Awas!! Haram Nikahi Wanita Ini
Oleh: Maryam Ismail
Muqaddimah
Terlalu banyak kes dilaporkan yang melibatkan keruntuhan institusi perkahwinan di Malaysia. Salah satu kes yang mengejutkan adalah pengakuan seorang peguam Mahkamah Syarie pada tahun 2020 mengenai seorang bapa yang terlanjur mengandungkan anak perempuannya sendiri. Lebih menyedihkan, isterinya yang juga ibu kepada anak perempuan tersebut mengizinkan perbuatan ini. Malah, isteri tersebut sanggup melakukan pengorbanan untuk anak perempuannya dengan menyarankan supaya mereka berdua berkahwin agar anak yang bakal lahir itu dapat dinasabkan kepada bapa sehingga ibu dan ayah tadi sanggup bercerai.
Definisi Mahram
Islam telah menetapkan garis panduan dalam proses menuju ke gerbang perkahwinan, antaranya bakal pasangan suami isteri wajib memastikan bahawa mereka tidak mempunyai hubungan mahram antara satu sama lain. Dari sudut bahasa, mahram bermaksud larangan. Ibnu Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi sama ada secara sementara atau kekal. Dalam kamus Al-Mu’jam Al-Wasith juga dinyatakan bahawa mahram adalah zul-hurmah yang merujuk kepada wanita yang haram dinikahi dan membolehkan wanita berdua-duaan atau keluar bersama lelaki tersebut.
Wanita yang mahram dibahagikan kepada dua kategori iaitu Mahram Mu’aqqat dan Mahram Mu’abbad. Mahram Mu’aqqat adalah wanita yang dilarang dikahwini untuk sementara waktu kerana sebab-sebab tertentu. Namun jika sebab tersebut hilang, maka wanita tersebut boleh dikahwini. Jika akad perkahwinan dijalankan sebelum halangan tersebut hilang, maka akad perkahwinan tersebut adalah batal. Mahram Mu’abbad pula merujuk kepada wanita yang haram dinikahi secara mutlak berdasarkan faktor nasab (hubungan keturunan), mushaharah (hubungan kerana pernikahan) dan ar-radhaa’ah (hubungan sepersusuan). Definisi ini diambil daripada kitab Fiqh Sunnah monumental karya Syeikh Syed Sabbiq, salah seorang pensyarah di Universiti Islam Madinah.
Mahram Mu’aqqat
Wanita-wanita yang termasuk dalam kategori Mahram Mu’aqqat adalah seperti berikut:
- Menikahi dua beradik perempuan pada masa yang sama, sama ada adik beradik kandung atau adik beradik susuan. Allah SWT berfirman, “Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu) kecuali yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah MahaPengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ an-Nisa’(4):23].
Keharaman ini akan hilang jika isteri pertama meninggal dunia atau bercerai dan tempoh
iddahnya telah tamat, maka lelaki tersebut boleh mengahwini adik-beradik bekas isterinya.
- Memadukan seorang wanita dengan ibu saudaranya. Abû Hurayrah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,“Janganlah seorang lelaki menghimpun seorang wanita dengan ibu saudaranya (dari pihak bapanya) dan jangan pula antara dia dengan ibu saudaranya (dari pihak ibunya).” [Muttafaq ’alayhi]
- Berkahwin dengan wanita yang sudah bersuami. “Dan (haram kamu berkahwin) dengan wanita yang bersuami” [TMQ An-Nisa’ (4):24]
Selain daripada itu, wanita musyrik, wanita yang masih berada dalam tempoh iddah serta wanita yang dijatuhkan talak tiga juga termasuk dalam ketegori Mahram Mu’aqqat yang mempunyai sandaran dalil keharamannya yang sementara.
Mahram Mu’abbad
Wanita yang haram dinikahi secara mutlak boleh difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud:
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita berikut) iaitu ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [TMQ An-Nisa’(4): 23]
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani RH di dalam kitabnya Nizhamul Ijtima’ie (Sistem Pergaulan dalam Islam) merumuskan wanita yang haram dinikahi secara mutlak adalah seperti berikut:
- Ibu dan setiap wanita yang berhubungan nasab dengannya melalui kelahiran, contohnya ibu kandung, nenek sebelah ibu dan ayah, ibu kepada nenek dan ke atas sebelah ibu dan ayah.
- Adik-beradik kandung seibu sebapa, adik-beradik kandung seayah dan adik-beradik kandung seibu.
- Ibu saudara sebelah ibu dan ayah, dan ke atasnya.
- Anak saudara seibu dan seayah, anak saudara seayah, dan anak saudara seibu.
- Ibu susuan termasuk jalur seterusnya ke atas sepersusuan seperti nenek, dan anak kandung daripada ibu susuan atau setiap anak susuan lain yang turut disusui ibu.
- Ibu dan ayah mertua baik selepas bercampur atau belum.
- Anak tiri.
Khatimah
Islam menggalakkan kita saling mengenali antara satu sama lain dalam mempererat hubungan keluarga. Ziarah menziarahi dan menghadiri walimatul urus sanak saudara dapat memberi ruang untuk bersilaturahim. Salah satu hikmahnya adalah kita dapat saling mengenali dan mengetahui tanggungjawab kita terhadap ahli keluarga serta batasan hubungan kita dengan mereka. Oleh itu, penting bagi kita untuk mengenali mereka agar tidak terjadi perkahwinan dengan wanita-wanita yang haram dinikahi.
Wallahu a’lam.