdapat penjelasan tentang al-fat-h (kemenangan, penaklukan) dan kaum muslimin memasuki Mekah.”[14]
Peristiwa yang diberitakan dalam ayat ini, iaitu kekalahan semua agama yang ada di muka bumi ini belum lagi berlaku pada zaman Nabi SAW sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam ayat sebelumnya. Masuknya umat Islam ke Mekah, Masjidil Haram, dan menunaikan umrah secara damai dan tanpa rasa takut akan ancaman sebenarnya berlaku pada tahun berikutnya.
Menurut As-Syaukani, janji Allah SWT ini, alhamdulillah, telah berlaku. Islam telah mengalahkan semua agama dan semua penganut agama telah dikalahkan oleh Islam.[15]
Namun jika berdasarkan penjelasan ulama berkenaan dengan maksud frasa: [ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ] yang merangkumi semua agama yang ada di muka bumi yang belum berlaku, maka sebahagian agama memang telah dikalahkan, tetapi belum semuanya. Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, keadaan ini sebenarnya berlaku selepas turunnya Isa bin Maryam yang membunuh Dajal. Mufasir itu berkata, “Supaya Dia dengan Islam membatalkan semua agama lain sehingga tidak ada agama selain Islam. Ini berterusan sehingga Isa bin Maryam turun dan membunuh Dajal. Pada masa itu, semua agama selain agama Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dibatalkan. Dia memenangkan Islam atas semua agama.” [16]
Kemudian ayat ini diakhiri dengan firmanNya,
وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدٗا
“Cukuplah Allah sebagai saksi.”
Menurut Al-Qurthubi, huruf al-bâ‘ dalam frasa [بالله] ialah zâidah (penambahan). Oleh itu, ayat ini bermaksud: « كَفَى الله شهِيدًا » (Cukuplah Allah menjadi saksi).[17]
Menurut ahli tafsir, perkara yang Allah menjadi saksi ialah kenabian Rasulullah SAW. Al-Khazin berkata, “Cukuplah Allah menjadi saksi bahawa baginda adalah utusanNya.”[18]
Ibn Kathir juga berkata, “Baginda adalah utusanNya dan Dia adalah penolongNya.”[19]
Imam al-Qurthubi juga berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksi bagi NabiNya. PersaksianNya kepadanya ialah menerangkan kebenaran kenabian baginda dengan mukjizat.”[20]
Ada juga yang mengatakan bahawa perkara yang Allah menjadi saksi adalah kemenangan yang dijanjikanNya. As-Syaukani berkata, “Cukuplah Allah menjadi saksi atau kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam dan kebenaran nubuat Nabi SAW.”[21]
Mengenai makna ayat ini secara keseluruhan, Ibnu Jarir berkata, “Ini adalah pemberitahuan dari Allah SWT kepada NabiNya SAW dan beberapa sahabatnya yang tidak menyukai Perjanjian Hudaibiyah, bahawa Allah SWT akan menaklukkan Mekah dan negeri-negeri lain untuk menghiburkan mereka dari kesusahan dan kesedihan yang mereka alami kerana mereka meninggalkan Mekah sebelum mereka memasuki kota itu dan tawaf di Baitullah.”[22]
Demikianlah. Ayat ini menyatakan bahawa Dialah Allah Yang mengutus Rasulullah SAW dengan membawa petunjuk dan agama yang benar. Dia juga yang akan memenangkan Islam atas semua agama tanpa terkecuali. Inilah berita dan janji Allah, yang janji-janjiNya pasti benar dan menjadi kenyataan. Dia tidak akan melanggar janjiNya dan pasti akan dapat menunaikan janjiNya. Tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangiNya, Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah Tuhan bumi, langit dan segala isinya. Masih adakah yang meragui kemenangan Islam ke atas semua agama? Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
1 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 360
2 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 16 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1964), 291
3 Abu Bakar al-Razi, Mukhtâr al-Shihhah (Beirut: Maktabah al-‘Ashriyyah, 1999), 325
4 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 275
5 Al-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabiyy, 1987), 346; Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994), 65; Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 275; Al-Zuhaili, Al-Tafsîr al-Munîr, vol. 26 (Damsyiq: Dar al-Fikr al-Mu’ashir, 1998), 200
6 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 275
7 Al-Harari, Hadâiq al-Rûh wa al-Rayhân, vol. 27 (Beirut: Dar Thauq al-Najah, 2001), 205
8 Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qurân, vol. 22 (tt: al-Risalah, 2000), 260
9 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), 540
10 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 7, 360
11 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 16, 291
12 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 16, 291
13 Al-Zuhaili, Al-Tafsîr al-Munîr, vol. 26, 200
14 Al-Khazin, Lubâal-Ta‘wîl fîMa’ânî al-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 172
15 Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 65
16 Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qurân, vol. 22, 260
17 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 292
18 Al-Khazin, Lubâal-Ta‘wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 4, 172
19 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur‘ân al-‘Azhîm, vol. 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 360
20 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 16, 292
21 Al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 65
22 Al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qurân, vol. 22, 260