[Kaedah-Kaedah Taklid] Ijtihad Mujtahid adalah Hukum Syariat bagi Muqallid
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Pada dasarnya, Allah Swt. tidak memerintahkan kaum muslim untuk mengikuti pendapat seorang mujtahid. Akan tetapi, Dia hanya memerintahkan kaum muslim untuk memahami dan mengambil hukum syariat, bukan yang lain. Allah Swt. juga memerintahkan kita untuk mengambil semua ketentuan yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.. Allah Swt. telah berfirman,
“Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”(TMQ Al-Hasyr: 7).
Berdasarkan ayat ini, seorang muslim tidak diperbolehkan secara syarie mengikuti seseorang selain Rasulullah saw.. Namun demikian, fakta taklid telah menjadikan kaum muslim mengikuti hukum syariat yang digali oleh seorang mujtahid, menjadikannya sebagai imam mereka, merujuk pendapat-pendapatnya, bahkan menjadikan mereka sebagai imam mazhab.
Semua ini semata-mata dilakukan kerana keterbatasan dan ketidak-mampuan mereka dalam menggali hukum syariat secara langsung dari dalil-dalil syariat. Akibatnya, kita mengenal pengikut Imam Syafie (Syafi’iyah), Imam Abu Hanifah (Hanafiyah), Imam Malik (Malikiyah), Imam Ibnu Hanbal (Hanabilah), Zaidiyah, dan sebagainya.
Orang-orang ini, sesungguhnya bukan mengikuti imam-imam mazhab tersebut mahupun pendapat peribadi mereka, tetapi mengikuti hukum syariat yang digali oleh imam-imam mazhab tersebut. Oleh kerana itu, apa yang mereka lakukan itu tetap sah menurut syariat (syarie) disebabkan mereka hanya mengikuti hukum syariat.
Adapun jika mereka mengikuti sosok individu mujtahid tersebut, bukan mengikuti ijtihadnya (hukum syariat yang digali oleh mujtahid tersebut), perbuatan semacam ini tidak sah menurut syariat (ghair syar’i); dan apa yang diikutinya bukan termasuk hukum syariat. Ini kerana dia mengikuti pendapat seseorang yang tidak bersumber pada perintah dan larangan Allah Swt. dan Rasul-Nya.
Atas dasar itu, seorang muqallid hendaklah memahami bahawa tatkala dia mengikuti suatu mazhab, sesungguhnya dia hanya mengikuti hukum syariat yang digali oleh imam mazhab tersebut dan bukan mengikuti pendapat peribadi sang imam. Jika dia mengikuti pendapat peribadi seorang mujtahid, bukan mengikuti hukum syariat yang digali oleh mujtahid tersebut, bermakna dia tidak mengikuti Allah dan Rasul-Nya, tetapi mengikuti manusia, padahal perbuatan semacam ini adalah haram.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat