[Tarikh Khulafa] Kejayaan Sultan Muhammad I memulihkan Daulah Uthmaniyyah daripada kemerosotan
Penulis: Nabila Ummu Anas
Sultan Muhammad I dilahirkan pada tahun 781 H. Baginda berkhidmat sebagai ketua negara selepas kematian ayahandanya, Bayazid. Dalam sejarah beliau dikenali sebagai Muhammad Jalabi.
Semasa pemerintahannya, beliau telah mengambil bahagian dalam 24 peperangan dan mengalami 40 luka di badannya. Sultan Muhammad Jalabi berjaya menyekat perang saudara yang menimpa Daulah Uthmaniyyah. Beliau mempunyai semangat yang tinggi, kecerdasan, wawasan yang luas, dan mampu menguasai saudara-saudaranya satu persatu. Beliau dapat mengendalikan urusan ini secara independen dan akhirnya beliau memerintah sebagai sultan.
Dianggap sebagai Pengasas Daulah Uthmaniyyah yang Kedua
Beliau menghabiskan lapan tahun pemerintahannya untuk membangunkan semula Daulah Uthmaniyyah yang hampir runtuh dan mengukuhkan asasnya.
Sesetengah ahli sejarah menganggap beliau sebagai pengasas kedua Empayar Uthmaniyyah. Ini kerana sebelum itu tentera Tartar di bawah pimpinan Timur Lenk berjaya mengalahkan tentera Sultan Bayazid I dan memusnahkan wilayah Daulah Uthmaniyyah.
Timur Lenk dan tenteranya menguasai wilayah Daulah Uthmaniyyah selama setahun, kemudian mereka meninggalkan negara itu dalam keadaan yang merosot, berlakunya perang saudara dan penuh huru-hara dalam negara.
Selepas menguasai pemerintahan, Sultan Muhammad I berjaya mengembalikan wilayah-wilayah yang terlepas daripada kekuasaan Daulah Uthmaniyyah. Dengan segala kebolehan yang ada, Sultan Muhammad I berjaya menyatukan kembali kekuatan Daulah Uthmaniyyah yang masih ada sehingga menjadi dinamik dan akhirnya negara ini umpama dilahirkan semula.
Tidak lama selepas tragedi Ankara yang menyayat hati, di bawah pimpinan Sultan Muhammad I, Daulah Uthmaniyyah bangkit semula daripada runtuhan. Air kehidupan dan syariat kembali mengalir dalam urat nadi Daulah Uthmaniyyah.
Strategi Sultan Muhammad I
Salah satu perkara yang paling mengagumkan tentang Sultan Muhammad I ialah beliau dapat menggabungkan antara keazaman yang kuat dengan kesabaran dalam memperlakukan orang-orang yang mampu ditundukkannya di antara orang-orang yang memberontak terhadap pemerintahannya.
Ketika mana dia dapat mengalahkan pemimpin wilayah Kerman yang sebelumnya dia telah membebaskan dirinya, dia memaafkannya setelah bersumpah dengan al-Quran bahawa dia tidak akan mengkhianati Daulah Uthmaniyyah lagi. Kemudian Sultan Muhammad I sekali lagi memaafkannya apabila dia mungkir janji buat kali kedua.
Dasar ini bertujuan untuk membangunkan semula Daulah Uthmaniyyah dan penyatuan dalaman. Beliau juga berjaya menumpaskan pemberontakan yang datang dari Asia dan Eropah. Sultan Muhammad I juga berjaya menaklukkan beberapa pemerintahan di Asia yang sebelum ini telah dibangkitkan oleh Timur Lenk. Negara-negara ini tunduk dan taat di bawah pemerintahan Daulah Uthmaniyyah.
Pemimpin yang Dicintai Rakyat
Sultan Muhammad I sukakan syair, sastera dan seni. Beliau merupakan sultan Daulah Uthmaniyyah yang pertama kali menghantar hadiah tahunan kepada pemimpin Mekah. Hadiah tahunan ini dikenali sebagai shurrah, iaitu sejumlah wang yang dihantar kepada seorang pemimpin untuk diagihkan kepada orang-orang miskin yang tinggal di kota Mekah dan Madinah.
Warga Daulah Uthmaniyyah sangat menyayangi Sultan Muhammad I dan mereka memberikan gelaran pahlawan kepada beliau. Gelaran ini diberikan kerana aktiviti beliau yang sangat banyak dan keberaniannya serta pekerjaan-pekerjaannya yang mulia.
Kebijakannya dalam memimpin menjadikan wilayah Daulah Uthmaniyyah dikelilingi oleh keamanan dan keselamatan. Selain itu, akhlaknya yang baik, tingkah laku yang lemah lembut, kewibawaannya, dan kecintaannya kepada keadilan dan kebenaran membuatkan orang ramai menyayanginya. Perasaan cinta dan kagum inilah yang menyebabkan mereka memberinya gelaran Jalabi, gelaran untuk memuliakan dan menghormatinya yang mengandungi maksud kewibawaan dan kesatriaan.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sebaik-baik pemimpin kalian adalah orang-orang yang kalian cintai dan mencintai kalian, kalian mendoakan mereka dan mereka pun mendoakan kalian. Dan seburuk-buruk pemimpin kalian adalah orang-orang yang kalian benci dan membenci kalian, kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian.” [HR Imam Muslim].
Sultan Muhammad Jalabi dianggap sebagai Sultan Daulah Uthmaniyyah yang mulia. Ahli sejarah Timur dan Yunani mengiktiraf sifat kemanusiaannya yang tinggi. Tokoh-tokoh sejarah Turki Uthmaniyah menganggap beliau sebagai seorang kapten yang bijak dan mampu mengawal kapal-kapal Daulah Uthmaniyyah di tengah-tengah pelbagai ancaman ribut besar dalam bentuk serangan pasukan tentera Timur Lenk dan konflik dalaman serta pelbagai fitnah agama.
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Utsmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura