[Tafsir Al-Quran] Perjalanan Hidup Manusia [Tafsir Surah ‘Abasa (80): 17-23]
Penulis: K.H. Rochmat S. Labib, M.E.I.
قُتِلَ الإِنْسانُ ما أَكْفَرَهُ * مِنْ أَيِّ شَيْءٍ خَلَقَهُ * مِنْ نُطْفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ * ثُمَّ السَّبِيلَ يَسَّرَهُ * ثُمَّ أَماتَهُ فَأَقْبَرَهُ * ثُمَّ إِذا شاءَ أَنْشَرَهُ * كَلاَّ لَمَّا يَقْضِ ما أَمَرَهُ *
“Binasalah manusia, alangkah besar kekafirannya. Dari apakah Allah menciptakannya (orang kafir itu)? Dari setitis manilah Allah ciptakan, kemudian Dia tentukan. Kemudian Dia memudahkan jalannya. Kemudian Dia mematikan manusia dan memasukkan dirinya ke dalam kubur. Kemudian bila Dia menghendaki, Dia membangkitkan manusia itu kembali. Sekali-kali jangan, manusia itu belum melaksanakan apa yang telah Allah perintahkan kepadanya.” [TMQ ‘Abasa (80): 17-23]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, “Qutila al-insân mâ akfarahu (Binasalah manusia; alangkah besar kekafirannya).” Perkataan qutila dalam ayat ini bermaksud lu’ina (dilaknat). Ini menurut Ibnu Abbas RA, Abu Malik, Ibnu Jarir at-Thabari, Imam Al-Qurthubi, As-Syaukani, Al-Khazin, dan lain-lain. [1]
Yang dimaksudkan dengan al-insân (manusia) di sini ialah al-insân al-kâfir (manusia yang kafir). [2] Ibnu Kathir juga berkata, “Ini adalah merujuk kepada jenis manusia yang mendustakan, disebabkan banyak melakukan pengingkaran tanpa alasan, bahkan hanya kerana ingin menjauhkan diri dan tanpa asas ilmu.” [3]
Mujahid berkata, “Semua lafaz qutila al-insân dalam al-Quran adalah bermaksud orang kafir.” [4]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, perkataan qutila al-insân adalah doa keburukan bagi manusia. Itulah doa yang paling buruk atau kasar buat mereka kerana al-qatl (pembunuhan) adalah puncak rasa sakit di dunia. Adapun mâ akfarahu adalah peringatan terhadap sikap keterlaluan mereka dalam mengingkari nikmat Allah SWT. Oleh itu, firmanNya, “qutila al-insânu,” adalah peringatan bahawa mereka berhak mendapat hukuman yang paling berat. [5]
Kemudian dinyatakan, “Mâ akfarahu.” Perkataan mâ dalam ayat ini ialah al-istifhâmiyyah (kalimat tanya). Maksudnya: Ayyu syai‘[in] akfarahu (apa yang menyebabkannya menjadi ingkar). Ini menurut Ibnu Abbas. [6] Menurut Al-Alusi, maknanya ialah: tidak ada satu pun alasan yang membolehkan manusia untuk kafir. [7]
Ada juga yang memaknakan frasa tersebut sebagai at-ta’ajjubiyyah (menunjukkan rasa hairan). Kebiasaan orang Arab, jika mereka hairan dengan sesuatu, mereka berkata, “Qatalahul-lâh mâ ahsanahu, wa akhzâhul-lâ mâ azhlamahu.” [8] Maksudnya hairan dengan kekufuran manusia padahal Allah SWT telah memberikan kebaikan kepadanya; di samping itu ubun-ubun mereka juga berada di tanganNya. Ini menurut Ibnu Jarir at-Thabari. [9]
Kemudian Allah SWT berfirman, “Min ayyi sya‘i[n] khalaqahu (Dari apakah Allah menciptakan manusia?).” Menurut Imam Al-Qurthubi, ayat ini bermaksud, “Min ayyi syai‘[in] khalaqal-lâh hazâ al-kâfir fayatakabbaru (Dari apakah Allah SWT menciptakan orang kafir tersebut sehingga mereka takabbur?).” Maksudnya, mereka dibuat hairan dengan kejadiannya. [10]
Ibnu Jarir juga berkata, “Daripada apakah diciptakan manusia yang ingkar kepada Tuhannya sehingga dia bersikap takabbur, tidak mahu mentaati Tuhannya dan tidak membenarkan tauhid?” [11]
Menurut Fakhruddin ar-Razi, ini adalah istifhâm (kalimat tanya) yang tujuannya untuk mengukuhkan sikap meremehkan mereka. [12] Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh As-Syaukani, sambil memetik ucapan Al-Hasan yang berkata, “Bagaimana seseorang yang keluar dari jalan kencing dua kali itu boleh bersikap sombong?” [13]
Ada juga yang mengatakan bahawa istifhâm tersebut berguna li al-tahqîr (untuk melecehkan). [14]
Kemudian Allah SWT menjelaskan asal-usul kejadian manusia dengan firmanNya, “Min nuthfat[in] khalaqahu faqaddarahu (Dari setitis manilah Allah menciptakannya, kemudian Dia tentukan).” Ditegaskan bahawa mereka dicipta dari nutfah. Perkataan an-nuthfah bermaksud al-mâ‘ as-shâfî (air yang jernih). Perkataan tersebut juga digunakan untuk merujuk kepada air mani lelaki. [15] Makna inilah yang dimaksudkan oleh ayat ini.
Menurut Ibnu Kathir, Allah SWT telah menjelaskan bagaimana Dia menciptakan manusia daripada sesuatu yang hina; Dia juga mampu untuk mengembalikan manusia kepada keadaan asal. [16] Menurut Fakhruddin ar-Razi, tidak diragukan bahawa an-nuthfah adalah sesuatu yang rendah dan hina. Ia bermakna sesiapa yang asalnya daripada sesuatu yang hina tidak layak untuk bersikap angkuh dan sombong. [17]
Ditegaskan juga, “Faqaddarahu.” Perkataan qaddara bermaksud menetapkan sesuatu dengan miqdâr (ukuran) dan sifat tertentu. Yang dimaksudkan dengan qaddara di sini ialah Allah SWT telah menetapkan manusia untuk melalui semua fasa tersebut, bermula dari nutfah, menjadi ‘alaqah sehingga menjadi bentuk akhir manusia, lelaki atau perempuan, bahagia atau celaka. [18]Ibnu Kathir berkata, “Dia telah menetapkan ajal, rezeki, dan amalnya serta menjadi bahagia atau celaka.”
Ada juga yang mentafsirkan qaddara sebagai menetapkan semua anggota badan, sama ada kuantiti mahupun kualitinya, mengikut kemaslahatannya. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan [25]: 2. [19] Menurut Ibnu Abbas, Allah SWT qaddara (telah menetapkan) dua tangannya, dua kakinya, dua matanya, dan seluruh anggota badannya, bagus atau tidak, pendek atau tinggi, celaka atau bahagia. [20]
Kemudian Allah SWT berfirman, “Thumma as-sabîl yassarahu (Kemudian Dia memudahkan jalannya).” Perkataan as-sabîl bermaksud at-tharîq (jalan). [21] Dalam konteks ayat ini, terdapat beberapa penjelasan tentang jalan yang dipermudahkan Allah SWT kepada manusia. Menurut sebahagian ahli tafsir, Allah SWT memudahkan manusia keluar dari perut ibunya. Antara yang mentafsirkan demikian ialah Ibnu Abbas RA. Pendapat yang sama dikemukakan oleh Ikrimah, Ad-Dhahhak, Abu Shalih, Qatadah, At-Thabari, Al-Khazin, dan As-Sudi. [22] Ibnu Jarir at-Thabari berpendapat bahawa makna ini lebih sesuai dengan konteks ayat kerana pemberitaan sebelum dan sesudahnya tentang sifat penciptaannya, pembentukan tubuhnya, dan perubahan-perubahan keadaannya. Maka makna ini lebih seirama dengan ayat sebelum dan sesudahnya. [23]
Sebahagian yang lain mentafsirkan as-sabîl di sini sebagai jalan kebaikan dan kejahatan. Mujahid berkata, “Dia memudahkan manusia untuk mengikuti jalan kebaikan dan kejahatan. Maksudnya, Dia telah menjelaskan kepada manusia tentangnya. Dalilnya adalah firman Allah SWT, ‘Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus [TMQ al-Insan (76): 3]’ dan firmanNya, ‘Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.’” [TMQ Al-Balad (90): 10].”
Tafsiran yang sama juga dikemukakan oleh Al-Hasan, Atha‘, dan Ibnu Abbas dalam riwayat Abu Shalih. [24] Begitu juga Al-Hasan, Ibnu Zaid, Ibnu Kathir, dan As-Syaukani. [25]
Seterusnya Allah SWT berfirman, “Thumma amâtahu fa aqbarahu (Kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur).” Setelah diberi peluang untuk hidup pada masa yang ditentukan, kemudian Allah SWT mematikan manusia. Maksudnya, Dia mencabut ruhnya dan mematikannya selepas itu. [26]
Kemudian dinyatakan, “fa aqbarahu.” Maknanya, menjadikan manusia di dalam kubur. [27Abu Ubaidah berkata, “Dia menjadikan bagi manusia kuburan dan memerintahkannya agar dikubur di dalamnya.” [28] Tidak disebutkan fa qabarahu kerana maksud al-qâbir ialah orang yang menguburkan mayat dengan tangannya. Adapun al-muqbir ialah Allah SWT. Dikatakan, “Qabara al-mayyit” jika dia yang menguburkannya; dan dikatakan, “Aqbara al-mayyit” jika dia memerintahkan orang lain untuk menjadikan mayat itu berada dalam kubur. [29]
Allah SWT berfirman, “Thumma izâ syâ‘a ansyarahu (Kemudian jika Dia menghendaki, Dia membangkitkan manusia itu semula).” Selepas dimatikan dan dimasukkan ke dalam kubur, masih ada kesinambungan fasa seterusnya bagi manusia. Inilah yang diberitakan dalam ayat ini. Yang dimaksudkan dengan ansyarahu di sini ialah menghidupkan semula. Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Kemudian apabila Allah menghendaki, Dia membangkitkan dan menghidupkan manusia itu semula selepas kematiannya.” [30]
Abu Hayyan al-Andalusi menjelaskan makna ayat ini dengan ungkapan, “Apabila telah sampai masa yang dikehendaki oleh Allah SWT, iaitu pada hari kiamat.” [31]
Frasa izâ syâ‘a, menurut Fakhruddin ar-Razi dan al-Alusi, menunjukkan bahawa masanya tidak diketahui oleh kita, sehingga memajukan atau menangguhkannya diserahkan sepenuhnya kepada kehendak Allah SWT. Adapun semua peristiwa yang disebutkan sebelum ini, masanya dapat diketahui dari beberapa aspek. Walaupun masa kematian tidak diketahui oleh manusia, secara umum diketahui bahawa ia tidak melebihi had tertentu. [32]
Allah SWT berfirman, “Kallâ lammâ yaqdhi mâ amarahu (Sekali-kali jangan; manusia itu belum melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah kepadanya).” Menurut Fakhruddin ar-Razi, perkataan kallâ adalah teguran kepada manusia kerana kesombongan dan keangkuhannya; atau kepada kekufuran dan pengingkaran yang berterusan terhadap tauhid, hari kebangkitan dan pengumpulan. [33]
Menurut Ibnu Jarir, perkataan kallâ di sini bermaksud: perkara itu bukanlah seperti yang dikatakan oleh orang itu, bahawa dia telah menunaikan hak Allah SWT terhadap dirinya dan hartanya. [34]
Adapun “lammâ yaqdhi mâamarahu” bermaksud dia tidak melakukan apa yang diperintahkan Tuhannya dan tidak menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhannya kepada dirinya. [35]
Menurut sebahagian ahli tafsir, realiti ini hanya merujuk kepada orang kafir, iaitu mereka belum melaksanakan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka, sama ada dengan melaksanakan perintah atau menjauhi larangan. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa ini terpakai kepada manusia secara umum. Mujahid berkata, “Tiada seorang pun yang dapat menunaikan apa yang diwajibkan kepadanya.” [36] Ini kerana manusia mempunyai kelemahan dan keterbatasan sehingga tidak dapat melaksanakan semua perintah Allah SWT.
Fasa-Fasa Kehidupan Manusia
Dalam ayat-ayat ini, terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil. Pertama: Ayat-ayat ini menyedarkan manusia tentang asal usul mereka. Dalam ayat ini ditegaskan bahawa manusia diciptakan daripada nutfah, setitis air mani, benda yang kelihatan hina dan menjijikkan. Ia juga keluar dari alat kelamin lelaki. Ketika itu dia langsung tiada kekuatan, malah boleh dikatakan sebagai benda mati yang boleh diperlakukan apa sahaja. Namun, dengan kasih sayangNya, Allah SWT mencipta daripada benda itu bentuk manusia. Selepas melalui beberapa fasa dan tempoh tertentu, dia berubah menjadi makhluk yang paling sempurna, bahkan disebut sebagai ahsan taqwîm, bentuk terbaik. Kemudian lahirlah menjadi seorang bayi melalui kemaluan wanita [Lihat: Surah Yasin (36): 77].
Kedua: Ayat-ayat ini mengingatkan kita tentang kepastian datangnya kematian. Selepas menjalani kehidupan, fasa yang pasti dialami oleh manusia ialah kematian. Tiada siapa boleh mengelak kejadian ini. Di mana sahaja manusia berada, walaupun berada dalam benteng yang kuat, kematian tetap akan menemuinya [lihat Surah An-Nisa (4): 78]. Tiada siapa yang tahu di bumi mana dia akan mati [lihat Surah Luqman (31): 34]; juga tidak tahu bila kematian akan tiba. Apabila ia datang, dia tak dapat memajukannya dan tidak dapat memundurkannya [lihat Surah Al-A’raf (7): 34]. Kemana sahaja manusia lari darinya, pasti kematian akan menemuinya [lihat Surah Al-Jumu’ah (72): 8]. Ini adalah peristiwa yang pasti dialami oleh setiap jiwa [lihat Surah Ali Imran (3): 185]. Pada masa itu, dia dipaksa berhenti dari semua aktivitinya. Harta yang dikumpulkan dan dibanggakan harus ditinggalkan begitu sahaja. Kekuasaan yang digenggamnya tidak dapat menolongnya, malah terpaksa dilepaskan daripada genggamannya. Isteri, anak, keluarga, saudara-mara dan kawan-kawannya juga tidak boleh diajak untuk turut serta. Satu-satunya perkara yang menemaninya adalah amal yang dilakukan semasa hidupnya di dunia.
Jika manusia mengingati kejadian ini, sudah pasti tiada sebab untuk manusia menjadi sombong dan angkuh. Terutama kepada Allah SWT, Zat yang menghidupkan dan mematikan. Kepada siapakah dia akan berlindung apabila nyawanya dicabut dan dia terpaksa menghadap Allah SWT, Penciptanya?
Ketiga: Ayat-ayat ini mengesahkan hari kebangkitan. Kematian bukanlah penamat perjalanan hidup manusia. Selepas dimatikan dan dikuburkan, suatu hari nanti mereka akan dibangkitkan bersama-sama manusia lain. Itulah yawm al-ba’thi, hari kebangkitan. Ketika itulah manusia harus bertanggungjawab atas segala perbuatan mereka. Mereka diadili di mahkamah yang sangat teliti. Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan melihatnya. Begitu juga perbuatan buruk, walaupun hanya seberat zarah, pelakunya juga akan melihatnya. Itulah mahkamah yang pastinya benar dan adil. Tiada siapa yang dianiaya atau dikhianati. Mereka tidak diberi balasan melainkan sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.
Oleh itu, sesungguhnya beruntung dan berbahagialah orang yang mengisi hidupnya dengan iman dan amal soleh; taat dan patuh kepada Allah SWT. Syurga adalah balasannya. Sebaliknya rugi dan celakalah orang yang mengisi hidupnya dengan kekufuran, kemaksiatan, dan kesombongan; serta tidak memenuhi perintah Allah SWT. Nerakalah balasan yang setimpal baginya.
Semoga kita termasuk dalam golongan manusia yang beruntung dan berbahagia.
Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
1 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 8 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 322; At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24 (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 222; Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19 (Kahera: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1964), 217; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar al-Kutub at-Thayyib, 1994), 464; Al-Khazin, Lubâb al-Ta‘wiîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 395.
2 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 217; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 464
3 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 8, 322.
4 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 217.
5 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31 (Beirut: Dar Ihya‘ at-Turath al-‘Arabi, 1420 H), 57. Pendapat yang sama juga dikemukakan oleh Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1987), 703.
6 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 218.
7 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol.15 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 246;
8 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 218.
9 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 222.
10 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 218.
11 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 223.
12 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 57. Lihat juga Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wiîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 395.
13 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 464
14 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol.15, 246.
15 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1912), 118.
16 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 8, 322
17 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 57.
18 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 5. Lihat juga At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 24, 223.
19 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 57
20 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 218.
21 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 223.
22 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 8, 322; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wiîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 395.
23 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 224.
24 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 218; At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 223.
25 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 8, 322; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 465
26 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 224.
27 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 218.
28 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 465.
29 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 58.
30 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 225. Lihat juga Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 19, 219; Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4, 703.
31 Abu Hayyan al-Andalusi, Al-Bahr al-Muhîth, vol. 10 (Beirut: Dar al-Fikr, 1420 H), 409.
32 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 58; Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol.15, 247. Lihat juga penjelasan Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wiîl, 4, 395.
33 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 31, 58. Lihat juga penjelasan As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 465.
34 Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wiil, 4, 395. Lihat juga At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 225.
35 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 225.
36 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qur‘ân, vol. 24, 225.