[Usus at-Ta’lim fi Daulah al-Khilafah] Bahan Pengajaran (Bahagian 2/4)
Penulis: Abu Yasin
Cabang-cabang bahan pengajaran di ketiga-tiga tahap sekolah meliputi:
- Bahasa Arab: bacaan, tulisan, nahwu (tata bahasa), sharaf (konjugasi), ilmu balagah (retorika), teks-teks sastera, kamus bahasa, dan lain-lain.
- Tsaqafah Islam: Al-Quran al-Karim, akidah, fikih, sunnah nabi, tafsir, sirah, fikih sirah, sejarah Islam, pemikiran- pemikiran dakwah, dan lain-lain.
- Ilmu Pengetahuan dan Kemahiran: matematik, fizik, kimia, komputer, pertanian, industri, perdagangan, latihan ketenteraan, dan lain-lain
Berikut ini penjelasannya:
- Bahasa Arab
Bahasa Arab wajib dipelajari secara syarie bagi setiap muslim. Bahasa Arab adalah bahasa Islam dan bahasa Al-Quran. Bahasa Arab merupakan bahagian inti dari kemukjizatan Al-Quran. Al-Quran tidak akan menjadi bacaan tanpa bahasa Arab dan kita beribadah juga dengan lafaz Al-Quran. Tidak mungkin berijtihad tanpa bahasa Arab kerana teks-teks (nas) syarie datang dari Allah dengan lafaz bahasa Arab. Oleh kerana itu, wajib menjadikan bahasa Arab sebagai satu-satunya bahasa dalam Negara Khilafah dan sebagai satu-satunya bahasa pendidikan dalam Negara Khilafah. Wajibnya belajar bahasa Arab berasal dari kaedah, “Tidak sempurna suatu kewajipan kecuali dengan sesuatu maka sesuatu itu menjadi wajib (hukumnya).”
Implikasinya, perlu diperhatikan kemampuan bahasa Arab dalam seluruh bahan pendidikan sekolah dan perguruan tinggi. Bahasa Arab merupakan pengantar pemikiran dan pengetahuan, baik sains mahupun tsaqafah. Agar dapat mahir dalam berbahasa Arab, maka perlu digunakan cara-cara yang efektif dan sarana yang sesuai dalam proses belajar mengajarnya, agar dapat menjadi bahasa percakapan dan pengantar pemikiran bagi seluruh warganegara.
Tujuan pendidikan bahasa Arab adalah mewujudkan kemampuan pada anak didik dalam memahami dan mengekspresikan tulisan, perkataan, dan percakapan dengan bahasa Arab yang benar. Setelah itu usaha menumbuhkan rasa bahasa (sastera) kerana hal itu akan membantu memahami nas-nas syarak dan teks-teks sastera, mewujudkan keinginan pada diri anak didik untuk mendalami ilmu-ilmu bahasa Arab, serta membantu memahami Al-Quran dan sunnah.
Mempelajari bahasa-bahasa lain hukumnya fardhu kifayah. Untuk tujuan tersebut, negaralah yang menyelenggarakannya. Misalnya dengan membangun akademi bahasa asing yang diperlukan negara untuk mengemban dakwah dan melayani urusan umat, seperti penerjemahan dan lain-lain.
*Bersambung ke bahagian 3/4
Sumber: Abu Yasin, Usus at-Ta’lim fi Daulah al-Khilafah (Strategi Pendidikan Negara Khilafah)