[Ath-Thariq] Konsep Kapitalisme (Bahagian 2/3)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat
Kedua: Tolok Ukur perbuatan
Kapitalisme telah menjadikan manfaat yang asas-asasnya dijelaskan oleh Jeremy Bentham dalam penelitiannya yang berjudul “Teori Manfaat” pada 1863 sebagai asas tolok ukur seluruh perbuatan manusia.”[1]
Manfaat menjadi satu-satunya yang menentukan nilai perbuatan. Di atas asas adanya manfaat bagi manusia itu sendiri, kenikmatan menjadi sesuatu yang baik, dan penderitaan menjadi sesuatu yang buruk.
Dengan demikian, manusia mahu melakukan sesuatu, selama di dalamnya ada kenikmatan dan kemaslahatan baginya dan menjauhkan diri dari perbuatan yang dapat membawa pada penderitaan dan mudarat baginya, dengan mengabaikan samada bermanfaat atau tidaknya akibat perbuatan tersebut bagi orang lain.
Russel mengatakan, “Bentham telah sejalan dengan apa telah dijalani sebelumnya oleh golongan ahli falsafah penganut materialisme, dia beranggapan bahawa tindakan pengorbanan yang ada sekarang ini merupakan penipuan yang dirancang sebelumnya, yang diwajibkan oleh kelompok penguasa untuk mempertahankan segenap kepentingannya, mereka mengharapkan pengorbanan dari orang lain, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya.”[2]
Berdasarkan hal ini, kapitalisme telah menjadikan tolok ukur kebaikan dalam sebuah perbuatan atau benda, selagi dapat memberikan kenikmatan, kebahagiaan, dan manfaat bagi individu itu sendiri sehingga dia perlu melakukannya tanpa perlu memikirkan orang lain dan tidak memperhatikan (selama perbuatan itu bermanfaat dan menyenangkannya) apa pun yang akan menimpa orang lain sebagai akibat dari perbuatannya tersebut.
Akibat dari tolok ukur ini adalah berubahnya manusia di negara-negara penganut kapitalisme khususnya dan negara-negara lain yang sebahagian penduduknya telah terbius idea kapitalisme. Iaitu berubahnya mereka menjadi himpunan massa yang terburu-buru mengejar manfaat tanpa merasa terikat dengan nilai lain apa pun.
Nilai ruhiah (spiritual), insaniyah (kemanusiaan), dan khulqiyah (akhlak) diabaikan kerana perbuatan yang terlahir dari nilai-nilai ini, seperti menolong dan menyelamatkan orang tenggelam, membantu orang yang dianiaya, beribadah kepada Allah, bersedekah pada orang miskin dan sentiasa bersikap jujur, tidak dapat menghasilkan manfaat dan kenikmatan. Oleh kerana itu, manusia yang berada dalam masyarakat seperti ini telah kehilangan kemanusiaannya dan ketenteramannya kerana tahu bahawasanya dia sedang hidup di tengah masyarakat serigala.
Tolok ukur ini juga telah menyebabkan terputusnya ikatan hubungan di antara manusia secara umum, dan hubungan kerabat secara khusus, tiada lain kerana setiap mereka berusaha untuk memperoleh kemaslahatan dan manfaat bagi dirinya tanpa memperhatikan orang lain. Lenyaplah tali kasih sayang antara anak dengan ibunya, bapanya, saudara-saudaranya, kerana perasaan belas kasih telah kehilangan nilainya yang disebabkan ketiadaan nilai material dan manfaat padanya.
Dengan adanya tolok ukur ini juga telah menyebabkan benturan dan konflik manusia, permusuhan dan tegaknya hubungan mereka di atas keraguan dan kecurigaan. Hal ini kerana apa yang dianggap bermanfaat oleh sebahagian, terkadang dianggap mudarat oleh sebahagian yang lain. Hal ini merupakan sebahagian hal yang menyebabkan disintegrasi dan pecahnya masyarakat sehingga menghalangi kesatuan dan kebersamaannya.
Berdasarkan semua ini, jelaslah kerosakan pandangan kapitalisme tentang tolok ukur perbuatan yang tergambar dalam “manfaat”.
Dalam konsep ekonominya, kapitalisme telah mencampuradukkan antara dua perkara yakni sistem ekonomi dan ilmu ekonomi. Akibat dari pencampuradukan ini—dan kerana faktor-faktor lain—kapitalisme telah salah meletakkan asas yang harus dijadikan landasan ekonominya. Kapitalisme telah menjadikan pertambahan pendapatan negara (national income) sebagai asas ekonominya, yakni dengan bertambahnya komoditi, perkhidmatan, dan barang-barang yang digunakan untuk melayani manusia dan memuaskan keperluan dan nalurinya serta merealisasikan kemakmuran baginya.
Perbezaan antara ilmu ekonomi dan sistem ekonomi adalah bahawa ilmu ekonomi itu membahas tata cara menambah sumber (alat pemuas) yang layak untuk memuaskan keperluan dan naluri manusia, adapun sistem ekonomi adalah sistem yang menentukan tata cara pengagihan sumber-sumber tersebut pada manusia.
Pencampuradukan keduanya telah mengakibatkan timbulnya keraguan dan kekacauan, padahal ilmu ekonomi boleh diterapkan dari mana pun dan tidak akan mengakibatkan pada kekacauan dan ketidakharmonian. Sedangkan penerapan sistem tidak boleh dilakukan kecuali dari ideologi itu sendiri, yakni ideologilah yang bertanggungjawab untuk memecahkan masalah perekonomian dan memenuhi keperluan dan naluri manusia melalui pengagihan sarana-sarana tersebut pada segenap manusia dengan cara yang sahih.
Kapitalisme telah menjadikan pertambahan pendapatan negara sebagai asas ekonominya, berdasarkan pemahamannya yang salah atas realiti sumber pemuas yang ada dalam masyarakat. Kesalahan ini tampak ketika dia menyatakan “kelangkaan relatif” dan kelangkaan relatif ini menunjukkan tidak mencukupinya barang dan perkhidmatan yang ada kerana hubungkaitnya dengan jumlah penduduk.”[3]
Sarana-sarana pemuas yang ada dalam masyarakat—sebagaimana dikatakan Thomas Robert Malthus dalam bukunya, Penelitian terhadap Penduduk—akan bertambah secara berturut-turut dengan bilangan 1, 2, 3, 4 … ketika jumlah penduduk bertambah dengan urutan 1, 2, 4, 8, 16, 32 ….
Dari sinilah lahirnya teori kelangkaan relatif. Berdasarkan teori ini, para penganut kapitalisme memahami bahawa permasalahan ekonomi itu disebabkan oleh buruknya produksi. Hal ini kerana keperluan manusia—berdasarkan pemahaman mereka—lebih banyak daripada sarana pemuas yang ada.
Pemahaman seperti ini jelas keliru kerana ia tidak dapat membezakan antara al-hajat al-asasiyah (keperluan primer) seseorang yang keberadaannya pada setiap orang menjadi sebuah kepastian sehingga ketiadaannya dapat menyebabkan kebinasaan, dengan al-hajat al-kamaliyah (keperluan sekunder) yang ketiadaannya hanya menyebabkan kesempitan.
Akibat dari kekeliruan ini, mereka malah memikirkan cara pemenuhan seluruh keperluan bagi individu-individu secara umum—dan ini adalah mustahil—daripada lebih memusatkan perhatian pada pemenuhan keperluan primer pada setiap orang. Inilah yang menimbulkan adanya hikayat kelangkaan relatif dan kemudian munculnya dongeng pertambahan pendapatan negara.
Adapun masalah pertambahan pendapatan negara yang dijadikan kapitalisme sebagai asas ekonominya dan dianggap sebagai permasalahan utama yang apabila ianya berjaya diselesaikan dapat membawa pada penyelesaian masalah ekonomi, maka penjelasannya mungkin dengan perumpamaan berikut: Seandainya kita tetapkan ada sebuah masyarakat yang jumlah penduduknya satu juta orang, dimana setiap orang memerlukan satu kilogram tepung setiap hari, maka negara perlu menyediakan satu juta kilogram tepung setiap hari.
Dengan cara ini negara telah memenuhi keperluan penduduknya. Akan tetapi, jika tidak, maka negara perlu berusaha menambah pendapatan negara berupa tepung agar kuantiti tersebut terpenuhi. Perumpamaan yang sangat singkat ini menjelaskan teori pertambahan pendapatan negara. Teori ini tidak membahas keperluan setiap individu, tetapi malah membahas seluruh keperluan negara sehingga ketika negara mengeluarkan tepung dengan kuantiti tersebut ke pasaran, ia menganggap dirinya telah menyelesaikan masalah, sedangkan realitinya tidak begitu.
Negara tidak memperhatikan adakah setiap individu dalam masyarakat benar-benar mendapatkan tepung yang cukup berdasarkan keperluan masing-masing pada setiap hari. Malah, negara hanya memperhatikan hubungan antara jumlah penduduk dengan kuantiti barang yang perlu diproduksi dalam pasaran.
Lantaran itu, hanya segelintir individu sahaja yang berjaya mendapatkan tepung atau barang tertentu seperti orang kaya, contohnya, yang memperoleh bahagian terbesar dari kuantiti tersebut. Sedangkan orang fakir miskin tidak dapat memperolehnya, kecuali sedikit saja, bahkan boleh jadi sebahagian orang fakir miskin tersebut tidak berjaya pun mendapatkan barang keperluannya sama sekali.
Inilah sebab mengapa tidak boleh berlaku pencampuradukan antara ilmu ekonomi dan sistem ekonomi. Apa yang penting di sini adalah sumber dan sarana pemuas keperluan masyarakat tersebut diteliti terlebih dahulu, kekayaan dan sarana-sarana pemuas yang terpenuhi perlu diagihkan kepada penduduk secara adil.
Setiap penduduk memperoleh setiap keperluan dalam skala per individu, agar keperluan primer semua orang dapat terpenuhi. Kemudian setelah itu mencari pertambahan kekayaan dan mengagihkannya kembali, begitu seterusnya hingga pemenuhan keperluan primer setiap individu masyarakat berjaya dilakukan. Setelah itu dia beraktiviti untuk menambah kekayaan melalui ilmu ekonomi dan kembali mengagihkan pertambahan tersebut dalam rangka pemenuhan setiap individu masyarakat dalam keadaan yang sama.
Berdasarkan hal ini jelaslah, menjadikan pertambahan pendapatan negara sebagai asas ekonomi dan menganggap kelangkaan relatif sebagai masalah ekonomi, terlebih lagi perhatian yang dicurahkan pada produksi melebihi perhatian yang diberikan pada distribusi, dan perhatian atas seluruh keperluan masyarakat tanpa adanya perhatian atas keperluan primer individu, semua itu menjadi bukti atas kerosakan konsep kapitalisme tentang ekonomi.
*Bersambung ke bahagian 3/3
1 Bernard Russel, Hikmat al-Gharb Jilid 2, 220–221
2 Bernard Russel, Hikmat al-Gharb Jilid 2, 218
Abdurrahman al-Maliki, As-Siyasah al-Iqtishadiyah al-Mutsla, hlm. 10—12
Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)