[KAPSUL SYAWAL] Kesatuan dan Kemenangan Umat Islam di Aidilfitri
“MUKMIN IBARAT SATU TUBUH”
Hari raya Aidilfitri adalah hari raya Umat Islam yang disambut bersama-sama setelah berakhirnya Ramadhan. Memiliki sikap kebersamaan, saling bermaafan, saling hormat menghormati dan berkasih sayang kerana Allah di hari yang mulia ini merupakan perkara yang menjadi ciri kesempurnaan iman seseorang Muslim sebagaimana sabda Nabi saw:
“Sesiapa sahaja yang mencintai kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurna imannya.” [HR Abu Dawud dan Tirmizi]
Namun, ingatlah sikap kebersamaan sesama Umat Islam tidaklah hanya berhenti di bulan Syawal atau dalam lingkungan masyarakat yang kecil. Sikap ini mestilah diteruskan dalam kehidupan seharian kita dalam skala yang lebih besar, iaitu menyedari umat islam di luar negara adalah saudara kita seperti mana saudara sedarah daging kita sendiri. Allah SWT berfirman:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh Rahmat” [TMQ Al Hujurat (49) : 10].
Tatkala saudara kita yang berada di Palestin di bunuh, diseksa, diperlakukan seperti binatang, kita sepatutnya merasai keperitan mereka dan berusaha berjuang menyelamatkan mereka daripada kekejaman Rejim Zionis Israel. Rasulullah SAW bersabda:
“Orang-orang Mukmin itu ibarat satu tubuh. Apabila satu anggota badan sakit, maka seluruh tubuh turut merasa sakit dengan demam dan tidak dapat tidur.” [HR Muslim]
Semoga Syawal ini adalah syawal terakhir yang menyaksikan penindasan Umat Islam di Palestin dan di tempat-tempat yang lain. Semoga Syawal ini adalah syawal terakhir Umat Islam tanpa benteng iaitu Khilafah yang akan mengerahkan kekuatan ketenteraan bagi mengakhiri kekejaman kafir laknatullah. Ayuh Umat Islam, bangkit dan jadilah satu tubuh!