[Pemikiran Politik Islam] Pemikiran Politik (Bahagian 2/2)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Agar dapat bangkit kembali, umat Islam perlu menggunakan akidah Islam sebagai asas bagi kehidupannya. Kemudian, mereka menegakkan pemerintahan dan kekuasaan berdasarkan asas akidah Islam tersebut. Dengan kata lain, mereka perlu menyelesaikan setiap masalahnya hanya dengan hukum dan aturan yang bersumber dari akidah Islam.
Aturan tersebut berdasarkan pada perintah dan larangan Allah Taala. Hanya dengan hal itu kebangkitan dapat dicapai dengan pasti. Bahkan bukan sekadar kebangkitan, tetapi kebangkitan yang hakiki nan sahih akan terjadi.
Hanya dengan demikian umat Islam akan kembali dalam berjaya dan memimpin dunia. Oleh sebab itu, umat perlu dibina terlebih dahulu dengan tsaqafah politik ideologi atas dasar akidah aqliyah, iaitu pemikiran yang menyeluruh tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan.
Akidah ini hendaklah difahami sebagai pemikiran politik, bukan pemikiran spiritual semata. Kemudian, semua pemikiran politik, berikut sarana-sarana dan tujuannya perlu digali dari akidah tersebut. Umat Islam memeluk akidah Islam sebagai suatu ideologi yang menyeluruh tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan.
Hal itu sebagai akidah politik, yakni sebagai landasan dan kepemimpinan berfikir (qa’idah wa qiyadah fikriyyah), serta sebagai sudut pandang yang khas tentang kehidupan. Saat ini, umat Islam menyaksikan keadaan dunia yang berantakan, serta dilanda ketidak-adilan ekonomi dan politik. Ditambah pula perhambaan oleh para penguasa zalim, serta hidup dalam mimpi buruk penderitaan, penghambaan, dan kehinaan.
Oleh sebab itu, umat Islam diwajibkan untuk melaksanakan tanggungjawabnya menyelamatkan dunia dan menyingkirkan kegelapan akibat kesesatan dan tipu muslihat. Ini akan membawa umat manusia kepada cahaya terang kebenaran dan kebahagiaan.
Meskipun umat Islam sedang hidup dalam penindasan para penguasa zalim, mereka tidak boleh hanya berfikir mengenai dirinya sendiri. Sikap egois bertentangan dengan iman mereka, serta bertolak belakang dengan nilai-nilai dan pemikiran yang berakar kuat dalam benak mereka.
Oleh kerana itu, umat perlu berfikir untuk menyelamatkan dunia dan diri mereka, serta mengubah diri dan membebaskan dunia. Bukan sekadar berusaha menyelamatkan diri mereka sendiri. Ini kerana umat merupakan bahagian dari dunia. Mereka diciptakan untuk memandu umat manusia.
Begitu mereka memeluk akidah Islam, mereka diwajibkan untuk menyelamatkan umat manusia dari penderitaan, ketidak-adilan, kehinaan, dan perhambaan. Umat Islam memiliki suatu pemikiran politik tentang kehidupan (fikrah). Mereka juga mempunyai sebuah metode (thariqah) untuk menerapkan pemikiran tersebut dalam kehidupan.
Ketika umat Islam memiliki pemikiran sahih berikut metode untuk menerapkannya, tidak diragukan lagi, kebaikan itu perlu disebarluaskan. Keunggulan ideologi itu pun perlu disampaikan. Dengan demikian, umat Islam tidak hanya mampu mencapai kebangkitan hakiki, tetapi mampu juga menjadi sumber kebaikan bagi orang lain, serta dapat menyampaikan ideologi tersebut kepada umat manusia. Ideologi yang disampaikan, baik sebagai kepemimpinan ideologi (qiyadah fikriyyah), mahupun sebagai sudut pandang yang khas tentang kehidupan.
Oleh kerananya, melalui dakwah kepada seluruh umat manusia dan negara-negara di dunia, umat Islam akan mampu menyelesaikan permasalahan dunia dan menyelamatkannya dari penderitaan, perhambaan, dan kehinaan.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.