[Kaedah-Kaedah Taklid] Memilih Pendapat yang Terkuat tentang Rasulullah Bukan Mujtahid (Bahagian 2/3)
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Konteks pembahasan wahyu adalah memberikan peringatan, yakni menyampaikan tasyri‘ dan hukum-hukum. Allah SWT telah menyatakan hal ini di beberapa tempat,
“Katakanlah (Muhammad), ‘Sesungguhnya aku hanya memberimu peringatan sesuai dengan wahyu.’ Namun, orang tuli tidak mendengar seruan apabila mereka diberi peringatan.” (TMQ Al-Anbiya: 45).
“Tidak diwahyukan kepadaku melainkan bahawa sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang nyata.” (TMQ Shad: 70).
Ayat ini menjelaskan bahawa yang dimaksudkan wahyu adalah perkara-perkara yang dibawa (Rasulullah SAW) yang berhubungan dengan masalah akidah, hukum-hukum, dan segala perkara yang harus ditablighkan dan dijadikan sebagai peringatan dan tidak berhubungan dengan penggunaan uslub-uslub mahupun perbuatan-perbuatan beliau yang bersifat jibilliyah (tabiat), yakni perbuatan yang telah menjadi tabiat manusia, seperti berjalan, berbicara, makan, dan lain-lain.
Topik wahyu hanya berhubungan dengan perkara-perkara akidah dan hukum syariat dan tidak berhubungan dengan uslub-uslub, sarana, dan prasarana yang tidak termasuk akidah dan hukum. Atas dasar itu, setiap perkara yang dibawa oleh Rasul SAW yang beliau SAW diperintahkan untuk menyampaikannya kepada umat manusia, baik yang berhubungan dengan perbuatan mahupun pemikiran hamba, adalah wahyu dari Allah (SWT).
Wahyu di sini mencakup perkataan, perbuatan, dan diamnya Rasulullah (SAW). Allah SWT berfirman,
“Apa-apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa-apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.” (TMQ Al-Hasyr: 7).
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” (TMQ Al-Ahzab: 21).
Dengan demikian, perkataan Rasul, perbuatan, dan diamnya merupakan dalil syarak. Dengan kata lain, semuanya adalah wahyu Allah (SWT). Nabi SAW menerima wahyu dan menyampaikan sesuatu yang datang kepada beliau dari Allah SWT dan menyelesaikan setiap perkara sesuai dengan wahyu. Beliau SAW tidak pernah menyampaikan selain dari wahyu. Allah SWT berfirman,
“Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.” (TMQ Al-An’am: 50).
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan dari Tuhanku kepadaku.’” (TMQ Al-A’raf: 203).
Maksud ayat ini adalah, “Aku tidak mengikuti apa pun kecuali apa-apa yang telah diwahyukan kepadaku dari Tuhanku.”
Beliau mencukupkan diri mengikuti apa yang diwahyukan oleh Allah (SWT). Kenyataan ini terlihat jelas dari shighat (bentuk) umum pada nas tersebut. Oleh kerana itu, semua hal yang berhubungan dengan apa-apa yang perlu disampaikan oleh Rasulullah SAW (tabligh risalah) adalah wahyu.
Kenyataan tasyri‘ juga menunjukkan bahawa Rasulullah SAW dalam menjelaskan hukum-hukum kepada manusia selalu berjalan sesuai dengan wahyu. Beliau SAW menunggu wahyu dalam berbagai macam hukum, seperti zihar, lian, dan lain-lain. Beliau tidak berkata, berbuat, dan membuat persetujuan (takrir) dalam konteks tasyri‘, kecuali didukung oleh wahyu dari Allah (SWT).
Kadang-kadang para sahabat tidak dapat memastikan apakah hukum yang diputuskan oleh Rasulullah SAW itu berdasarkan pendapat beliau sendiri ataukah berhubungan dengan sarana dan prasarana. Oleh kerana itu, mereka bertanya kepada Rasulullah, apakah hal itu ditetapkan berdasarkan wahyu, pendapat beliau SAW, atau hasil permusyawaratan dengan sahabatnya yang lain. Jika Rasul menjawab bahawa ketetapan itu adalah wahyu, para sahabat terdiam sebab mereka mengetahui bahawa ketetapan tersebut bukan berasal dari pendapat beliau sendiri.
Namun, jika Rasul menyatakan, bahawa ketetapan tersebut hanya pendapat beliau sendiri dan termasuk hal-hal yang masih boleh dimusyawarahkan, mereka bersama-sama mendiskusikannya dengan Rasul. Kadang-kadang Rasul mengikuti pendapat mereka, seperti yang terjadi pada peristiwa Badar, Uhud, dan Khandaq.
Dalam perkara yang tidak berhubungan dengan tabligh, yakni persoalan pendebungaan kurma, beliau SAW mengatakan, “Engkau lebih mengetahui perkara (dunia) kalian.” Ini menunjukkan bahawa apa-apa yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW dalam masalah-masalah seperti ini bukan berasal dari wahyu, tetapi berasal dari pendapat beliau sendiri.
Seandainya Rasulullah SAW berbicara pada konteks tasyri‘, tetapi tidak berdasarkan wahyu dari Allah SWT, tentunya beliau SAW tidak perlu menunggu-nunggu datangnya wahyu untuk memutuskan perkara-perkara tasyri‘ tersebut dan para sahabat tidak perlu bertanya kepada beliau SAW, apakah ketentuan ini wahyu atau bukan. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak berijtihad, baik secara aqli mahupun syarie.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat