[Kaedah-Kaedah Taklid] Rasulullah Bukan Seorang Mujtahid
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Di dalam kitab Irsyad al-Fuhul disebutkan bahawa para ulama telah sepakat bolehnya Rasulullah SAW berijtihad dalam masalah-masalah keduniaan, seperti pengaturan perang, strategi-strateginya, dan sebagainya. Kesepakatan ulama dalam masalah bolehnya Nabi SAW berijtihad dalam masalah keduniaan dituturkan oleh Ar-Razi dan Ibnu Hazm. Akan tetapi, mereka berbeza pendapat mengenai bolehnya Nabi SAW berijtihad dalam masalah-masalah diniyah. Menurut Imam Syaukani, minimum ada tiga mazhab yang masyhur mengenai masalah ini:
Pertama, Nabi SAW tidak melakukan ijtihad dalam perkara-perkara diniyah (syariat) disebabkan oleh beliau selalu memutuskan berdasarkan nas yang diwahyukan kepadanya. Oleh kerana itu, beliau SAW senantiasa menunggu turunnya wahyu ketika ditanya persoalan-persoalan yang berhubungan dengan urusan diniyah. Beliau tidak pernah menurunkan suatu ketetapan hukum berdasarkan ijtihad beliau SAW, tetapi selalu menanti ketetapan langsung dari Allah Taala. Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak pernah melakukan ijtihad dalam perkara-perkara diniyah. Mazhab semacam ini dituturkan oleh Imam Abu Manshur dari ashhab ar-ra’yi. Al-Qadhi di dalam kitab At-Taqrib menyatakan bahawa semua orang yang menafikan qiyas membolehkan ijtihad bagi Rasulullah (SAW). Az-Zarkasyi menuturkan bahawa pendapat ini dipilih oleh Ibnu Hazm.
Kedua, mazhab yang berpendapat bahawa Nabi SAW boleh melakukan ijtihad. Pendapat semacam ini dipegang oleh jumhur ulama. Mereka berhujah bahawa Allah SWT telah memerintahkan Nabi SAW, sebagaimana umatnya, untuk mengkaji dan memikirkan ayat-ayat Allah Taala. Mereka juga mengetengahkan dalil-dalil yang menurut dakwaan mereka menunjukkan ijtihadnya Rasulullah SAW, yakni dalam kes pemberian izin kepada orang-orang munafik ketika perang.
Ketiga, mazhab yang berpendapat menahan diri dari pendapat tersebut di atas. Di dalam kitab Syarah ar-Risalah, Ash-Shirafi menyatakan bahawa pendapat ini dipegang oleh mazhab Syafi’i sebab Syafi’i menyatakan pendapat-pendapat tersebut, tetapi tidak memilih salah satu darinya. Pendapat ini dipilih oleh Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqilani dan Al-Ghazali.
Penjelasan tentang pendapat yang terkuat ada dalam tulisan berikutnya.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat